Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes) PEMUDA keADILan NEGERI SELANGOR

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Bila Khir Ganti Mat Taib, Dakwaan Rasuah Terhadapnya Gugur?
 


Oleh : WARTAWAN HARAKAH


Ada beberapa persoalan menarik timbul apabila Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perlantikan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo menggantikan Muhammad Muhd Taib sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor yang baru.

Pertama, perlantikan ini dibuat selepas BN menang besar di Indera Kayangan, yang mana Muhammad Taib adalah pengarah bersama pilihanraya itu, yang digandingkan dengan Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim. Apakah ia satu petanda bahawa "kerja kuat" Mat Taib tidak dihargai pimpinan Umno sehingga ia terpaksa kehilangan satu jawatan yang cukup berpengaruh di Selangor.

Kedua, pemilihan Khir Toyo dilakukan sewaktu kredibilitinya sebagai menteri besar termuda sedang hangat dipersoalkan, ketika mana dakwaan rasuah terhadapnya, yang dibuat oleh aktivis media, Ahmad Lutfi Othman tidak berjaya disangkal kerana ia disertakan dengan pelbagai bukti dan dokumen sahih. Apakah ia bermakna, Dr Mahathir Mohamad juga tidak yakin segala tuduhan Lutfi itu benar ataupun bagi Mahathir, isu rasuah dan amalan salah guna kuasa bukan satu isu besar baginya? Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai alasan pertukaran jawatan di antara kedua-dua pemimpin tersebut, Mahathir berkata: "Sebab dia (Mat Taib) minta macam itu." Tambah Mahathir, perkembangan itu bukan perkara baru kerana sebelum ini Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Khalil Yaakob juga melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri bagi memberi laluan kepada menteri besar masing-masing mengambil alih jawatan itu.

Menurut Mat Taib, tindakannya itu dibuat secara sukarela selepas memikirkan ia langkah terbaik untuk mengukuhkan kedudukan Umno dan BN di Selangor. Mat Taib dilantik ketua Umno Selangor pada 18 Ogos 2001 serentak dengan pengumuman perlantikan Khir sebagai MB Selangor menggantikan Abu Hassan Omar yang terpaksa meletakkan jawatan kerana dakwaan salah laku moral.

Bagi penganalisis politik, perlantikan Khir ke jawatan penting itu merupakan kemenangan moral baginya selepas terpaksa menghadapi pelbagai dakwaan rasuah oleh Lutfi dan juga Ketua Pembangkang DUN Selangor, Dr Hassan Ali. Sehingga kini Lutfi telah membuat aduan dan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya dan Shah Alam sebanyak lima kali. Namun begitu, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada BPR mengenai dakwaan rasuah tersebut.

"Setelah begitu lama, bermula aduan pertama Lutfi ke BPR pada 23 Oktober 2001, tidur malam Khir dikatakan terganggu, kini bolehlah MB Selangor itu tidur lena. Dengan perlantikan ini seolah-olah Mahathir merestui segala tindakannya selama ini dan tidak mengambil endah terhadap apa saja tuduhan buruk kepada Khir," kata seorang pemerhati politik.

"Justeru, Ketua Pengarah BPR harus membuat kenyataan rasmi mengenai begitu banyak aduan rasuah terhadap Khir. Apakah ini bermakna Khir sudah bebas dari tuduhan salahguna kuasa itu, ataupun bagi Mahathir isu-isu berkaitan rasuah, amalan pilih kasih dan sebagainya bukan satu penghalang untuk beliau melantik seseorang yang cuba dikaitkan dengan kesalahan itu ke jawatan yang lebih tinggi," tambahnya lagi.

Dan jika ditinjau dari segi rekod pemerintahan Mahathir, kita dapati soal penyelewengan dan amalan korupsi bukan sesuatu asing bilamana ramai juga menteri kabinet dan menteri besar yang dipalit dengan tuduhan rasuah terus mendapat kepercayaan Perdana Menteri. Kalau ada pun tindakan yang dibuat, ia lebih menjurus kepada tuduhan berkaitan skandal seks seperti yang berlaku kepada Rahim Tamby Chik, bekas Ketua Menteri Melaka dan Abu Hassan, bekas Menteri Besar Selangor. Dan dalam kes Rahim, walaupun berbelas-belas aduan yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Guan Eng kepada BPR, dilengkapi dengan fakta konkrit tetapi dakwaan rasuah itu hilang begitu saja.

Dan mengenai segala dakwaan rasuah yang dibuat oleh Lutfi kepada Khir, dengan kepercayaan penuh Mahathir kepada Khir ini, boleh dibuat kesimpulan, sama ada tuduhan Lutfi itu tidak berasas, ataupun segala apa yang dilakukan MB Selangor itu, walaupun nampak seolah-olah amalan rasuah tetapi ia sememangnya dibenarkan oleh undang-undang sedia ada.

Lutfi sendiri pernah membuat kenyataan bahawa walaupun beliau mempunyai banyak lagi dokumen berkaitan penyelewengan Khir, terutama mengenai kelulusan tanah, balak dan projek kepada syarikat-syarikat kroni, beliau tidak akan naik turun Pejabat BPR lagi. "Selagi mana saya tak tahu apa status aduan saya sebelum ini, biarlah saya simpan dulu segala dokumen rasuah Khir itu bagi diletupkan pada kempen pilihan raya akan datang," tambah Lutfi.

Ketika dihubungi dan diminta pandangannya mengenai perlantikan Khir sebagai ketua Umno Selangor, Lutfi berkata: "Ia sedikit pun tidak menghairankan saya, kerana semua orang tahu rekod Mahathir dalam isu-isu korupsi. Malah beliau banyak melindungi tokoh-tokoh BN yang didakwa terbabit dengan amalan jijik itu, termasuk ketua-ketua parti komponen BN, seperti Samy Vellu dan Ling Liong Sik." "Cuma, saya bersimpati dengan pegawai-pegawai penyiasat BPR, yang sebahagian dari mereka menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam kes ini. Sekurang-kurangnya sewaktu saya membuat aduan, saya lihat mereka begitu bersungguh-sungguh mengambil keterangan, tapi tak tahulah, apakah mereka juga telah mengambil kenyataan daripada Khir sendiri, pihak yang tertuduh," tambah Lutfi, yang juga bekas editor dua majalah yang diharamkan KDN.

"Soal sama ada Khir dilantik ke jawatan lebih tinggi, dalam parti mahupun kerajaan, ia tidak ada kena mengena dengan segala apa yang saya lakukan. Ia juga tidak merencatkan komitmen saya untuk terus membongkar salahlakunya selama ini, terutama dalam mempengaruhi keputusan untuk menyerahkan kontrak yang nilainya berkali ganda dari taksiran awal kepada syarikat kroni atau syarikat yang bersedia memberi komisyen tinggi kepadanya," kata Lutfi.

Malah, tambah aktivis media itu, beliau menunggu tarikh yang sesuai untuk membentangkan segala fakta dan dokumen yang lebih lengkap dan mudah difahami oleh majoriti rakyat tentang dakwaan rasuah Khir Toyo.

"Saya memberi keutamaan untuk membuat penjelasan kepada rakyat, dan bukannya lagi kepada BPR kerana saya yakin, jika rakyat dapat disedarkan dengan amalan buruk lagi keji ini, maka lebih mudah untuk menumbangkan pemimpin rasuah dan korup," katanya.
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]