Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Jawapan Kepada Wong Chun Wai: Isu Pegangan Kerajaan Singapura Dalam The Star Wajar Dibahaskan
 

oleh: Saifuddin Nasution Ismail
Timbalan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional
saifuddin@pemuda-keadilan.org



Dalam sebuah demokrasi yang subur, media massa memainkan peranan yang penting lagi strategik. Peranan utamanya adalah untuk mempersembahkan berita dan analisis semasa, yang mana kuasa suratkhabar dan media elektronik amat kuat sehingga dapat menjanakan permuafakatan masyarakat umum. Oleh itu, atas dasar kepentingan negara, syarikat-syarikat media tidak harus dikuasai oleh pihak-pihak yang mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan-kerajaan asing, terutama yang tidak sehaluan dengan kepentingan dalaman.

Atas sebab inilah maka Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dalam kenyataan akhbar 2hb Mac lepas mempersoalkan isu mengapa kerajaan Singapura dibenarkan memegang secara langsung saham-saham yang sebegitu banyak dalam dua akhbar utama negara, iaitu NST dan The Star. Pegangan ini tidak merupakan pelaburan biasa oleh sebuah syarikat perniagaan, tetapi pegangan secara langsung oleh kerajaan Republik Singapura.

Rakyat Malaysia rata-ratanya khuatir bahawa akhbar-akhbar ini boleh dipengaruhi secara mudah oleh kerajaan-kerajaan asing. Dalam persekitaran media yang terkongkong di Malaysia, perlu ada satu pemantauan ke atas pengaruh-pengaruh sedemikian. Pemuda Keadilan berpendapat bahawa langkah-langkah keselamatan perlu diambil untuk memastikan akhbar-akhbar Malaysia kekal sebagai milikan orang Malaysia.

Kita mahu kerajaan Malaysia menerangkan kenapa pegangan tersebut - yang dikira sebagai "substantial" (gadang) di bawah peraturan-peraturan BSKL - tetap dibenarkan. Perdana Menteri Mahathir Mohamad sendiri sering menyuarakan rasa tidak senangnya dengan "pencerobohan" oleh kuasa-kuasa asing dalam industri-industri strategik di Malaysia. Pada masa yang sama, kerajaan Singapura telah disenaraikan oleh BSKL sebagai pemegang saham yang keempat terbesar dalam kedua-dua NST dan The Star. Malah sehingga bulan Mac tahun 2000, kerajaan Singapura merupakan pemegang saham KEDUA terbesar dalam The Star.

Ini satu isu yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Isu penting sebegini tidak harus ditepis hanya dengan memberi alasan bahawa pegangan-pegangan saham ini merupakan "pelaburan biasa". Yang lebih meragukan, syarikat-syarikat akhbar diu Malaysia kerapkali memberi pulangan yang rendah berbanding dengan syarikat-syarikat lain yang setara. Tetapi kerajaan Singapura terus melabur dalam syarikat sebegini. Untuk apa?

Kerajaan Singapura dengan pegangan sebanyak 7.85% dalam The Star mempunyai hak untuk menuntut kerusi lembaga pengarah. Rakyat Malaysia tentunya merasakan perkara ini "sikit-sikit lama-lama jadi bukit", di mana sebuah kerajaan yang seringkali berlawanan dengan kepentingan rakyat Malaysia menguasai akhbar dan saham-saham dalam industri media tanah air.

Dalam The Sunday Star keluaran 10hb Mac lepas, wartawan Wong Chun Wai bermati-matian mempertahankan pegangan-pegangan tersebut dan memperkecil-kecilkan bahayanya. Beliau tidak menganggap pegangan oleh kerajaan Singapura ini mengancam hak rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa akhbar-akhbar ini akan mewakili pandangan dan peribadi orang Malaysia. Beliau tidak mengulas isu pokok bahawa dengan pegangan-pegangan sedemikian, kerajaan Singapura mampu untuk menggoncang nilai pasaran kedua-dua syarikat tersebut dan sekaligus menggugat pelabur-pelabur tempatan. Lebih pentinga lagi, beliau menolak ketepi idea bahawa Singapura mampu mempengaruhi pengurusan akhbar-akhbar tersebut melalui agen-agennya, samada orang Malaysia mahupun rakyat asing.

Malah artikel Wong menyeleweng isu-isu yang dikemukakan oleh Pemuda Keadilan dalam kenyataan akhbar kami pada 2hb Mac dan kenyataan yang berikutnya pada 6hb Mac. Dalam kenyataan yang pertama, kami mengemukakan soal pegangan saham yang signifikan dan mendesak kerajaan Malaysia untuk memberi penjelasan mengapa pegangan saham ini dibenarikan dalam industri-industri strategik.

Kenyataan akhbar yang berikutnya diterbitkan selepas sumber-sumber dalam BSKL mengesahkan bahawa kerajaan Singapura mempunyai pegangan saham dalam NST dan The Star yang boleh ditakrifkan sebagai "signifikan". Setiausaha Syarikat The Star, Ong Wei Lynn sendiri mengesahkan fakta tersebut.

Wong sebenarnya tidak merujuk kepada kenyataan-kenyataan akhbar kami yang asal tetapi sebaliknya "mencipta" tuduhan yang kononnya datang daripada kami. Beliau mengatakan bahawa saya tidak mengesahkan fakta terlebih dahulu dan peraturan-peraturan FIC "membolehkan pelaburan dalam syarikat-syarikat media jika pegangan tersebut kurang daripada 30%". Itu tidak pernah menjadi isu. Pemuda Keadilan dari dahulu lagi memang sedar tentang wujudnya peraturan tersebut. Yang kami persoalkan ialah samada peraturan itu patut untuk pelaburan dalam industri-industri strategik apabila si-pelabur tersebut bukannya pelabur persendirian tetapi sebuah kerajaan asing.

Saya juga tidak pernah mendakwa bahawa Singapura ada wakil dalam Lembaga Pengarah NST dan The Star. Apa yang saya sebut dalam kenyataan-kenyataan saya (yang disertai dengan artikel ini) ialah bahawa pegangan-pegangan dalam The Star adalah mencukupi untuk menuntut satu kerusi dalam lembaga pengarah syarikat tersebut. Kerajaan Singapura tidak perlu melantik rakyat Singapura, tetapi boleh melantik rakyat Malaysia ataupun rakyat negara lain. Di bawah peraturan-peraturan pelaburan Singapura, tidak ada sebarang halangan dari segi kerakyatan dalam melantik pengurus-pengurus besar atau wakil-wakilnya. Kawalan kewangan yang digunapakai oleh kerajaan Singapura cukup untuk mempengaruhi perjalanan syarikat tanpa melantik seorang pengarah pun.

Adalah jelas bahawa Wong telah menulis artikelnya tanpa merujuk kepada kenyataan-kenyataan asal yang dikeluarkan oleh Pemuda Keadilan. Artikel beliau tidak membayangkan penulisan kewartawanan yang serius, tetapi hanya bertujuan untuk menyelamatkan air muka majikannya. Kami kesal kerana Wong telah "mencipta" kenyataan-kenyataan baru yang tidak pernah timbul dalam siaran kami kepada pihak media, mahupun dalam sebarang wawancara yang pernah kami beri mengenai isu ini.

Lebih mengecewakan lagi, jelas sangat bahawa Wong telah mengambil "fakta-fakta"nya daripada sebuah laporan berita yang diterbitkan oleh Straits Times Singapura bertarikh 5hb Mac. Dalam laporan tersebut, "dakwaan-dakwaan" itu disebut buat kali yang pertama. Wartawan yang menulis laporan tersebut tidak langsung merujuk kepada kenyataan-kenyataan kami (kami tidak pernah menghantarnya sebarang salinan) dan dalam kata-katanya sendiri, tidak dapat menghubungi Pemuda KeADILan untuk mendapatkan pandangan kami. Wong mencungkil laporan berita ini sebagai "fakta", padahal ianya ditulis atas sangkaan yang tidak berasas.

Kwajipan utama seorang wartawan yang baik iaitu mengesahkan sumber telahpun dicabuli. Wong menceduk "fakta"nya daripada sebuah akhbar Singapura sekaligus membayangkan pengaruh negera tersebut ke atas akhbar The Star. Malah, kita harus ingat bahawa akhbar Straits Times Singapura dikuasai secara majoriti oleh Kerajaan Singapura dan seringkali mengulangi sahaja kenyataan-kenyataan pemimpin republik tersebut. Wong, sebagai rakyat Malaysia memilih untuk tidak mengesahkan sumber-sumbernya dengan orang-orang Malaysia yang mengeluarkan kenyataan tersebut, tetapi sebaliknya merujuk kepada sebuah laporan media asing.

Dalam artikelnya Wong juga membuat anggapan bahawa kenyataan-kenyataan saya hanya ditujukan kepada "penonton Melayu". Buat pengetahuan beliau, kenyataan saya yang pertama dikeluarkan di Konvensyen Keadilan di Dewan Hock Chew di Yong Peng, Johor di mana "penonton"nya terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Kaum tidak menjadi isu langsung. Kepentingan negara yang merangkumi semua kaum lebih utama. Sebagai parti berbilang kaum, KeADILan terus berjuang atas dasar ini, bukannya kepentingan sempit sesetengah kaum, baik majoriti Melayu mahupun bangsa lain.

Artikel tulisan Wong menyebut bahawa kenyataan-kenyataan tersebut ditujukan kepada "masyarakat Melayu yang mungkin tidak membaca akhbar-akhbar bahasa Inggeris tersebut". Pemuda Keadilan merasakan bahawa kenyataan ini adalah satu penghinaan kepada pembaca-pembaca The Star yang berbangsa Melayu. Wong mungkin tidak sedar bahawa orang Melayu sekarang cukup mampu untuk membaca suratkhabar dalam bahasa Inggeris, mahupun penerbitan-penerbitan dalam bahasa ibunda mereka. Pembaca-pembaca The Star - kalau Wong benar-benar merujuk kepada fakta-faktanya - terdiri daripada semua kaum di negara ini. Orang Melayu bukan sahaja merupakan sebilangan besar pembaca The Star, tetapi juga NST. Setahu kami, beberapa orang Melayu merupakan ketua-ketua pengarang NST dan memegang jawatan-jawatan yang sama penting dalam The Star!

Saya tidak mahu berbalah dengan Wong mengenai siapa pembaca-pembaca The Star. Mungkin dia mempunyai alasan-alasannya yang tersendiri untuk membayangkan bahawa para pembacanya hanya terdiri daripada satu kaum sahaja. Walau bagaimanapun, kalaulah saya pembaca Melayu The Star, (saya juga kadang-kadang mencuri baca) pasti saya akan tersinggung kerana Wong selaku pengarang akhbar The Star lebih cenderung untuk menimbulkan soal perkauman daripada mengupas satu isu awam yang penting.

Persoalan pokok masih tidak terjawab: Singpapura mempunyai pegangan langsung dalam syarikat-syarikat strategik Malaysia. The Star, secara disedari atau tidak, dimiliki secara signifikan oleh sebuah kerajaan asing. Di bawah Akta Syarikat Malaysia, pemegang-pemegang saham seperti mereka mempunyai hak-hak yang terlindung di bawah undang-undang. Mereka mempunyai pengaruh, lazimnya yang tidak kelihatan, terhadap pengurusan syarikat tersebut.

Kami merasakan bahawa rakyat Singapura, sebagai pelabur persendirian patut terus digalakkan untuk membeli saham-saham Malaysia. Seperti pelabur-pelabur asing yang lain, mereka harus juga dibenarkan untuk menyertai dunia perdagangan Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan-kerajaan asing tidak harus dibenarkan membeli pegangan dalam syarikat yang mempunyai fungsi sosial selain fungsi perniagaan, apatah lagi tanpa sebarang kawalan. Syarikat akhbar tergulung dalam kumpulan sebegini.

Apa yang diterbitkan oleh akhbar boleh membawa kepada perbincangan umum dan ini membantu penentuan agenda politik sesebuah negara. Fungsi ini tidak patut dicampuri dengan pengaruh kerajaan luar. Malah, kerajaan Malaysia sekalipun tidak patut mempengaruhi perjalanan sesebuah akhbar. Kebebasan media mestilah dijaga supaya demokrasi di Malaysia mendapat ruang membesar yang sewajarnya.

Mungkin sedikit mustahil untuk Wong menulis komen yang adil tentang isu ini. Semenjak kerajaan mengharamkan akhbar The Star dalam kemelut "Operasi Lallang", judul itu seperti hilang punca. Jiwa merdeka yang diperturunkan oleh bekas pengerusinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, kini umpama sudah lenyap, mungkin buat selama-lamanya. The Star yang dulunya menjadi contoh kewibawaan dunia kewartawanan, kini hanya mempunyai sekerat dua wartawan yang bebas. Yang pasti, para pengarang atasannya tidak lagi bebas seperti sebelum 1987.

Janganlah kita biarkan keadaan ini berlarutan. Marilah kita menghalang akhbar seperti NST dan The Star daripada dipergunakan oleh unsur dari luar. Mereka patut bebas dan berkhidmat kepada para pembaca dengan menyiarkan berita secara adil dan tepat. Kita boleh membantu ke arah matlamat ini dengan mendesak kerajaan menjelaskan pendiriannya terhadap milikan kerajaan asing dalam industri strategik sebegini.

Berbalik kepada artikel Wong, sebagai ahli politik tentulah saya mengharapkan para wartawan menulis berita mereka berdasarkan sumber yang sah. Lebih adil jika Wong mendengar pendapat kedua-dua pihak dalam suatu isu sebelum membuat sebarang kesimpulan sendiri. Saya masih menunggu panggilan telefon dari Wong untuk menjelaskan pendirian saya secara bedrdepan. Dengan cara inilah maka kita sama-sama menjaga tugas akhbar sebagai alat demokrasi dan bukannya hanya sebagai kuda tunggangan pihak pemerintah.

* * *
(Pemuda keADILan Pusat)

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net