Oleh Mohd Derus
KUALA LUMPUR: Keadilan akan terus berceramah untuk menerangkan isu-isu
terkini kepada ahli dan juga rakyat walaupun tidak diberikan permit.
Timbalan Presiden Keadilan, Abdul Rahman Othman menegaskan pendirian Keadilan tersebut
ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, tidak pernah terjadi ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh pembangkang
menimbulkan kekacauan dan huru-hara.
"Yang terjadi adalah apabila orang ramai yang menghadiri ceramah diserang oleh polis
menyebabkan keadaan tidak terkawal kerana mereka lari menyelamatkan diri," katanya.
Ketika ditanya mengenai kejadian penyokong PAS dituduh membakar trak polis di Baling,
Kedah, beliau berkata, semua pihak seharusnya menunggu laporan siasatan kejadian tersebut
dulu sebelum membuat tuduhan.
"Sesiapa sahaja boleh membakar trak tersebut, jadi kita tunggulah siasatan selesai
dibuat terlebih dahulu," ujur beliau.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, Malaysia
sepatutnya diisytiharkan sebagai negara milik pihak tertentu atau 'estet' kepunyaan
sesiapa dan bukan lagi negara demokrasi, sekiranya larangan ceramah diteruskan.
"Usaha untuk menutup program-program ceramah adalah langkah menghalang naluri manusia
daripada berkembang.
"Sudah menjadi naluri manusia untuk mengetahui sesuatu perkara yang berlaku bagi
dijadikan panduan mereka untuk memilih parti yang terbaik bila sesuatu pilihan raya
diadakan," katanya.
Manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apa yang dilakukan
oleh kerajaan pada hari ini adalah satu tindakan untuk menyelamatkan Umno yang berada
dalam ketakutan kerana ceramah-ceramah mereka tidak dihadiri oleh orang ramai.
"Malangnya, mereka (pemimpin Umno) memaksa polis supaya bertindak di luar daripada
amalan demokrasi, akhlak demokrasi dan mereka mahu supaya penyokong-penyokong PAS
bertempur dengan polis. Inilah adalah satu cara yang tidak patut dan tidak wajar,"
ujarnya yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.
Semasa menjawab pertanyaan mengenai jemputan berceramah, beliau berkata: "Kita
menghadiri di mana sahaja tempat kita dijemput berceramah kerana urusan permohonan adalah
urusan di tempat berkenaan, bukan urusan kita. Urusan kita ialah menghadiri jemputan.
"Apabila kita dijemput, kita hadir di mana sahaja di seluruh negara, sama ada dapat
kebenaran ataupun tidak, itu terpulang kepada negeri masing-masing," katanya yang
dipetik daripada laman web Harakahdaily.com.
Beliau juga berkata, kepemimpinan PAS tidak menghalang setiap organisasi parti untuk
mengadakan ceramah kerana perjuangan PAS berlandaskan kepada perlembagaan dan demokrasi
yang menjadi dasar negara.
"Kita menganggap apa yang berlaku ini (mengharamkan ceramah) adalah satu
penyelewengan daripada prinsip demokrasi dan kita mahu mempertahankan demokrasi,"
ujarnya.
Sementara itu, akhbar arus perdana melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik
larangan mengadakan ceramah umum yang dikuatkuasa sejak Julai tahun lalu.
|
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor |