PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
MPT keADILan: Lokman Noor Adam Terpilih; Dr Badrul Amin Duduki Tempat Kedua

Oleh ROZAID A RAHMAN

- Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Lokman Noor Adam berjaya memenangi kerusi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada pemilihan pertama parti itu yang berlangsung di sini semalam.

Bekas pemimpin Pergerakan Pemuda Keadilan itu berjaya menduduki tempat ke 18 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan. Lokman memperolehi 369 undi.

Kemenangan beliau melengkapkan kejayaan trio Kamunting pada pemilihan parti berkenaan. Pada hari pertama persidangan, Ezam M.Nor telah memenangi kerusi ketua pergerakan pemuda tanpa bertanding.

Ini diikuti oleh kejayaan Tian Chua mempertahankan kerusi naib presiden yang disandangnya.

Bagaimanapun keputusan yang agak mengejutkan ialah kemampuan seorang lagi bekas tahanan ISA, Dr Badrul Amin Bahron untuk menduduki tempat kedua kerusi MPT dengan meraih undi sebanyak 611.

Sepertimana Lokman, Dr Badrul juga adalah bekas anggota exco Pemuda Keadilan dan telah ditahan di bawah ISA bersama-sama Ezam M Nor, Tian Chua dan Hishamuddin Rais pada April lalu kerana didakwa terlibat dengan rancangan untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara yang tidak demokratik.

Dr Badrul dibebaskan dari Kamunting beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Keadilan berlangsung di sini. Bagaimanapun pergerakan beliau dihadkan di dalam daerah Gombak sahaja.

Ini menyebabkan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu tidak dapat menghadiri perhimpunan agung berkenaan.

Namun begitu popularitinya ternyata mengatasi segala-galanya dan itu sudah cukup untuk meletakkan beliau di kerusi yang kedua teratas walaupun jasadnya tidak berada di dalam dewan persidangan.

Menduduki tangga teratas MPT ialah ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Cini, Pahang, Jafri Hj Rashid dengan undi sebanyak 636.

Tidak jelas bagaimanakah beliau menjadi calon yang paling popular memandangkan kedudukannya bukan sebagai seorang tokoh nasional.

Tetapi pengiktirafan yang diterimanya semalam merupakan satu endorsement betapa ahli-ahli Keadilan mahu melihat beliau memainkan peranan yang besar mengemblingkan tenaga parti itu di Negeri Pahang menjelang pilihanraya umum akan datang.

Di tempat ketiga ialah ahli Parlimen Kemaman Rahman Yusof yang mendapat undi sebanyak 584.

Dua orang pemimpin bukan Melayu, Dr Lee Boon Chye dan Dr Xavier Jayakumar berjaya menduduki tempat ke empat dan kelima - sekaligus menjadikan mereka sebagai pemimpin bukan Melayu paling popular dalam parti berkenaan selepas Tian Chua.

Xavier sebelum ini menduduki kerusi MPT manakala Lee Boon Chye adalah muka baru.

Selain mereka dua orang lagi pemimpin dari kalangan kaum Cina yang berjaya mendapat tempat ialah penyandang jawatan Ng Lum Yoong yang menduduki tempat ke lapan dan seorang tokoh muda dari Pulau Pinang Chea Kia Peng.

Seorang lagi bekas setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, Dr Mansor Othman yang juga pengerusi Badan Perhubungan Keadilan Pulau Pinang berjaya menduduki tempat ke enam.

Dua orang pemimpin yang dikaitkan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) iaitu Dr Mohd Nor Nawawi berjaya menduduki tempat ke sepuluh dan bekas pemimpin Abim Kelantan, Ahmad Mustafa mendapat tempat ke tiga belas.

Seorang wakil wanita turut dipilih untuk menduduki kerusi MPT. Beliau ialah Zuraidah Kamaruddin yang juga bekas setiausaha Pergerakan Wanita Keadilan.

Salah seorang pengasas Keadilan yang juga bekas penasihat politik kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Ahmad Zahid Hamidi iaitu Johari Abdul turut menang.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]