PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Dr Badrul Dikenakan Tahanan Daerah

Oleh Roy Rasul

- Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ustaz Badrul Amin Bahrum berkata beliau bukan dibebaskan tetapi perintah tahanan yang dikenakan ke atas nya selama dua tahun di Kem Kamunting digantung dengan perintah bersyarat iaitu perlu melapor diri seminggu sekali kepada Balai polis daerah Gombak.

Beliau yang dibenarkan keluar, meninggalkan Kem Kamunting pada 3 November lalu hanya terhad bergerak dalam kawasan Gombak, Selangor dan jika beliau ingin keluar dari kawasan tersebut beliau perlu mendapat izin daripada Ketua Polis negeri.

Katanya, pembebasan beliau yang terhad itu perlu dipatuhi sehingga tamat tempoh dua tahun penahanannya.

Menurut beliau, sememangnya beliau tidak menduga sama sekali bahawa beliau akan dibenarkan keluar dari kem kerana sebelum ini beliau tidak menerima apa-apa maklumat dari pihak berkuasa mengenai kebenaran tersebut.

"Syukur Al-hamdulillah, kerana saya dapat bertemu dengan kaum keluarga tersayang, lebih-lebih lagi anak-anak, isteri, ibu bapa sanak-saudara serta sahabat handai," katanya sambil melahir rasa rindunya kepada kedua ibu bapanya di Tawau, Sabah. Beliau sebelum ini yang merupakan salah seorang ahli Majlis Tertinggi parti KeADILan berkata pembebasan terhad beliau tertakluk kepada beberapa pra-syarat yang dikeluarkan oleh pihak kem.

Jelasnya, beliau tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti kepartian, berceramah yakni tidak boleh berucap dalam perjumpaan orang ramai atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada Kesatuan Sekerja kecuali mengundi dalam satu pilihan raya yang layak untuk mengundi.

Katanya, walaupun beliau gembira namun beliau masih menuntut pembebasannya yang sebenar dan juga untuk rakan-rakannya yang lain.

Menyentuh mengenai rakan-rakannya, Badrul berkata, mereka bersemangat tinggi walaupun keadaan fizikal mereka diganggu beberapa penyakit.

"Umpamanya Lokman Noor Adam yang tinggal satu blok dengan saya yang mempunyai keluasan satu ekar, mengalami kecing berdarah," ceritanya.

Semasa bersama dengannya, Ustaz Badrul Amin berkata, setiap petang mereka dibenarkan bersukan dengan bermain pingpong dan badminton dan juga berjoging.

Katanya pada hujung minggu sahaja mereka dibenarkan bermain bersama iaitu dari pagi hingga ke petang.

Menceritakan detik-detik sedih beliau meninggal Lokman, katanya Lokman mengucapkah tahniah dan gembira dengan pembebasan bersyarat beliau itu.

"Namun di riak air mukanya saya dapat membaca beliau ternyata sedih tambahan pula beliau kini bersendirian di blok tersebut," katanya sambil memberitahu bahawa selama berada di sana Lokman banyak belajar agama dengannya malah beliau bertindak sebagai tutor Lokman.

Berkebetulan Lokman akan mengambil diploma dalam bidang Siasah Syariah dan Kepimpinan Islam.

Di samping itu, katanya, beliau berkesempatan bertemu dengan empat lagi rakannya iaitu Mohd Ezam Mohd Noor, Shaari Sungip, Tian Chua dan Hisyamuddin Rais setelah puas membuat permohonan dan berbincang dengan pihak berkuasa Kem Kamunting.

Sementara itu, beliau berkata sewaktu berada di Kamunting mereka juga berjuang untuk membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat.

Katanya walaupun mereka dihalang atas alasan tidak wajib bersolat kerana mereka adalah orang yang tidak merdeka tetapi katanya bersolat Jumaat amat perlu sebagai usaha pemulihan kepada banduan dan orang tahanan.

Malah dalam hal ini pun katanya salah seorang ustaz yang bertugas di situ turut bersetuju dengan pandangan mereka, malangnya pihak kem dan Kemnterian Dalam Negeri (KDN) tidak benarkan.

Bagaimanapun katanya, mengapa pula banduan yang tinggal di Penjara Sungai Buluh dan Kajang dibenarkan menunaikan fardu Jumaat pula sedangkan mereka disabitkan dengan kes jenayah.

"Kalau boleh berilah peluang kerana kami menekankan di segi pemulihan dan selain itu kami juga sedang perjuangkan untuk berjemaah dalam solat Terawih pada bulan Ramadan ini," katanya.

Namun begitu katanya, bagi beliau pula bersyukur kerana dapat bersolat Terawih walaupun mengikut pra-syarat tersebut beliau dikehendaki berada di rumah sebelum jam 10.00 malam.

Badrul Amin ditangkap pada 10 April 2001 lalu berikutan operasi penangkapan ke atas beberapa pemimpin parti Keadilan dan NGO berhubung dengan perhimpunan Black 14.

Mereka juga turut ditahan kerana mereka didakwa pihak berkuasa terlibat dalam tindakan berunsur militan dengan merancang mengguna senjata seperti pelancar roket dan molokov coktail.

Antara yang ditahan bersamanya dahulu ialah Ezam Mohd Noor, Shaari Sungip, Tian Chua, Hisyamuddin Rais dan Lokman Noor Adam yang dikenakan tahanan selama dua tahun.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]