PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
MPT keADILan: Lebih Ramai Pemimpin Bukan Melayu Dilantik

PETALING Jaya: Pengumuman perlantikan pemegang-pemegang jawatan utama keADILan oleh Presiden YB DS Dr. Wan Azizah Ismail semalam disifatkan sebagai isyarat kesungguhan keADILan untuk memperlihatkan sifat kepelbagaian dan inklusivitinya, kata pemerhati politik tempatan.

Daripada tujuh orang yang dilantik semalam, tiga orang adalah calon Melayu sementara selebihnya (empat orang) adalah calon dari pelbagai kaum.

Buat pertama kalinya, keADILan mempunyai pemimpin berketurunan Singh iaitu Dr. Pratap Singh, seorang pemimpin masyarakat yang dihormati dari Kota Bharu. Dr. Pratap sebelum ini banyak terlibat dengan pelbagai kerja amal dan aktivisme sosial setempat.

Pemimpin-pemimpin lain yang dilantik adalah muka-muka tidak asing iaitu Animah Ferrar, N. Gobalakrishnan, Saari Sungib dan Khalid Jaafar.

Animah Ferrar yang berketurunan Inggeris dilantik ke MPT walaupun tewas tipis di dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita. Beliau dikenali ramai sebagai seorang pemimpin wanita yang mempunyai nilai intelek, daya dinamisma dan popular dikalangan ahli.

N. Gobalakrishnan dan Saari Sungib adalah 'veteran' graduan ISA yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, sementara Khalid Jaafar, bekas Setiausaha Akhbar Dato' Seri Anwar kini adalah Ketua Editor Berita keADILan.

Satu lagi lantikan yang sudah diduga adalah jawatan Setiausaha Agung yang diamanahkan kepada Ir. Hj. Sahri Bahri.

KeADILan juga memberi isyarat nyata menolak hegemoni perkauman dan anti-integrasi nasional yang dipelopori BN apabila ia melantik Christina Liew, bekas calon keADILan di Likas dan peguam terkemuka di Sabah sebagai bendaharinya yang baru.

Pengulas politik berpendapat perlantikan Christina adalah yang paling menarik dan melambangkan kesungguhan keADILan meluaskan idealisme politik barunya - Christina adalah seorang wanita, berbangsa Tionghua dan berasal dari Sabah! Ciri-ciri ini, kata mereka, menunjukkan keADILan sebagai sebuah parti yang meletakkan sumbangan wanita di tahap yang teratas, menolak perkauman dan menjunjung perpaduan nasional.

Jawatan-jawatan yang belum diisi iaitu dua Naib Presiden dan Ketua Penerangan akan diumumkan minggu depan, menurut YB DS Presiden lagi.

Di antara nama yang disebut-sebut akan dilantik menjadi Naib Presiden ialah Dr. Xavier Jeyakumar dan Dr. Muhamad Nur Manuty, sementara Ruslan Kassim dijangka akan dikekalkan menjadi Ketua Penerangan.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini semalam melaporkan bahawa empat pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM - Dr. Muhamad Nur Manuty, Ruslan Kassim, Anuar Tahir dan Mustafa Kamil Ayub - telah menyatakan bahawa mereka akan menolak sebarang tawaran jawatan. Namun kesemua mereka masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi kepada BKO, jadi berita itu tidak boleh disahkan setakat ini.

Sumber BKO juga memaklumkan bahawa barisan lengkap Pergerakan Pemuda, yang akan diumumkan minggu depan, akan turut membariskan lebih ramai pemimpin bukan Melayu menganggotai jentera pentadbiran Pemuda.

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]