Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes) PEMUDA keADILan NEGERI SELANGOR

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Khir Toyo: Projek Pasang Paip Air Pun Ada Unsur Rasuah
 


Oleh : WARTAWAN HARAKAH



KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sekali lagi didakwa mengamalkan rasuah dan salahguna kuasa, berkaitan projek membekal dan memasang paip air bernilai lebih RM82 juta.

Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman, yang sebelum ini telah membuat lima aduan berkaitan dakwaan rasuah kepada Khir, bermula 23 Oktober lalu, mendedahkan hal ini dalam satu ceramah di Kangar, sempena kempen pilihan raya kecil Indera Kayangan minggu lalu.

Projek membekal dan memasang pair air besi keluli itu bermula dari Empangan Semenyih, melalui Bangi, Dengkil dan berakhir di Pekan Banting, Selangor. Surat setujuterima tender projek yang sudahpun dimulakan dua bulan lalu itu ditandatangani oleh Khir Toyo sendiri.

“Isu besar di sini, mengapa kos projek yang diberikan secara rundingan terus kepada LBH Engineering, sebuah kontraktor beralamat di Bukit Rahman Putra itu terlalu tinggi dan tidak masuk akal, iaitu RM82,385,182.80, sedangkan jaraknya hanya sejauh 37 km saja,” kata Lutfi, sambil merumuskan nilai projek ini adalah RM2.24 juta bagi satu kilometer.

“Kayanya Selangor, bayangkan kalau jalan merentas bendang di Sekinchan menelan belanja RM4.5 juta satu kilometer, kos pasang paip air yang tidak memerlukan peralatan yang canggih dan kemahiran yang tinggi pun mencecah RM2.24 juta. Tapi, ini semua menghangus wang rakyat dan pembayar cukai serta mengandungi elemen rasuah yang tinggi,” tegas bekas editor dua majalah yang diharamkan, Detik dan Wasilah.

Lutfi memberitahu, menurut tinjauannya di kalangan kontraktor yang berpengalaman dalam kerja-kerja membekal dan memasang paip air, “kos projek seumpama itu, untuk jarak satu kilometer, tidak boleh melebihi RM1 juta, itu pun sudah mendapat keuntungan yang lumayan.”

Beliau turut mendedahkan cerita yang disebarkan mengenai projek paip air ini, yang mengaitkan seorang saudara terdekat dengan Menteri Besar, iaitu adik iparnya, yang dikatakan mendapat imbuhan tinggi daripada kontraktor terbabit. Ada pihak menyebut imbuhan itu sehingga puluhan juta.

“Dakwaan yang mengaitkan MB dengan amalan rasuah seumpama itu sudah tidak menjadi isu lagi di Selangor. Tanyalah kepada Pengarah JKR negeri, pasti banyak lagi cerita menarik tentang hal yang sama timbul,” tambah Lutfi.

Katanya, menurut sumber, Pengarah JKR Selangor merungut kerana Khir banyak menganggu tugasan hariannya dengan mencadangkan nama-nama kontraktor bagi sesuatu projek di bawah JKR. "BPR patut menemubual pengarah berkenaan untuk mendapat penjelasan lanjut. Saya yakin banyak cerita menarik daripadanya," kata Lutfi.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak membuat aduan rasmi kepada BPR mengenai isu terbaru ini, Lutfi berkata, selagi pihak BPR tidak membuat kenyataan khusus tentang lima aduan yang dibuatnya sebelum ini, beliau tidak akan “bersusah-payah naik turun pejabat BPR kerana ia hanya membuang masa sahaja.”

Dalam pertemuan terakhirnya dengan BPR Selangor di Shah Alam, Lutfi mohon badan penyiasat itu menjelaskan beberapa persoalan yang timbul dari aduannya sebelum ini, antaranya, apakah menjadi satu kesalahan rasuah bagi seseorang penjawat awam seperti menteri besar mengagihkan projek, tanah atau balak kepada kroni mereka.

Bagaimanapun, menurut Lutfi, pegawai BPR yang ditemuinya itu tidak memberi apa-apa respons sewajarnya. Dan apabila beliau mohon bertemu dengan Pengarah BPR Selangor yang ketika itu memang ada di pejabat, hasratnya juga tidak kesampaian.

“Saya perlukan perincian daripada BPR kerana banyak lagi maklumat mengenai kes yang hampir sama ada pada saya. Sebelum ini, saya dimaklumkan secara tidak rasmi oleh seorang pengawai BPR bahawa isu berkaitan kroni bukan merupakan satu kesalahan rasuah,” kata Lutfi lagi.

Melalui aduan terakhirnya mengenai dakwaan rasuah Khir, pada 3 Januari lalu, Lutfi menyerahkan dokumen berkaitan kelulusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor ke-10/2001, pada 17-18 April, 2001, mengenai permohonan mengeluarkan kayu balak di Kompatmen 78 Hutan Simpan Hulu Langat, seluas lebih 1,200 ekar.

Pemilik syarikat yang berjaya itu, Fungsi Mewah Sdn Bhd dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan menteri besar, dan turut dikaitkan dengan satu lagi projek membina jalan raya di Sekinchan, jalan B44, yang menjadi pertikaian kerana kosnya terlalu tinggi dan diserahkan kepada sebuah kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.


 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]