Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY
SHAH ALAM: Beberapa ADUN Umno Selangor dikatakan tidak sabar-sabar lagi menunggu langkah
awal Ketua Perhubungan Umno negeri, Dr Khir Toyo bagi menyingkir sekurang-kurangnya tiga
Exco kanan kerajaan negeri, iaitu Dr Timbalan Menteri Besar, Dr Zainal Abidin Ahmad dan
dua exco, Datuk Shariff Jajang dan Mokhtar Dahalan.
Ketiga-tiga nama itu, bukan saja disebut secara terbuka oleh laman-laman web Umno yang
ditaja sendiri oleh Khir tetapi juga dimuatkan melalui satu analisis berita oleh Ketua
Biro Utusan di Klang dalam Utusan Malaysia tidak lama dulu.
Mereka dikatakan pihak yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat sulit tentang salahguna
kuasa Khir Toyo terutama sekali berkaitan kelulusan tanah kepada syarikat tertentu.
"Selagi Exco-exco kanan berkenaan berada dalam mesyuarat kerajaan negeri yang
dipengerusikan Khir, menjadi bertambah sukar untuk MB mengagihkan projek dan kekayaan
Selangor kepada kroni dan suku-sakatnya," kata sumber yang rapat dengan Umno
Selangor.
Mengikut prosedur Khir perlu mendapat persetujuan atau perkenan daripada Perdana Menteri
untuk membuat rombakan besar-besaran itu.
"Inilah masa paling sesuai untuk Khir berbuat demikian, selepas beliau dilantik
menjadi Ketua Perhubungan Umno yang baru. Mahathir pasti akan mengiakan apa saja kehendak
Khir," kata sumber itu lagi.
Kalau dulu, tambah sumber itu, Khir mungkin teragak-agak untuk mencadangkan agar Exco-exco
berkenaan dilucutkan jawatan kerana bimbang PM akan mempersoalkan kes rasuahnya, tetapi
kini nyata PM sudah menganggap tiada kes rasuah yang boleh disabitkan dengan Khir.
"Khir patut menggunakan peluang keemasan yang ada untuk berjumpa PM ketika mana PM
memberikan sepenuh keyakinan kepada Khir untuk mentadbir Umno Selangor. Ini kerana, jika
dibiarkan Exco-exco berkenaan berada dalam mesyuarat penting Exco, tidak mustahil akan ada
lagi rahsia kerajaan negeri yang akan dibocorkannya kepada pembangkang ataupun
Lutfi," ujar sumber itu lagi.
PM tentu tidak akan menggadaikan Selangor dalam pilihan raya akan datang. Tidak boleh
dibayangkan jika BN tewas di negeri yang cukup strategik buat BN ini. Oleh itu, Mahathir
pasti akan mengikut saja kehendak anak emasnya untuk membuat rombakan Exco yang keputusan
itu membuatkan Umno makin mantap dan kukuh.
(Detik Daily)
|
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor |