PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Saya Dibebaskan Dengan 6 Syarat, Tak Boleh Pegang Jawatan Parti –Badrul Amin

- Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA),Dr Badrul Amin Bahron yang dibebaskan semalam berkata beliau dikenakan enam syarat termasuk larangan memegang jawatan dalam parti politik dan menyertai perhimpunan atau ceramah umum. Beliau memberitahu, syarat-syarat lain dalam perintah kediaman terhad itu ialah beliau hendaklah menetap di rumah di daerah Gombak, Selangor, dan melaporkan diri kepada balai polis daerah setiap minggu serta memberitahu polis tentang sebarang perubahan alamat kediaman.

Di sampung itu, Dr Badrul berkata, syarat yang terakhir menetapkan bahawa beliau perlulah berkelakuan baik. Menurut beliau, syarat-syarat itu kesemuanya terkandung di dalam sepucuk surat yang dikeluarkan pihak berkuasa Kem Kemunting sebelum beliau dibebaskan di Taiping.

Dr Badrul memberitahu Malaysiakini.com, syarat-syarat itu mungkin menyekat beliau daripada bertanding bagi merebut sebarang jawatan dalam parti Keadilan dalam pemilihan parti itu Sabtu depan di Terengganu.

Beliau sudahpun meminta pandangan Presiden Parti Keadilan Datuk Sri Dr Wan Azizah dan Wan Azizah menasihatkan beliau mematuhi syarat polis.

Dr Badrul sekarang adalah anggota Majlis Pusat Keadilan dan telah juga dicalonkan bersama-sama 108 orang calon lain untuk pemilihan Sabtu ini.

Dr Badrul ditahan pada 20 April kerana didakwa terlibat dalam gerakan militan untuk mengulingkan kerajaan, dan pada 13 Jun beliau menerima perintah tahanan selama dua tahun di Kem Kemunting.

Isterinya Zumrah Husni yang bekejar ke Taiping mengesahkan beliau menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai kem tahanan itu awal hari ini yang memberitahu bahawa suaminya akan dibebaskan.

Zumrah berkata beliau gembira mendengar berita pembebasan itu dan mengucapkan terimakasih kepada semua rakan dan kelarga yang menyokong mereka selama ini.

Dr Badrul telah dihantar ke stesen bas Taiping dengan sebuah van polis dan di situ beliau disambut oleh beberapa orang penyokong parti itu termasuk ahli dewan undangan negeri kawasan Hulu Kelang,Azmin Ali.

Lima lagi orang pemimpin parti Keadilan dan aktivis yang ditahan bersama Badrul April lalu ialah Tian Chua, Mohamad Ezam Mohd Nor, Lokman Nor Adam, Saari Sungib dan Hishamuddin Rais.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada mereka akan turut dibebaskan atau tidak.

Dalam bulan April lalu polis menangkap 10 orang pemimpin Keadilan dan aktivis di bawah ISA kerana mereka dituduh merancangkan demonstrasi jalanan untuk menggulingkan kerajaan. Empat daripada dibebaskan tidak lama kemudian.

Badrul yang dilahirkan di Tawau, Sabah, adalah pakar motivasi sebelum menyertai parti Keadilan pada 1999. Beliau memperoleh ijazah pertamanya dalam jurusan undang-undang syariah dari Universiti Al-Azhar, dan ijazah sarjana dari Universiti Kent , Britain, serta ijazah kedoktoran falsafah dari Universiti Birmingham.

Beliau merupakan salah seorang aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

(Malaysia Kini)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]