PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Ir. Hj. Sahri Bahari Dilantik Setiausaha Agung

PETALING Jaya: Ramalan pemerhati politik bahawa Ir. Hj. Sahri Bahari akan dilantik menjadi Setiausaha Agung baru keADILan menjadi kenyataan apabila ia diumumkan oleh Presiden YB DS Dr. Wan Azizah selepas mesyuarat MPT petang semalam.

Sebelum ini, ura-ura bahawa jawatan itu akan bertukar tangan sering dipercakapkan, apatah lagi setelah beberapa orang pemimpin yang dekat dengan kepimpinan keADILan membayangkan satu 'overhaul' akan dilakukan ke atas jentera pentadbiran parti. Nama Ir. Hj. Sahri disebut-sebut atas reputasi beliau sebagai seorang ahli professional dan penggiat sosial yang dikenali ramai.

Ir. Hj. Sahri Bahari mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Beliau yang berkelayakan jurutera bertauliah (Ir.) sebelum ini merupakan Naib Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM). Selepas tragedi September 1998 yang menyaksikan kebangkitan rakyat, beliau bersama-sama Hj. Saari Sungib (ahli MPT) dan Hajjah Fuziah Salleh (Ketua Wanita) melepaskan tanggungjawab di dalam JIM dan menyertai gerakan massa rakyat melalui keADILan.

Beliau juga pernah ditangkap dan dikurung di dalam lokap berikutan penyertaan beliau di dalam Perarakan 100,000 Rakyat di KESAS tahun lepas.

Dalam temuramah selepas perlantikan beliau diumumkan, Ir. Hj. Sahri mengakui bahawa beliau mempunyai tugas yang besar untuk dipukul. Timbalan Presiden Abdul Rahman Othman dan Timbalan Ketua Pemuda YB Saifuddin Nasution sebelum ini mengumumkan secara tidak rasmi bahawa fokus utama parti adalah untuk memperkemaskan jentera dan menghidupkan aktivisme politik parti bagi menghadapi pilihanraya yang boleh dipanggil bila-bila masa bermula tahun hadapan. Ini meletakkan amanah menguruskan jentera parti yang cukup besar di bahu Setiausaha Agung, yang perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Menurut Ir. Hj. Sahri, beliau akan memberi tumpuan untuk membereskan pendaftaran 73 bahagian di seluruh negara dan mempastikan kejayaan penggabungan dengan PRM dalam masa yang terdekat.

Setakat ini, keADILan mempunyai 120 bahagian di seluruh negara dengan keahlian seramai lebih 300,000 orang. Dengan pendaftaran 73 bahagian lagi, keADILan akan mempunyai bahagian di setiap kawasan parlimen di seluruh negara, menjadikannya satu-satunya parti di mempunyai bahagian di setiap kawasan parlimen di negara ini.

Mengenai penggabungan dengan PRM, Ir. Hj. Sahri berkata satu tarikh akan ditetapkan bagi membolehkan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) diadakan bagi meminda Perlembagaan parti. Ini untuk membolehkan proses penggabungan diteruskan seperti mana yang dipersetujui dengan PRM.

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]