PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Ezam: Pemuda KeADILan Perjuangkan Hak Asasi Manusia

- Pemuda Parti KeADILan Nasional memperjuangkan hak asasi manusia kerana tanggungjawab membela hak seluruh rakyat, kata ketuanya, Mohamad Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata, pihaknya menuntut hak untuk berpolitik dengan bebas, hak berkumpul, hak bersuara sama ada melalui media massa mahupun penyampaian terus kepada rakyat, hak mengundi tanpa tekanan dan penyelewengan serta hak untuk bergerak dengan bebas dalam negara sendiri.

Menurutnya, demonstrasi jalanan dan perhimpunan aman yang lain bukanlah lahir akibat hasutan mana-mana pihak sebaliknya ia adalah ledakan daripada jiwa rakyat yang tertekan kerana dinafikan hak mereka.

"Rakyat yang dipinggirkan meminta agar suara mereka didengar kerana sesungguhknya telinga Mahathir sudah pekak terhadap kegusaran dan rintihan rakyat," ujarnya dalam pembentangan Ucapan Dasar di Persidangan Agung Pertama Pemuda KeADILan Malaysia yang bertemakan `Kelahiran Pemuda KeADILan' yang diadakan di Dewan Bandaran Cukai, di sini, Sabtu lepas.

Teks ucapan itu dibacakan oleh pemangkunya, Saudara Mustaffa Kamil Ayub.

Beliau juga menyifatkan demokrasi di negara ini telah mati kerana kebebasan bersuara disekat, hak parti politik dinafikan manakala berceramah walaupun di halaman rumah sendiri atau di markas parti diharamkan.

Katanya, pemerintah sebenarnya telah mengharamkan parti politik di Malaysia dan sememangnya Mahathir enggan mengabulkan tuntutan rakyat.

Menurutnya, Mahathir yang disifatkan sebagai tikus tua belum tentu giginya menggigit apabila berhadapan dengan Pemuda KeADILan yang masih berani mendepani kempen membebaskan tahanan ISA dan lain-lain rapat umum mendesak kebebasan rakyat yang terbelenggu.

Mengenai Suhakam pula, katanya tidak mempunyai ruang untuk mengkritik dan keinginannya untuk membela hak-hak dan kebebasan rakyat telah diherdik sebagai budak suruhan barat.

"Kita berbangga Pesuruhjaya Suhakam membongkar penganiayaan kerajaan dan polis terhadap rakyat yang tidak berdosa dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat di Lebuhraya Kesas tempoh hari," ujarnya.

Tegasnya, Pemuda KeADILan akan terus berjuang menegakkan hak asasi manusia walaupun dalam proses tersebut ramai yang ditahan dan didakwa kerana ianya adalah sebahagian daripada proses pendidikan yang bakal melahirkan generasi yang memahami erti hak asasi manusia.


Negara Islam: Pemuda KeADILan cabar bicara semula Anwar

- Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad mempermainkan istilah negara Islam kerana menyatakan negara ini adalah negara Islam.

Tegasnya, jika benar kenyataan itu, pihaknya mencabar Dr Mahathir supaya mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di mahkamah syariah dan bawalah sebanyak manapun bukti dan saksi-saksi seperti yang diperakui oleh undang-undang syarak.

Katanya, dalam negara Islam yang bernama Malaysia ini, Anwar telah dihukum dengan cara yang cukup bertentangan dengan segala konsep keadilan yang telah diperturunkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Dalam amalan perundangan Islam, tuduhan terhadap Anwar bukan sekadar meleset tetapi tidak akan sabit kesalahannya," ujarnya dalam pembentangan Ucapan Dasar di Persidangan Agung Pertama Pemuda KeADILan Malaysia yang bertemakan `Kelahiran Pemuda KeADILan' di Dewan Bandaran Cukai, di sini, hari ini. Teks ucapan itu dibacakan oleh pemangkunya, Saudara Mustaffa Kamil Ayub.

Malah, katanya tuduhan seperti itu yang dilakukan secara fitnah tanpa bukti yang kukuh dan saksi yang muhsan akan dibalas dengan hukuman yang berat di bawah hukum syarak.

Tambahnya, pemerintah boleh menangkap dan memenjarakan sewenang-wenangnya mana-mana rakyat yang mengguris perasaan mereka di bawah kerajaan Malaysia yang dikatakan negara Islam ini.

Menurutnya, dalam negara Islam yang benar-benar diasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah, penahanan ISA tanpa bukti seperti yang berlaku sekarang tentulah tidak akan terjadi," ujarnya.

Beliau menambah, dalam negara Islam, seorang pemimpin tidak akan dapat berselindung di sebalik pangkatnya yang tinggi, lantas meloloskan diri daripada menjadi saksi dalam mahkamah manakala mereka yang membuat tuduhan walhal takut menjadi saksi akan mendapat kutukan Allah.

Katanya lagi, Islam adalah agama toleran dan Nabi Muhammad s.a.w. dan khulafa ur-rasyidin menunjukkan contoh keluhuran undang-undang, keadilan sistem kehakiman, kebebasan beragama, diplomasi antarabangsa yang beretika.

"Yang paling penting ialah bahawa agama menjadi pegangan dan bukannya permainan politik semata-mata," katanya.

Justeru itu, tegasnya, Pemuda KeADILan mempertahankan Islam dan kedudukannya sebagai agama rasmi negara sambil mendaulatkan jaminan di bawah Perlembagaan Malaysia bahawa rakyat bebas mengamalkan agama yang mereka anuti dan budaya yang mereka warisi.


Proses ganti kerajaan perlu kerjasama semua kaum

- Proses menggantikan Dr Mahathir dan kerajaannya dengan pemerintah yang lebih adil dan progresif memerlukan kerjasama semua kaum, kata Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor.

Katanya, orang Melayu sahaja tidak mampu untuk menumbangkan kerajaan Mahathir kerana kerajaan alternatif yang bakal dibentuk akan goyah jika orang Cina, India dan lain-lain menolak kerajaan itu.

Tambahnya, Barisan Alternatif (BA) perlu memecahkan hegemoni BN sebagai satu kuasa baru fahaman sederhana dan mesti menghancurkan politik perkauman BN yang kolot dan ketinggalan zaman.

"Kita harus mengetengahkan politik baru yang bebas daripada politik komplot dan kepentingan diri, kita harus sedar bahawa rakyat bukan sahaja mahukan BA yang bersih tetapi kelihatan bersih," ujarnya dalam pembentangan Ucapan Dasar di Persidangan Agung Pertama Pemuda KeADILan Malaysia yang bertemakan `Kelahiran Pemuda KeADILan' di Dewan Bandaran Cukai, di sini, Sabtu 10 November lepas.

Teks ucapan itu dibacakan oleh pemangkunya, Saudara Mustaffa Kamil Ayub.

Beliau berkata, persepsi rakyat terhadap BA akan menentukan jatuh bangun ikatan politik pada masa akan datang dan perpaduan antara BA patut dicerminkan oleh barisan pemimpin yang boleh menjalin kerjasama antara pelbagai parti.

"Menjelang pilihan raya umum akan datang, Pemuda KeADILan mendesak para pemimpin BA segera mengatur strategi yang kukuh termasuk bernaung di bawah satu simbol.

"BA harus wujud sebagai `kerajaan bayangan' yang mempunyai imej tunggal walaupun mewakili berbagai parti," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru pimpinan BA agar lebih terbuka kepada harapan bernaung di bawah satu simbol, satu manifesto dan satu strategi yang terbuka di samping menubuhkan Sekretariat Media dan Akhbar untuk menyatakan semua aspirasi, kenyataan dan keputusan barisan itu.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]