Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Khir Toyo Gelisah Bila Laporan BPR Sabitkannya Dengan Kes Rasuah
 


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo yang kini tertekan dengan dakwaan rasuah kepadanya semakin gelisah selepas pendedahan bahawa laporan Badan Pencagah Rasuah terhadap aduan Ahmad Lutfi kepadanya telah siap dan sudahpun dihantar kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dibuat.

Khir yang akan bersama Perdana Menteri dalam lawatan ke Eropah 14 Mac ini semakin menggelabah apabila difahamkan laporan penyiasatan BPR itu mendapati ada asas-asas kukuh yang membolehkan pendakwaan terhadap Khir dibuat di mahkamah.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan BPR, kebiasaannya, dalam kes-kes rasuah membabitkan tokoh-tokoh penting kerajaan, Perdana Menteri lebih senang mengambil tindakan berbentuk politik, berbanding menghadapkan tokoh berkenaan ke mahkamah.

"Apatah lagi dalam kes Khir Toyo, yang memilihnya bagi menggantikan Abu Hassan Omar pada Ogos 2000 ialah Dr Mahathir sendiri. PM telah mengetepikan cadangan dari Perhubungan Umno Selangor dan cadangan dari pihak istana. Jika Khir dipecat, ia juga akan menconteng arang ke muka Dr Mahathir," kata seorang penganalisis politik.

"Oleh itu, jalan paling mudah bagi Mahathir ialah dengan tidak melantiknya semula selepas pilihan raya akan datang. Bagaimanapun, jika PM memikirkan dengan mengekalkan Khir sehingga pilihan raya akan datang boleh menyebabkan pembangkang makin kuat di Selangor, tidak mustahil Khir terpaksa disisihkan lebih awal," tambahnya yang juga merupakan seorang pensyarah sains politik IPT tempatan.

Khir yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kini menghadapi pelbagai asakan, termasuk dari dalam Umno sendiri, apabila kes rasuahnya dibincangkan secara meluas di negeri ini. PAS Selangor pula, sejak pertengahan bulan lalu telah melancarkan program gerak gempur memberikan penerangan terhadap isu rasuah Khir Toyo.

Difahamkan laporan BPR yang telah diserahkan kepada Perdana Menteri lebih sebulan lalu itu hanya mengandungi hasil siasatan BPR terhadap aduan pertama aktivis media, Ahmad Lutfi Othman. Sedangkan Lutfi selepas itu membuat lagi aduan rasmi, juga mengenai dakwaan amalan salahguna kuasa dan kronisme Khir dalam meluluskan projek-projek tertentu.

"BPR kini memberikan keutamaan kepada kes Khir dan siasatan terhadap aduan Lutfi seterusnya sudahpun di peringkat terakhir," tambah sumber yang mengaku dekat dengan BPR itu.

Antara aduan rasuah Khir yang dikatakan mempunyai asas kukuh untuk memulakan pendakwaan ialah pembinaan jalan merentasi bendang di Sekinchan dan Sungai Panjang, tapak banglo PKNS di Seksyen 2 Tambahan Bandar Baru Bangi, kelulusan kawasan balak kepada Fungsi Mewah di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat dan yang terakhir projek membekal dan memasang paip air besi keluli berukuran 1.2m garispusat yang bernilai lebih RM82 juta kepada LBH Engineering Sdn Bhd.

Rakyat kini sedang menunggu keputusan Perdana Menteri, apakah beliau akan mengotakan janjinya untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mengaut kekayaan.

Kes Khir ini akan menjadi kayu ukur apakah jaminan PM di London itu hanya akan tinggal janji yang tidak berkesudahan dan rakyat semakin muak dengan amalan rasuah dan korupsi yang akan menjahanamkan negara.
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net