Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Catatan Anak Jati Selangor: Mengenang Nasib Malang Darul Ehsan
 


Oleh TARUNA SELAYANG

Di malam yang syahdu ini, aku teringat nasib negeri Selangor, negeriku yang tercinta, yang malang ini. Negerinya kaya, kedudukannya strategik, masa depannya cerah, tetapi malang sekali sekali ia dikendalikan oleh tokoh-tokoh yang mudah gelap mata, sama ada oleh kerana wanita ataupun harta.


Sudah berapa kali Menteri Besarnya mempunyai rekod buruk, kalau tidak kerana hubungan dengan perempuan, pastilah terkenal dengan rekod rasuah. Ia amat memalukan buat bangsa Melayu, seolah-olah orang Melayu ini tidak boleh tergoda langsung dengan dua fitnah besar itu, wanita dan harta.

Perdana Menteri sendiri sudah pening macam mana nak atasi masalah Selangor ini sedangkan Selangor negeri terpenting buat BN. Sebab itu dipilihnya si Khir Toyo agar luka lama pengalaman MB Selangor tidak berulang. Khir dari keluarga susah, yang tahu derita dan peritnya orang bawahan. Diharap Khir tidak mentadbir Selangor macam tokoh terdahulu yang menjadikan Selangor seperti milik sendiri, diagihkan kekayaannya menurut sesuka hati.

Tup tup hanya selang beberapa bulan selepas jadi MB, Khir sudah mampu bayar cash sebanyak RM150,000 pinjaman perumahannya. Memang duit sebanyak itu tidaklah mengejutkan.

Tapi duit RM150 ribu itu membawa banyak pengertian dan menimbulkan banyak tandatanya. Bila orang yang sudah selesa dengan pinjaman yang diberikan oleh pihak bank tiba-tiba mengambil keputusan membayar semua baki pinjamannya, bermakna orang itu mempunyai wang yang jumlahnya mungkin berpuluh kali ganda daripada jumlah yang ingin diselesaikannya. Dan Khir pun dikatakan mengisytiharkan hartanya kepada PM tidakpun sampai RM400,000.

Kemudian timbul isu Khir meluluskan tanah-tanah berharga tinggi kepada kaum kerabat dan kroni terdekatnya, dan lebih menghairankan bagaimana anak-anak muda berumur 20 tahun sudah dapat tanah 50 ekar seorang di Kuala Langat, termasuk anak Pegawai Daerah di kawasan berkenaan. Dalam perkembangan terbaru, DO tersebut telahpun memilih untuk bersara awal apabila kesnya didedahkan kepada umum. Mungkin dia tak mahu isu anaknya yang berumur 20 tahun itu, yang juga mendapat tanah 50 ekar, akan menyukarkan kerja-kerjanya sebagai DO Kuala Langat. Bagi saya, ini tindakan yang tepat sekali.

Dalam kes Khir mendapat dua kali tawaran tanah daripada Pengurus Besar PKNS, Harun Salim, dengan tawaran kedua membawa potongan harga tanah sebanyak 50%, ia sekali lagi menunjukkan Khir seorang yang rakus dengan kuasa yang ada padanya sebagai Pengerusi PKNS. Dalam mesyuarat pertama selepas dilantik Pengerusi PKNS, Khir melepaskan geram yang terbuku di hatinya selama ini, bilamana semasa beliau orang biasa dulu, dan pernah memohon tanah dengan PKNS, permohonan Khir diketepikan begitu saja. Dan bila dilantik MB, kemudiannya Pengerusi PKNS, maka Khir menggunakan kesempatan dalam mesyuarat pertama PKNS untuk memulangkan paku buah keras kepada Harun Salim. Siapa tak kenal Harun dan isterinya, yang tidak pernah letih untuk mengaut kekayaan peribadi melalui kedudukan pentingnya di PKNS. Harun yang mula merasakan kedudukannya sebagai Pengurus Besar PKNS tergugat cepat-cepat mencari jalan penyelesaian untuk melembutkan hati Khir. Sebab itu dia menawarkan tanah berlokasi strategik di Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi kepada Khir dengan potongan istimewa.

Berdasarkan kes tanah PKNS itu, kita boleh menjangkakan yang Khir akan menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan lebih banyak wang panas, khususnya dalam menguruskan tanah-tanah PKNS yang begitu luas itu. Selalunya PKNS mendapat keistimewaan harga bila ditawarkan tanah oleh kerajaan negeri. Dan tanah-tanah ini apabila dimajukan kelak, maka Khir sebagai Pengerusi PKNS akan memilih syarikat tertentu dengan menawarkan harga murah, tetapi di belakangnya ada perjanjian sulit di mana syarikat itu akan menyerahkan wang panas kepada Khir. Logiknya jelas sekali, kalau syarikat itu mendapat keuntungan berlipat kali ganda kerana memajukan tanah murah PKNS, tentunya taukehnya tidak teragak-agak untuk menyumbangkan dua tiga puluh juta kepada Khir memandangkan keuntungannya sendiri mendekati RM100 juta. Hal ini mudah difahami oleh mereka yang terbabit dalam kerja-kerja berkaitan!

Begitu juga dalam kes rasuah Khir membabitkan projek jalan di Sekinchan sejauh 20km tetapi memakan belanja besar, iaitu RM92.5 juta. Ia diserahkan kepada kontraktor yang sudah disenaraihitamkan, yang mana lima projek terbarunya telah terbengkalai. Dan memangpun kontraktor berkenaan, Meram Holdings tidak membuat apa-apa kerja dalam pembinaan jalan itu, kerana ia diserahkan bulat-bulat kepada Cabaran Wangsa, yang dikuasai oleh Pua Kim An, rakan baik Khir di Sekinchan dan merupakan penyumbang dana kempen Khir pada pilihan raya 1999 dulu. Keluarga Pua ini mendapat habuan lumayan daripada Khir, seperti 100 ekar tanah di Shah Alam dan 1,200 ekar kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat. Khir sekali lagi mendapat habuan lumayan dari Pua Kim An, lebih RM20 juta tunai kerana menyerahkan projek jalan termahal itu kepada Cabaran Wangsa. Manakan tidak Pua Kim An senang-senang mendapat untung lebih RM40 juta dalam projek itu, jadi tidak salah jika beliau berkongsi untung dengan Khir kerana ia akan memudahkannya mendapatkan projek-projek lain nanti!

Sebab itu aku langsung tidak terkejut bila Lutfi terus mendedahkan Khir mendapat rasuah yang cukup besar dalam projek-projek lain, misalnya membekal dan memasang paip air 1.2m garispusat daripada Empangan Semenyih ke Pekan Banting, sejauh 37km tetapi memakan belanja cukup besar, iaitu RM83 juta. Sedangkan kontraktor berpengalaman dalam kerja memasang dan membekal paip air selama 20 tahun hanya menganggarkan nilai projek itu tidakpun melebihi RM37 juta! Jadi, bila Lutfi kata ada pihak yang syak Khir melalui adik iparnya mendapat lebih RM20 juta dari projek ini, aku hanya mampu berkata: "Padan muka rakyat Selangor yang menyokong BN. Maka, bertambah malanglah orang Selangor yang tidak habis-habis ditipu oleh menteri besarnya."

Lutfi, bagi aku hanya mendedahkan sebahagian kecil daripada kemungkaran besar yang dilakukan Khir Toyo bersama kelompok penasihat rapatnya, seperti Dr Karim Mansor (bekas Ketua Pemuda Umno Selangor yang kini Setpol Khir) dan Selamat Dollah (Ketua Pemuda Umno Tanjung Karang yang juga pembantu khas Khir). Mereka ini memunggah harta dan khazanah negeri Selangor seperti harta mak bapak mereka. Dengan perasaan tamak, Khir dan kelompoknya mahu mengaut kekayaan Selangor seolah-olah tempohnya menjadi MB Selangor akan berakhir bila-bila masa saja. Maka atas kesempatan yang ada, Khir dan Karim khususnya tidak sabar-sabar lagi meratah dengan cukup pelahap sekali segala aset Selangor, terutama bagi mengumpul dana untuk diri sendiri dan sebagai bekal untuk membeli undi perwakilan Umno apabila Khir memutuskan untuk bertanding apa-apa jawatan tinggi dalam barisan kepimpinan Umno nanti.

Soalnya, dengan segala bukti yang dikemukakan Lutfi, tetapi dikatakan langsung tidak diendahkan Badan Pencegah Rasuah, apa yang boleh kita lakukan seterusnya? Apakah nasib rakyat negeri malang ini akan terus berangkaian dengan pelbagai insiden malang lagi? Apakah kita langsung tidak berupaya untuk menukar kepemimpinan yang sedia diketahui melakukan amalan korup dan salahguna kuasa itu?

Apa pun hanya maaf yang dapat aku lafazkan kepada pimpinan pembangkang jika sehingga ini aku tidak yakin -- meskipun di tengah keributan yang ada -- dengan kemampuan Barisan Alternatif untuk mengambil alih negeri ini. Masih banyak yang perlu dilakukan, bukan saja mendedahkan kebusukan perangai parti lawan, tetapi yang lebih penting menampilkan imej parti sendiri yang segak, menawan dan berkeupayaan!


 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net