PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Saifuddin Tewaskan Mustafa; Zahid Md Arip Naib Ketua Yang Baru

Oleh ROZAID A RAHMAN

- Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas Saifuddin Nasution Ismail awal hari ini (12.30 tengah malam) telah diumumkan sebagai timbalan ketua pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang baru setelah beliau menewaskan penyandang jawatan Mustafa Kamil Ayub dengan kelebihan 78 undi.

Mustafa memperolehi 138 undi manakala Saifuddin 216 undi. Satu undi diisytiharkan rosak.

Jawatan ketua pemuda telah pun dimenangi oleh Ezam M. Nor tanpa bertanding. Ezam mencatat sejarah sebagai pemimpin Keadilan yang pertama memenangi jawatan yang dipilih ketika di dalam tahanan.

Beliau kini sedang menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting.

Bagi tiga kerusi naib ketua pemuda, tiga calon yang sememangnya dijangka terpilih iaitu Low Chee Chong, Muhammad Zahid Md Arip dan Shamsul Iskandar Akin berjaya menewaskan tiga calon lain.

Low mempertahankan jawatannya dengan memperolehi 247 undi diikuti rapat oleh Zahid yang mendapat 213 undi manakala Shamsul pula 172 undi.

Dua lagi naib ketua pemuda tidak mempertahankan jawatan masing-masing. Hamdan Mohd Taha telah melepaskan jawatannya beberapa minggu lalu manakala N. Gobalakrishnan sudah melepasi had umur pemuda. Beliau akan bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan hari ini.

Zahid pula sebelum ini adalah bekas ketua penerangan dan setiausaha pemuda Keadilan manakala Shamsul pula adalah anggota Exco dan ketua pemuda Negeri Melaka.

Jawatan pengerusi tetap pemuda dimenangi oleh Ramli Ishak. Sehingga berita ini diapungkan pada jam 1.21 pagi ini, keputusan untuk jawatan exco masih lagi dikira oleh jawatankuasa pemilihan parti.

Dalam pada itu, pertandingan bagi jawatan timbalan ketua pemuda sememangnya telah mencuri perhatian ramai kerana siapa sahaja yang berjaya akan dilihat sebagai pengemudi utama pemuda buat masa depan kerana Ezam masih ditahan di bawah ISA.

Yang kedua, Saifuddin dan Mustafa bukanlah orang baru dalam sepak terajang politik. Kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada dua orang menteri kanan.

Mustafa merupakan bekas setiausaha politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Saifuddin pula sebelum menyandang jawatan setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia adalah setiausaha politik kepada Datuk Sri Syed Hamid Albar.

Oleh itu ramai yang berkata pertandingan ini adalah pertandingan di antara dua bekas setiausaha politik.

Seramai 338 perwakilan dan 26 anggota Exco Pemuda membuang undi siang tadi iaitu selepas persidangan bersambung semula pada sebelah petang dan hanya selesai pada lebih kurang jam 7 petang.

Mereka mengundi untuk memilih pucuk pimpinan baru pemuda yang akan berkhidmat bagi tempoh tiga tahun.

Inilah buat pertama kalinya jawatan-jawatan dalam pergerakan itu dipertandingkan sejak Keadilan dilancarkan secara rasmi pada 4 April 1999.

Sementara itu, Ezam dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung itu berkata, Keadilan masih mengharapkan DAP kembali menyertai pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya tindakan DAP keluar dari pakatan pembangkang yang mereka gelar Barisan Alternatif, telah mengecewakan parti-parti lain dalam pakatan itu.

"Kita masih mengharapkan DAP akan bersama-sama membina BA yang lebih mantap menjelang pilihan raya akan datang," katanya. Teks ucapannya dibacakan Mustafa.

Ezam yang juga bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi mempertahankan jawatan Ketua Pemuda untuk penggal 2001-2004.

"BA sepatutnya menjadi payung yang menaungi pelbagai fahaman politik termasuk menjadi ikutan anggota-anggota DAP," katanya.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]