PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
DS Dr. Wan Azizah: Perlantikan Ghani Patail 'Beri Isyarat Besar Mengenai Kedudukan Pentadbiran Undang-Undang Malaysia'

PETALING Jaya: Presiden keADILan, YB DS Dr. Wan Azizah Ismail menyifatkan perlantikan Datuk Abdul Ghani Patail sebagai Peguam Negara yang baru ada kena-mengena dengan kehendak Perdana Menteri kerana ia "memberi isyarat besar mengenai kedudukan pentadbiran undang-undang Malaysia". Beliau mengulas demikian ketika ditemuramah selepas memberi temuramah akhbar susulan mesyuarat pertama MPT selepas PAT 3.

Kerajaan minggu ini mengesahkan perletakan jawatan Datuk Ainum Mohd. Saaid walaupun belum cukup setahun memegang jawatan itu, serentak mengumumkan perlantikan Datuk Abdul Ghani Patail sebagai pengganti Datuk Ainum.

Walaupun tidak mengulas lanjut, kenyataan ringkas YB DS Dr. Wan Azizah itu jelas merujuk kepada kebimbangan rakyat dan pemimpin BA akhir-akhir ini bahawa kerajaan BN di bawah Perdana Menteri cuba menghalang proses reformasi badan kehakiman yang dibawa oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Dzaiddin Abdullah.

Akhir-akhir ini, keputusan-keputusan mahkamah jelas menentang penyelewengan kerajaan dan campur tangan cabang eksekutif di dalam pentadbiran kehakiman. Selain daripada keputusan YA Datuk Hishamuddin Yunus membebaskan dua orang pemimpin keADILan dari ISA, mahkamah turut membatalkan kemenangan BN di Likas dan membatalkan hukuman menghina mahkamah yang dijatuhkan ke atas bekas Naib Presiden keADILan Zainur Zakaria.

Tanda-tanda awal gerakan Perdana Menteri untuk menghentikan reformasi badan kehakiman ini kelihatan apabila seorang hakim yang kontroversial di dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fairuz dilantik menjadi Hakim Besar Malaya walaupun hakim yang paling senior ialah YA Hakim Malek Ahmad. Hakim Ahmad Fairuz sebelum ini pernah membatalkan kemenangan calon DAP Wee Choo Keong dan memberikan kerusi itu kepada BN, disamping menolak rayuan Zainur Zakaria untuk membatalkan hukuman menghina mahkamah yang dijatuhkan oleh Augustine Paul.

Perlantikan Hakim Ahmad Fairuz mengundang kritikan pakar undang-undang nasional termasuk Raja Aziz Addruse, penasihat undang-undang Majlis Raja-Raja dan Param Cumaraswamy, Pelapor Kebebasan Kehakiman PBB di Malaysia.

Dalam perkembangan yang sama, YB DS Dr. Wan Azizah juga berpendapat bahawa perlantikan Ghani adalah satu 'habuan' kerana 'kejayaannya' mendakwa Dato' Seri Anwar sehingga dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.

Selain Presiden keADILan, pelbagai pemimpin BA dan aktivis sosial menyuarakan bantahan mereka berkenaan perlantikan itu.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang mendesak Ghani menjawab dua tuduhan beliau menghalang pelaksanaan keadilan, iaitu apabila beliau (Ghani) tidak mendakwa Rafidah Aziz kerana rasuah walaupun kertas pertuduhan sudah disediakan, dan kedua apabila cuba mengugut Datuk Nallakarupan mencipta bukti melibatkan Dato' Seri Anwar di dalam pelbagai salahlaku seks.

Ugutan Ghani itu dibongkarkan dan dibantah oleh Zainur Zakaria, walau bagaimanpun Zainur pula dijatuhkan hukuman menghina mahkamah oleh Hakim Augustine Paul. Datuk Nallakarupan menolak ugutan Ghani dan langsung tidak memberi keterangan menuduh Datuk Seri Anwar, sebaliknya mendedahkan di dalam affidavit beliau konspirasi yang dirancang untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar.

Bantahan turut disuarakan oleh ALIRAN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM).

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]