Presiden Parti KeADILan Nasional Azmin Ali akhirnya membuka kotak rahsia yang
mendedahkan penyelewengan ahli kabinet Barisan Nasional dan antara yang terlibat adalah
Menteri Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa Datuk Seri Rafidah Aziz, bekas Menteri
Kewangan Tun Daim Zainuddin dan tokoh korporat Mirzan Mahathir.
Beliau berbuat demikian selepas satu sesi solat hajat bagi mendoakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim (DSAI) di Markaz Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar, anjuran Barisan Alternatif (BA)
kawasan Gombak malam tadi.
Antara pendedahannya, Azmin membacakan fail mengatakan bahawa pada 9 Julai 1999 DSAI ada
membuat laporan polis mengenai Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang tidak boleh digunakan oleh
pemerintah untuk menekan Parti Pembangkang atau rakyat yang ingin mendedahkan amalan
rasuah.
Selanjutnya beliau menjelaskan, semangat OSA adalah untuk melindungi keselamatan negara,
perisikan atau pertahanan yang tidak boleh didedahkan kepada umum.
Menurut beliau, pendedahan rasuah yang diamalkan dan lain-lain tiada kena mengena dengan
OSA, kerana ia lebih menguntungkan pihak terbabit.
Beliau menyebut tentang laporan DSAI pada 20 Ogos 1999 tentang OSA, dokumen yang amat
ditakuti oleh Perdana Menteri kerana beliau memberi perlindungan melibatkan kes rasuah dan
penyalahgunaan kuasa menteri, maka tidak timbul pendedahan dibuat yang boleh
menghuru-harakan negara seperti yang didakwa oleh pihak kerajaan.
Menurut Azmin, laporan DSAI itu mendedahkan kononnya DSAI adalah pengkhianat negara kerana
menyimpan rahsia kerajaan atau dokumen keselamatan negara.
Tidak cukup dengan itu, mereka (pemimpin) memunggah khazanah negara untuk
kepentingan peribadi, kroni dan keluarga serta menzalimi rakyat.
Justeru beliau mencabar Ketua Pemuda UMNO Datuk Hishamuddin Hussein untuk mengadakan debat
secara terbuka tanpa syarat untuk mempertahankan menteri yang terlibat dengan amalan
rasuah.
Menurut Azmin laporan polis DSAI di Balai Polis Dang Wangi 20255/99 bertarikh 9 Julai
1999, Rafidah selaku Pengerusi Jawatankuasa pembahagian saham telah meluluskan 1.5 juta
saham kepada menantunya Fazreen menerusi Leather Universal Holding, walaupun Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencadangkan hanya 250 unit saham sahaja.
Rafidah juga telah meluluskan permohonan untuk menjual 450 ribu unit saham, beliau
juga meluluskan permohonan untuk menjual 315 dan 335 ribu serta meluluskan pembahagian 4
juta unit saham FACB kepada Fazreen.
Pada 21 September 1994, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob yang merupakan Timbalan Menteri
dalam Negeri ketika itu telah menulis surat kepada DSAI tentang penyelewengan anak Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad iaitu Mirzan mendapat 1.5 juta unit saham.
Azmin juga menyatakan DSAI telah membuat laporan polis 20455/99 di balai Polis Tun H.S.
Lee pada 30 Julai 99 mendedahkan tuduhan rasuah dan pecah amanah Tun Daim Zainuddin dengan
pengetahuan dan restu Mahathir.
Ini telah diberitahu oleh Tan Sri Halim Saad dalam suratnya bertarikh 30 April 1990 selaku
pemegang amanah 52.2 juta saham Faber Merlin dan 130 juta saham Renong bagi pihak Tun
Daim.
DSAI dalam laporannya kepada polis menyatakan bahawa bekas Pengerusi Penerbangan
Malaysia (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli memegang wang tunai bernilai RM 70 juta bagi pihak
Tun Daim dan begitu juga satu Tan Sri Wan Azmi telah menulis surat kepada Tun Daim
menyatakan beliau memegang wang tunai sebanyak 150 juta ringgit.
Dalam satu lagi laporan polis DSAI menerusi Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 20 Ogos
99, telah dilaporkan amalan rasuah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengenai asetnya di
Hotel Air Keroh DVillage, stesyen Pam Minyak Shell, 706 lot tanah yang dijual kepada
EON, 53 ekar dusun durian di Bertam, Taman Mini Malaysia. Pada 31 Mei 1993 BPR
mengisytiharkan harta beliau sebanyak 39.8 juta ringgit, kata Azmin yang membuka
fail-fail itu satu persatu.
Sehubungan dengan itu, Azmin mencabar Pemuda UMNO, Puteri UMNO dan UMNO sendiri untuk
menyatakan pendirian terhadap kes-kes yang telah dilaporkan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda KeADILan memberitahu bahawa dia telah menghantar
surat kepada Hishamuddin menjemputnya menyahut cabaran debat ini.
"Debat yang akan diadakan bukan sentimen atau maki hamun, ianya berasaskan fakta.
Saya yakin Dato Hishamuddin, sahabat lama saya, tidak akan menolak pelawaan ini. Saya
yakin debat akan membantu tindakan diambil keatas pihak yang terlibat," kata
Saifuddin di dalam satu sidang media petang tadi.
(HarakahDaily) |
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor |