PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Dua Calon Bukan Melayu Menang Undi Tertinggi Dalam Exco Pemuda Keadilan

- Kemenangan dua calon bukan Melayu dengan memperolehi undi tertinggi dalam pertandingan kerusi exco Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) semalam telah membuktikan bahawa pemimpin bukan Melayu diterima dengan baik oleh para perwakilan pergerakan itu. Diong Chi Tzuoh mencatat sejarah dengan memperolehi undi tertinggi untuk kerusi exco dengan 285 undi diikuti oleh S Manikavasagam 277 undi dan bekas tahanan ISA, Abdul Ghani Haroon di tempat ketiga iaitu 271 undi.

Sebelum itu, seorang lagi tokoh bukan Melayu, Low Chee Chong telah berjaya memperolehi undi terbanyak untuk mempertahankan kerusi naib ketua pemuda yang disandangnya sebelum ini dengan memperolehi 248 undi. Dua lagi kerusi naib ketua dimenangi oleh Zahid Md Arip (213 undi) dan Shamsul Iskandar Md Akin (172 undi).

Untuk jawatan timbalan ketua, bekas pemimpin Pergerakan Pemuda Umno, Saifuddin Nasution Ismail berjaya menewaskan saingannya Mustafa Kamil Ayub, seorang lagi bekas pemimpin Umno dengan kelebihan 78 undi.

Dalam pada itu, daripada 20 yang terpilih menduduki kerusi exco, 18 daripadanya dikatakan dari kalangan pemimpin gerakan pro-reformasi yang tidak mempunyai kaitan dengan kepimpinan Abim.

Diong ketika bercakap kepada para wartawan selepas kemenangannya berkata, keputusan bijak para perwakilan dalam menentukan kepimpinan masa depan Keadilan menunjukkan bahawa pemimpin bukan Melayu mempunyai tempat dalam saf kepimpinan parti itu.

Beliau juga berkata kemenangan banyak calon dari kalangan pengerak reformis membuktikan para perwakilan mahukan pemimpin politik memimpin mereka.

Dengan kemenangan mereka juga, Diong sekali lagi memberi penekanan bahawa barisan kepimpinan baru Pemuda ini akan meneruskan seruan pemimpin mereka Ezam M Nor supaya menyegerakan rancangan penyatuan dengan PRM dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Timbalan Ketua Pemuda yang baru Saifuddin Nasution berkata, beliau amat optimis bahawa barisan baru ini akan membawa pemuda ke era baru lebih-lebih lagi sebagai persediaan menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Ini adalah barisan terbaik yang dipilih oleh para perwakilan dan mereka membuktikan bahawa mereka mahukan Keadilan terus kekal sebagai sebuah parti pelbagai kaum bukan hanya dikuasai oleh pemimpin Melayu semata-mata,” kata Saifuddin kepada AgendaDaily.Com.

Lain-lain anggota exco yang menang pada pertandingan semalam ialah Hj Abdul Halim Dawam; Zamil Ibrahim; Hamidzun Khairuddin; Zakir Yusoff; Sanusi Abdullah; Afandy Yusof; Johari Yasin; Ridzuan Abu Hassan; Liau Kok Fah; Fariz Musa; Mior Azman Dato Haji Mior Aris; Mat Nasir Tasrip; Badrul Hisham; Norazman Mat Amin; Zakaria Abdul Hamid; Fakrul Azman dan Rushdan Mustafa.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]