SHAH ALAM: Pilihan raya kecil Indera Kayangan selesai sudah dan jelas memihak kepada
Barisan Nasional apabila mendapat majoriti lebih besar ekoran taktik dan strategi kotor
parti itu, sama ada menakutkan pengundi ataupun membeli pengundi dengan wang dan imbuhan
kebendaaan lain.
Tentulah tokoh yang paling lega selepas Keadilan kalah teruk ialah Shahidan Kassim,
Menteri Besar Perlis. Bagi Shahidan, Keadilan tidak ada masa depan di negeri itu.
Bagaimanapun, selain Shahidan, Menteri Besar yang juga bergembira ialah Dr Mohd Khir Toyo.
Dalam kempen pilihan raya ini, bukan saja skandal dan isu-isu penyelewengan Shahidan
dibangkitkan, malah dakwaah rasuah MB Selangor itu juga menjadi antara bahan utama kempen,
terutama oleh Dr Hassan Ali.
Ahmad Lutfi juga turut mengemukakan satu lagi dakwaan kepada Khir dalam satu majlis
ceramah di Pangkalan Assam, Kangar. Khir meluluskan permohonan secara rundingan terus
projek membekal dan memasang paip air dari Empangan Semenyih ke Pekan Banting, sejauh 37
km.
Isu besar di sini, bagaimana kos projek itu boleh berlipat kali ganda, sedangkan menurut
kontraktor berpengalaman dalam kerja-kerja berkaitan, kos bagi 1 km kalaupun mencecah RM1
juta, "itu sudah banyak tinggi".
Difahamkan Khir melalui adik iparnya (adik isterinya) telah mendapat imbuhan yang cukup
lumayan daripada LBH Engineering Sdn Bhd, kira-kira RM20 juta. Masakan tidak, kontraktor
berkenaan dengan mudah boleh mendapat keuntungan hampir RM45 juta, jadi apa salahnya kalau
diagihkan separuh kepada Khir.
Dr Hassan Ali pula kesal dengan sikap membisu Ketua Pengarah BPR dan Perdana Menteri dalam
isu yang mendapat perhatian umum ini: "Soalnya, apakah benar pandangan umum bahawa
Khir mendapat naungan istimewa daripada pihak atasan dalam kes rasuahnya ini?"
Namun begitu, selepas kemenangan selesa calon BN di Perlis, Khir boleh menarik nafas lega.
Isu rasuahnya boleh dikatakan tidak memberi kesan di Indera Kayangan, tapi kalau pilihan
raya diadakan di Selangor, mungkin lain keputusannya.
"Tuduhan yang dilemparkan kepada Shahidan tidak disertakan dengan sebarang dokumen
atau bukti yang menyokong, sepertimana tuduhan Lutfi kepada Khir Toyo. Sepatutnya petugas
BA di Indera Kayangan membawa semua bukti dan fakta kes yang boleh mensabitkan Shahidan
dengan amalan rasuah dan salahguna kuasa," kata seorang penganalisis.
Khir kini dikatakan sedang sibuk melobi bagi diadakan rombakan Exco besar-besaran, yang
bertujuan untuk membuang semua Exco kanan yang disyakki tekah membocorkan rahsia
pemyelewengannya kepada umum dan BPR. Beliau hanya memerlukan perkenan Sultan Selangor
bagi memastikan Exco yang bakal membantunya kelak dapat sama-sama menyembunyikan segala
komplotnya untuk membolot khazanah kekayaan di Selangor.
"Dari sudut pandangan kami, jika Khir membuat rombakan Exco, ia akan membuatkan Umno
Selangor berkocak kembali. Peluang pembangkang semakin terbuka dan segala dakwaan rasuah
kepadanya boleh kami gunakan dalam pilihan raya akan datang," kata seorang aktivis
PAS di Tanjong Karang.
Dalam pada itu, penyokong-penyokong Khir mendakwa Perdana Menteri telah bertindak wajar
apabila langsung tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan Lutfi kepada Khir.
"PM sudah pasti akan mengekalkan Khir, bukan saja sampai pilihan raya akan datang,
tetapi akan terus melantik Khir menjadi MB Selangor dalam waktu yang agak panjang,"
kata salah seorang dari mereka.
Bagaimanapun, ada juga penyokongnya yang berbeza pandangan: "Mahathir minta Khir
mencari kambing hitam untuk dikorbankan, mungkin Dr Karim Mansor, Setiausaha Politiknya.
Walaupun Mahathir tahu segala dakwaan rasuah kepada Khir mempunyai asas kukuh, tetapi PM
masih sayangkannya dan mahu memberi peluang kedua kepada Khir. Tapi seseorang harus
mengambil tanggungjawab terhadap dakwaan Lutfi itu, dan Karim Mansor adalah tokoh paling
sesuai untuk berbuat demikian."
Juka-juak Khir ini mendakwa kalaupun apa yang dilakukan Khir boleh dikatakan satu amalan
rasuah, tetapi peruntukan undang-undang membenarkannya. "Kalaupun salah, ia hanya
setakat salah moral. Mengagihkan tanah dana kawasan balak, walaupun kepada kroni dan
budak-budak berumur 20 tahun bukan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah
1997."
Mengenai dakwaan Khir menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan tapak
banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun 50
peratus, mereka berkata, semua prosedur lazim telah dipatuhi sebelum tanah itu ditawarkan
kepada Khir.
"Kalaupun salah, mungkin ia akan dibebankan kepada Pengurus Besar PKNS yang membuat
tawaran, dan bukannya Pengerusi PKNS yang menerima tawatan itu."
Dan jika Khir berjaya membuat rombakan Exco, juak-juak Khir percaya segala punca maklumat
kepada Lutfi dapat diputuskan. Maka impian kroni Khir untuk membolot kekayaan Selangor
akan tercapai dengan lebih mudah lagi!
Ura-ura Khir akan merombak Exconya tercetus apabila seorang wartawan Agendadaily menulis
surat kepada Forum Pembaca Utusan Malaysia minta digugurkan Exco tertentu yang didakwa
menjadi gunting dalam lipatan.
Konspirasi daripada Pejabat MB Selangor ini semakin rancak apabila Ketua Biro Utusan di
Klang, Amir Sharifudin menggesa dua Exco yang disyakki memberi maklumat rahsia kepada
Lutfi, iaitu Dr Zainal Abidin Ahmad dan Datuk Shariff Jajang digugurkan.
Seperti biasa, Utusan kemudiannya akan bertanyakan ura-ura itu kepada Khir bagi mendapat
komen lanjut (walaupun idea asalnya datang dari Khir sendiri). Khir bagaimanapun
dilaporkan enggan mengulas lanjut!
|
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor |