PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Ucapan Dasar Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr. Wan Azizah PAT 3

(Ucapan Dasar Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Persidangan Agung Tahunan Ketiga 2001 pada 10 November 2001 di Kemaman, Terengganu Darul Iman)

Assalamu’alaikum wrt wbt dan salam sejahtera.

Saudara-saudari seperjuangan yang saya hormati dan muliakan,

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya kita dapat berhimpun sekali lagi untuk melaksanakan Persidangan Agung Tahunan Ketiga 2001 di negeri Terengganu Darul Iman. Bagi pihak pimpinan Parti Keadilan Nasional saya mengalu-alukan kedatangan saudara-saudari bersama-sama menunaikan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahu kita. Kita bersidang di Terengganu Darul Iman di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dari PAS kerana suasana yang lebih terbuka. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada PAS, terutama Presidennya Dato’ Ustaz Fadzil Noor kerana persahabatan perjuangan yang terjalin selama ini.

Kita juga prihatin terhadap PAS yang turut dilanda fitnah dan mihnah kerana muslihat kotor BN mengaitkan keganasan dengan PAS. Walhal kita telah mendesak supaya kerajaan menghadapkan semua tahanan politik ke mahkamah yang adil dan berwibawa dan tidak menganiayai
rakyat untuk kepentingan politik.

Saudara-saudari telah menjadi nadi kepada perjuangan yang diilhamkan oleh gelombang kebangkitan rakyat tiga tahun yang lalu. Kita semua telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran yang bertujuan untuk mematahkan daya juang serta daya tahan kita; disebaliknya semua pengalaman yang kita lalui telah membantu memperkuatkan azam kita untuk menggerakkan perubahan di negara tercinta ini.


Reformasi dan Gelombang Rakyat

Alhamdulillah, kita telah berupaya untuk meneruskan perjuangan ini dengan lebih komited serta berbekalkan semangat juang yang tinggi. Dokongan rakyat yang dahagakan perubahan, reformasi atau islah telah memberikan suatu kekuatan untuk kita meneruskan perjuangan ini tanpa mengenal erti penat, lelah mahupun rasa jemu.

Dalam proses ini, kita telah diduga dengan pelbagai cubaan dan ujian. Kita tidak harus gusar atau gundah gulana dengan kenyataan ini kerana pahit getir yang terpaksa dilalui oleh kita semua tidak sedikit ertinya. Terlalu banyak keringat, airmata dan pengorbanan telah tercurah di dalam menghidup-suburkan gerakan rakyat ini sehingga ada tokoh-tokoh lama negara kita pernah menyifatkan suasana yang sedang kita lalui sekarang seolah-olah mendapatkan kemerdekaan untuk kali keduanya.

Kemerdekaan yang dimaksudkan bukan dalam erti kata kemerdekaan nasional yang diperolehi 44 tahun yang lalu. Yang dimaksudkan ialah suasana serta ghairah perjuangan yang begitu jelas terjalin kerjasama dengan semangat yang cukup tinggi untuk menolak ketidakadilan serta kezaliman pemerintahan yang wujud hari ini.

Meskipun dikepung oleh keseluruhan jentera kerajaan yang bertujuan untuk menggagalkan perubahan ini, namun iltizam serta azam rakyat tidak boleh dinafikan lagi.

Semangat ini diungkapkan oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dalam puisinya :

"Atas keberanian dan keyakinan
yang tak terkalahkan
dengan sedar menerima segala derita."

dan dalam sebuah puisinya yang lain yang berjodol Keyakinan, beliau menyebut betapa,

"Kita adalah zat-zat keyakinan
yang dijadikan untuk tidak dapat dihancurkan"

dan sewaktu menyorot perjuangan semasa kita dalam puisinya Jentayu yang luka, beliau telah menyifatkan perjuangan kita sebagai

"terbang mengepak menyonsong gumpalan awan
mencakar menjeritkan kebebasan dan keadilan
mencabar dunia yang semakin kejam"


Nada atau cara kita mengucapkan bantahan tersebut mungkin berbeza tetapi iltizam atau niat untuk melakukan islah ini adalah menyeluruh. Rakyat memang menginginkan suatu keadaan di mana mereka dibebaskan dari belenggu penguasaan oleh 'control freaks' atau mereka yang gila kuasa. Mereka ingin menghirup suasana bebas di mana media massa tidak dikawal oleh pelbagai akta dan peraturan; di mana saluran-saluran radio dan televisyen diguna dengan begitu absolute sebagai perpanjangan tangan
pemerintah.

Rakyat juga ingin mereka dibebaskan daripada undang-undang yang zalim seperti ISA, Akta Mesin Cetak dan OSA. Mahasiswa dan ahli akademik menginginkan suatu keadaan di mana mereka bebas mengutarakan sudut pandangan tanpa mengundang reaksi repressive yang diabsahkan oleh Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU); yang malahan mahu diperketatkan lagi.


Saudara-saudari sekalian,

Parti ini merupakan wadah untuk menampung gelombang kebangkitan rakyat yang bermula sejak tahun 1998. Semua kekuatan yang terdapat dalam masyarakat kita diwakili dalam wadah ini. Perbezaan pengalaman, pendekatan serta pendedahan yang wujud dalam parti ini merupakan satu rahmat bagi
melangsungkan perjuangan ini.

Tanggungjawab yang diamanahkan di atas bahu kita adalah berat. Harapan pelbagai kalangan masyarakat terhadap kita adalah tinggi. Kita tidak punya pilihan melainkan untuk terus menyalakan obor perjuangan ini dengan semangat yang kental serta jiwa yang teguh, bergerak dalam satu barisan dengan kesatuan fikrah untuk membebaskan masyarakat negara ini daripada belenggu kebimbangan serta ketidaktentuan samada dalam bidang sosial mahupun ekonomi.

Dalam hubungan ini, kita harus memusatkan perhatian kita pada fokus atau matlamat utama perjuangan ini. Kita harus waspada terhadap mereka yang mempunyai agenda untuk mengalihkan perhatian kita daripada matlamat utama ini. Marilah kita tingkatkan keupayaan serta kesiap-sagaan minda dan tenaga kita untuk menepis usaha-usaha meleburkan perjuangan ini.

Meskipun mereka memalu gendang, kita harus mengawal diri supaya tidak mudah terperangkap untuk menari mengikut rentak dan irama mereka. Kita harus mendidik diri berjiwa besar, mengangkat diri kita daripada hal-hal furu’ atau titik bengik yang kadangkala berkeupayaan mengalih perhatian kita daripada tujuan besar perjuangan ini.

Harapan rakyat adalah untuk kita memperjuangkan kepentingan mereka. Soal penanganan kemiskinan masih belum tuntas lagi. Masih ramai golongan yang dhaif samada dari kalangan peneroka bandar serta mereka yang tinggal di kampung-kampung tradisional dan kampung-kampung baru.

Kita juga hairan dengan keghairahan menyelamatkan syarikat-syarikat seperti Konsortium Perkapalan, Renong, MAS dan lain lain. Apakah mesej atau isyarat yang ingin diberikan kepada dunia pengurusan dan perniagaan kita? Ini menunjukkan bahawa kita tidak memberi perhatian secukupnya untuk menyemai benih pengurusan yang telus, cekap dan amanah; disebaliknya menggambarkan dunia perniagaan yang tanpa risiko.

Bayangkanlah betapa menafaatnya sebahagian daripada wang yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat seperti itu digunakan untuk menggerakkan program besar-besaran pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat, meningkat mutu pendidikan dan kesihatan.


Kepelbagaian Kaum

Negara kita adalah sebuah masyarakat majmuk. Rakyat kita terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kepelbagaian ini memberi kita peluang untuk meneroka dimensi yang lebih luas dalam membina bangsa yang bertamaddun. Kepelbagaian ini juga satu kesempatan membina jambatan antara budaya dan keyakinan.

Kita perlu membuktikan bahawa thesis Samuel Huntington dalam bukunya 'The Clash of Civilizations' sebagai suatu andaian yang tidak menjejak di bumi nyata. Kesempatan ini harus digarap untuk menjana kekuatan perbedaan sebagai suatu rahmat dan bukan sebaliknya.

Dalam konteks ini, KeADILan merupakan suatu wadah yang sesuai untuk membangun masyarakat Malaysia yang multi-etnik ini. Saya telah berulangkali menyebut betapa pentingya kita bersatu 'dengan latar belakang kepelbagaian ini' untuk terus menggerakkan perjuangan. Kenyataan bahawa parti kita adalah sebuah parti multi-ethnic serta broad-based yang berteraskan Melayu seharusnya menjadi ciri khas dan salah satu sumber kekuatan kita.

Dalam konteks sejarah mutakhir, kekuatan khusus ini tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik lain di negara kita. Kita harus berbangga dengan kehadiran KeADILan yang memberi ruang
kepada rakyat mendokong citarasa politik baru ini. Ini bersesuaian dengan realiti masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum – Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli dan lain-lain – dan agama. Ini juga amat bersesuaian dengan konsep rahmatan lil alamin yang disarankan oleh Islam.

Selaras dengan prinsip parti yang terbuka, menggarap persoalan yang dikaitkan dengan ledakan reformasi serta menggembeling berbagai kelompok, kaum dan penganut agama; maka Parti Keadilan akan terus memperluaskan penyertaannya. Dalam rangka ini, usul yang saudara-saudara luluskan pertengahan tahun ini untuk menyegerakan penggabungan dengan PRM memenuhi matlamat yang disebutkan.

Kita juga menghargai komitmen Presiden PRM Dr Syed Husin Ali terhadap gagasan tersebut dan usaha beliau dan pimpinan PRM menjelaskan usul tersebut kepada perwakilan perhimpunan PRM. Dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, rentetan peristiwa yang berlaku di dalam negara sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap pergerakan kita.

Penahanan pemimpin-pemimpin muda KeADILan pada awal tahun ini bertujuan untuk melemahkan pergerakan parti. Penahanan Naib Presiden Sdr Tian Chua, Ketua Pemuda Sdr Ezam Mohd Nor, ahli-ahli MPT Sdr Dr. Badrul Amin, Sdr Saari Sungip, Sdr Lokman Noor Adam serta aktivis sosial Sdr Hishamuddin Rais merupakan usaha untuk mematahkan gerakan reformasi atau perubahan ini.

Kita mengalu-alukan kepulangan Ustaz Badrul Amin ke pangkuan kita dan berdoa agar beliau terus tabah serta cekal dalam menghadapi tekanan-tekanan yang dikenakan kepada beliau. KeADILan menggesa pihak kerajaan untuk menarik balik syarat-syarat yang dikenakan terhadap Dr. Badrul; syarat-syarat ketat ini menafikan hak-hak asasi beliau sebagai seorang rakyat dan nyata muslihat tindakan yang bermotif politik dan bukannya isu keselamatan sepertimana yang diberithukan Ustaz Badrul kepada saya, "Saya lepas, Kak Wan, tapi tidak bebas".

Kita mendesak kerajaan untuk membebaskan kesemua tahanan politik di bawah ISA tanpa syarat. Sehubungan dengan ini saya menyeru saudara-saudari untuk terus memberi dokongan kepada isteri-isteri serta keluarga mereka yang ditahan di bawah akta zalim ini. Marilah kita membantu untuk meringankan beban tekanan dan penderitaan yang dialami oleh mereka.


Senario Antarabangsa Selepas 11 September

Cabaran yang paling besar adalah perubahan secara drastik percaturan politik dunia berikutan peristiwa keganasan 11 September di Washington dan New York. KeADILan bersama-sama dengan rakan-rakan Barisan Alternatif dari awal lagi telah mengutuk sekeras-kerasnya keganasan tersebut. Pendirian kami dalam hal ini adalah jelas. Islam adalah sebuah agama yang mementingkan kedamaian. Salam pertemuan sesama kita (assalamualaikum) jelas menunjukkan hakikat ini.

Ulamak besar Islam Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dengan jelas dan tegas mengutuk serangan ganas tersebut sebagaimana petikan berikut,

"The Prophet, peace and blessings be upon him, is reported to have said, 'A believer remains within the scope of his religion as long as he doesn't kill another person illegally', the prominent scholar said. He added that haphazard killing where the rough is taken with the smooth and where innocents are killed along with wrongdoers is totally forbidden in Islam."

Namun usaha menangani keganasan tersebut haruslah berlandaskan consensus atau muafakat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations). Kita telah mengeluar kenyataan dari awal lagi supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang khas untuk merumuskan tindakan susulan yang boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa dalam menangani respons terhadap soal keganasan. Kita juga telah meminta dan menggariskan peri perlunya Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan badan-badan serantau seperti ASEAN untuk memainkan peranan secara efektif dalam hal ini. Malahan awal minggu ini, kita telah mengeluarkan kenyataan bersama Barisan Alternatif supaya pemimpin-pemimpin negara ASEAN secara kolektif mengutus surat kepada Presiden Bush untuk menghentikan serangan-serangan terhadap rakyat Afghanistan.

Tindakan balas pihak AS juga seharusnya berlandaskan undang-undang antarabangsa yang secara jelas menggariskan 'appropriate use of force' sesuai dengan piagam PBB. Malahan sebarang respons yang melibatkan kekerasan haruslah berdasarkan use of force yang telah sedia digariskan dalam pelbagai perjanjian dan kovenan yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa yang dipersetujui oleh semua negara-negara di dunia.

Apa sekalipun alasannya, dari segi realiti Afghanistan merupakan sebuah negara yang miskin, dhaif serta dirundung sejarah malang sejak perlanggarannya dalam tahun 1970an oleh Soviet Union. Mereka telah diselubungi oleh suasana kekerasan dan peperangan yang tidak henti-henti sehingga
ke hari ini.

Dari apa yang kita ketahui sebahagian rakyatnya tidakpun mengetahui latar belakang yang menyebabkan negara mereka diserang. Meskipun kita telah menyatakan kutukan kita terhadap serangan ganas di New York itu namun kita bertanggungjawab untuk menyatakan bantahan kita terhadap tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya melancarkan serangan tanpa henti sejak 7 Oktober terhadap Afghanistan.

Atas dasar kemanusiaan kita mendesak pihak Amerika Syarikat serta sekutunya untuk menghentikan serangan-serangan tersebut dengan kadar segera. Kita mendokong tindakan munasabah menentang keganasan samada terhadap Amerika, rakyat Palestin atau golongan minoriti di mana saja. Namun kita mengulangi ingatan bahawa gelombang tindakan keras terhadap pengganas telah digunakan oleh penguasa zalim meningkat tekanan terhadap rakyat.

Sayugia diingat bahawa keganasan juga berpunca dari kezaliman dan penafian hak asasi rakyat. Mereka tidak punyai ruang kebebasan berbicara dan berorganisasi. Maka kita mendesak agar kerajaan BN juga turut menghentikan segala bentuk keganasan keatas rakyat. Dan kita menggesa supaya semua forum antarabangsa termasuk PBB dimanfaatkan untuk membantah segala bentuk keganasan dengan menjamin kebebasan dan keadilan kepada semua.


Demokrasi dan Demokrasi Berparlimen

Sesebuah negara yang matang yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, mengiktiraf peranan pemerintah dan parti alternatif yang bakal menjadi kerajaan. Parti pemerintah dan parti pembangkang mempunyai hak atau akses kepada sistem komunikasi awam termasuk radio dan televisyen. Pemerintah menghormati hak-hak parti alternatif atau pembangkang dan tidak menganggap kegiatan mereka sebagai illegal atau tidak sah. Rakyat tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut malahan dipandang sebagai
partner atau rakan dalam membangun masyarakatnya.

Pemimpin negara yang matang demokrasinya juga memperlihatkan kematangan dalam peribadi mereka. Sir Winston Churchill memimpin kabinet perang Britain sewaktu Perang Dunia Kedua, tetapi apabila beliau kalah dalam pilihanraya selepas perang dalam tahun 1945, beliau melepaskan kerusi Perdana Menterinya tanpa ragu. Beliau tidak pula menuduh rakyatnya sebagai ungrateful atau tidak bersyukur, jauh sekali daripada berusaha untuk terus berpaut pada kuasa.

Sistem demokrasi berparlimen memang memungkinkan perputaran kekuasaan di antara parti-parti yang terlibat dalam proses politik pilihanraya. Malahan itulah rasional ataupun falsafah pada sistem demokrasi berparlimen berbanding dengan negara-negara seperti Soviet Russia pada suatu waktu sebelum zaman perestroika dulu. Negara-negara yang tidak memihak kepada konsep demokrasi berparlimen memilih untuk mengisytiharkan sistem satu parti di dalam negara mereka.

Sistem demokrasi berasaskan kepada berbagai parti mengantisipasi kehadiran alternatif atau pembangkang dalam parlimen yang bersedia pula untuk menerajui kerajaan apabila mereka memenangi pilihanraya.

Parlimen kita berasaskan model Westminster yang didasari oleh doktrin separation of powers oleh kerana sebagaimana yang didakwa oleh Lord Acton :

"All power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely."

Kuasa merupakan amanah; parlimen berkongsi tanggungjawab untuk melindungi kesejahteraan hak-hak rakyat.

Wacana kuasa seharusnya mengiktiraf dan mempercayai keupayaan serta kearifan rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

Di samping itu sekatan-sekatan terhadap penerbitan-penerbitan, ceramah-ceramah dan liputan media arus perdana yang berat sebelah menyempitkan ruang demokrasi untuk parti menyampaikan maklumat kepada rakyat. Saya mengulangi hal ini kerana kita ingin mengamalkan konsep kritikan atau mahasabah dalam kerangka perlembagaan persekutuan yang menyediakan checks and balance di dalam sistem pentadbiran kita. Ini amatlah penting kerana kuasa tanpa pembatasan akan membawa pada kehancuran.

Sejarah telah mengajar kita bagaimana kerajaan-kerajaan yang agung pada zaman silam akhirnya runtuh ekoran sikap arrogance of power yang wujud terutamanya dalam sistem yang tidak memberi ruang untuk sudut pandangan alternatif yang berkesan.

Ibn Khaldun pernah menyatakan bahawa, "Penerusan kesilapan itu adalah satu kezaliman. Pemerintah yang merasakan dirinya terlalu kuat menjadi angkuh dan tidak lagi bersedia untuk mendengar sudut pandangan yang berbeda."


Masyarakat Madani dan Negara Keadilan

Politik semestinya untuk memartabatkan kemanusiaan dan bukannya menjadi matlamat. Malahan politik seharusnya menjadi alat untuk mengangkat potensi atau sisi terbaik kemanusiaan. Proses politik itu sendiri seharusnya menjadi wahana dalam memungkinkan ghairah kehidupan. Meskipun politik kadangkala disebut sebagai practical morality, namun kemanusiaan tidak boleh dijadikan bahan taklukan politik.

Kita harus menggerakkan semua kekuatan kita ke arah matlamat yang jelas; menegakkan sebuah negara berteraskan keadilan yang menjadi payung melindungi kepentingan semua rakyat negara ini tanpa mengira latarbelakang atau kedudukan sosial mereka.

Kita dukacita kerana muafakat yang terjalin dalam BA tergugat dengan pengunduran DAP dari pakatan. Sepertimana yang saya nyatakan, sumbangan dan pengorbanan pimpinan DAP khususnya Sdr. Lim Kit Siang tetap kita hargai dan keADILan akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan DAP. Dan semoga muafakat asal BA dapat ditegakkan semula dengan penyertaan DAP.

Dalam hubungan ini, saya kira wajar disentuh isu negara Islam. Konsep ini memang kontroversial dengan penafsiran yang pelbagai. Dan paling akhir dengan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir mengungkapkan istilah negara Islam untuk Malaysia.

Apalah ertinya label negara Islam yang diumumkan oleh Perdana Menteri sekira perisiannya tiada kaitan dengan namanya? Apakah kita tidak merasa malu untuk mendabik dada sebagai negara Islam sedangkan ketidakadilan sosial berleluasa, pengagihan sumber ekonomi tidak seimbang, projek-projek mega dan prestij dijalankan sementara perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah jauh dari mencukupi? Kita berbangga dengan Putrajaya sedangkan masalah banjir di Kuala Lumpur tidak pernah diselesaikan. Kita bermegah dengan bangunan-bangunan konkrit sedangkan jiwa dan nurani
manusia yang menghuninya runtuh.

Kita tetap menghormati hak-hak dan dan pendirian parti mengungkapkan dasar masing-masing; dan ini termasuklah PAS dengan Negara Islam dan DAP dengan Malaysian Malaysia. KeADILan mengarah kepada masyarakat madani yang bertujuan memperkasa rakyat dengan demokrasi, menjana pembangunan ekonomi serta kemurnian sistem sosial. BA terikat dengan muafakat jelas yang dirumuskan dalam agenda bersama. Hanya peruntukan yang dipersetujui dalam agenda tersebut akan menjadi teras perjuangan BA.


Institusi-institusi penting kerajaan tercabul dan agensi-agensi yang lain seperti Kemas, Petronas, KWSP dan sebagainya dilihat sebagai perpanjangan parti yang memerintah. Begitu juga peluang untuk menyertai skim tekun untuk rakyat termiskin terbatas apabila majlis-majlis pelancaran yang gah serta memakan belanja dijalankan di pejabat-pejabat parti pemerintah di peringkat akar umbi.

Itulah sebabnya Parti Keadilan dengan jelas mengemukakan konsep negara keadilan yang mengungkapkan nilai-nilai masyarakat sivil atau masyarakat madani yang berpaksikan keadilan sejagat sebagai teras perjuangannya.

Konsep pemberdayaan atau empowerment yang digagaskan oleh Vaclav Havel merupakan suatu ide dimana rakyat berhak untuk menentukan kedudukan mereka dalam sebuah masyarakat yang mementingkan keadilan sosial.

Pengungkapan Havel mengenai ‘the power of the powerless’ menjelaskan kepada kita bagaimana mereka yang dianggap tidak mempunyai kekuasaan sebenarnya berkuasa untuk menentukan arah dan corak pembangunan masyarakat mereka.

Masyarakat sivil seharusnya ‘mengungkapkan kehadiran rakyat’, di mana terdirinya bermacam-macam badan atau lembaga bukan-kerajaan (NGO) untuk mengimbangi lembaga kekuasaan. Ini bermakna ‘masyarakat madani bertujuan untuk menolak kesewenang-wenangan kekuasaan elit yang mendominasi
kekuasaan negara’.

Secara praktisnya kita harus menolak parti yang memonopoli kekuasaan menggunakan istilah-istilah yang berbunyi demokrasi untuk mengabsahkan (legitimise) kekuasaan mereka, sementara soal perputaran kekuasaan sering diabaikan.


Antara Pemimpin dan Yang di Pimpin

Sebuah masyarakat madani sudah tentu memberi ruang kepada semua rakyat untuk mempunyai hubungan dengan kekuasaan secara berimbang. Yang dipimpin meletakkan harapan serta memberi amanah kepada pemimpin; sementara yang memimpin bertanggungjawab memikul amanah itu dengan mengambil kira harapan rakyat yang dipimpin.

Hubungan dua hala ini seharusnya terjalin dengan latarbelakang hormat-menghormati, kasih-sayang serta kesediaan untuk menegur dan ditegur. Ianya juga memerlukan kebesaran jiwa daripada pemimpin untuk bersedia ditegur sepertimana Saidina Umar al-Khattab sewaktu ditegur oleh seorang wanita berkenaan soal mahr (mas kahwin) secara terbuka.

Namun kebesaran jiwanya terserlah dengan kesediaan beliau mengakui kesilapannya. Begitu juga sejarah melayu penuh dengan contoh-contoh seseorang penguasa atau raja bersedia untuk menghukum anak-anaknya sendiri apabila mereka melanggar peraturan negara.

Kita juga melihat contoh dari tradisi-tradisi besar dunia yang sentiasa mengenengahkan kesederhanaan serta konsep kesalingan (reciprocity) di dalam kehidupan bermasyarakat, bernegara dan jalan pertengahan. Malahan semua tradisi besar dunia mengenengahkan jalan kesederhanaan dan menolak ekstrimisme dalam pendekatan penyelesaian masalah. Mereka juga menolak tindakan ekstrim serta yang tidak adil samada dari yang dipimpin mahupun yang memimpin.

Inilah nilai-nilai masyarakat sivil yang harus diperjuangkan dalam negara keadilan kita, di mana rakyat berpeluang untuk menyata atau mengungkapkan kehadirannya sebagai seorang manusia tanpa perlu merasa bimbang atau takut. Rakyat mempunyai hak atau stake dalam masyarakatnya.


Marilah kita teruskan usaha yang telah diterokai oleh KeADILan sejak beberapa waktu yang lalu untuk merealisasikan harapan dan impian ini. Tugas besar ini merupakan cabaran zaman bagi kita semua. Kita bertanggungjawab untuk memikul beban besar yang telahpun diamanahkan kepada kita secara terus, konsisten dan istiqamah tanpa menghiraukan ranjau mahupun onak duri rintangan yang menjadi asam garam perjuangan kita.


Peranan Wanita

KeADILan merupakan sebuah parti yang sensitif terhadap peranan semua golongan dalam masyarakat. Saya telah menggariskan bagaimana kita bertuah kerana menampung kepelbagaian serta kemajmukan masyarakat kita dalam konteks peranan yang saling lengkap-melengkapi.

Di negara kita golongan wanita telah bekerja bahu membahu seperti yang kita lihat di kalangan para peniaga di pantai timur serta golongan profesional di kota-kota besar. Di desa-desa dan kampung-kampung pada waktu dulu, wanita membanting tulang empat kerat untuk mengerjakan sawah dan bendang.

Lanjutan daripada ini, golongan wanita harus meningkatkan daya keyakinan mereka untuk bergerak sebagai sayap kanan parti dalam kerja-kerja termasuk dalam pilihanraya. Kita mestilah mengatur kekuatan yang ada secara lebih teratur dan tersusun untuk meyakinkan rakyat menyokong perjuangan kita.

Dorongan harus diberi pada wanita-wanita dalam Parti Keadilan supaya penglibatan wanita dalam kepimpinan politik tidak merupakan suatu keganjilan malahan menjadi kebiasaan. Jika kita mengimbas kembali sejarah, wanita juga turut memainkan peranan penting dalam pergerakan menuntut kemerdekaan di negara kita dan selepas itu bersama-sama membantu dalam proses nation building, menduduki jawatan-jawatan penting pentadbiran serta menceburi berbagai lapangan kerja. Kita juga mengiktiraf peranan wanita sebagai ibu dan pengurus rumahtangga yang mendasari pembinaan keluarga
sebagai tiang seri masyarakat.

Kita sedia maklum bahawa wanita memainkan peranan yang sangat penting di peringkat jentera akar umbi semasa proses pilihanraya berlangsung. Kita harus memberi keutamaan kepada peranan mereka dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

KeADILan harus terus menggalak penglibatan wanita dari semua kaum dan di pelbagai peringkat kepimpinan terutamanya diperingkat akar umbi dalam usaha menambahkan keberkesanan jentera parti diperingkat akar umbi. Ini merupakan satu cabaran yang harus ditangani dengan kegigihan dan
kebijaksanaan.

Saudara-saudari sekalian,

Persidangan Agung Tahunan kali ini merupakan suatu detik yang bersejarah di dalam perkembangan Parti Keadilan Nasional. Pada tahun ini kita memilih barisan pimpinan dari semua peringkat termasuklah sayap pergerakan wanita dan pergerakan pemuda.


Sikap Merangkumi

Kita memupuk budaya demokrasi yang segar dan tidak mengongkong. Dan ini ketara dalam pertandingan kali ini. Jawatan-jawatan utama turut dipertandingkan. Yang akan dipilih adalah pemimpin parti; bukan kabilah, puak atau aliran. Janganlah sampai kita keterlanjuran dalam kempen yang menjejaskan etika sihat. Marilah kita gunakan kebijaksanaan; memilih sebagai satu amanah demi mempertahankan prinsip dan dasar parti. Hormatilah keputusan perwakilan. Saya tegaskan bahawa di kalangan tokoh yang menang dan tewas ada ruang dalam parti meskipun dengan peranan yang berbeda.

Kita melihat bagaimana semua pihak termasuk media arus perdana berusaha meneropong perkembangan kita. Kita juga merasai bagaimana usaha-usaha untuk mewujudkan suasana mengurangkan rasa setiakawan serta saling mencurigai sesama kita.

Saya percaya kita mempunyai kekuatan untuk menolak semua usaha-usaha mengadu-domba serta memfitnah sepertimana kita menolak usaha menghina dan mengaibkan Sdr. Anwar Ibrahim tiga tahun yang lalu.

Sikap kita yang inclusionary atau merangkumi ini telah berjaya menarik minat serta dokongan dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar-belakang kaum atau agama. Inilah kekuatan kita yang perlu kita pupuk serta pertahankan dalam usaha kita membawa perubahan, reformasi atau islah dalam negara.

Oleh itu saya menyeru kepada saudara-saudara untuk melaksanakan amanah memilih barisan pimpinan yang mampu bersama-sama menjayakan agenda perjuangan ini. Marilah kita gunakan kearifan serta kebijaksanaan untuk memilih pemimpin parti untuk terus melaksanakan tanggungjawab besar ini.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudari yang telah memilih saya untuk menerajui parti ini selaku Presiden. Dengan bantuan serta dokongan saudara-saudara saya akan berusaha bersama-sama untuk memikul beban ini dengan sikap yang tawadhu’ bersama-sama barisan kepimpinan yang mengamalkan sikap mahasabah dalam mengurus perjuangan ini.

Marilah kita bebaskan belenggu yang mencengkam minda dan pemikiran bangsa ke arah membangun suatu bangsa yang benar-benar merdeka, bermartabat, bermaruah serta penuh yakin diri sebagai asas-asas falsafah pembangunan bangsa untuk mendasari pembangunan fizikal yang lebih bermakna.

Izinkan saya bagi pihak pimpinan dan ahli-ahli parti, bahkan juga atas nama BA; mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas pengorbanan dan khidmat cemerlang Sdr Dr. Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden parti yang memilih untuk melanjutkan perjuangan dalam wadah NGO.

Saya kagum kerana semangatnya terus kental dan prinsipnya tidak berubah. Keputusannya untuk kekal selaku ahli parti melambangkan keperibadiannya dan hasratnya untuk terus membantu kita. Demikian juga dengan Naib Presiden Sdr Zainur Zakaria yang memilih untuk menumpukan perhatian dalam kerjaya guamannya. Sumbangan Dr Chandra dan Sdr Zainur yang berterusan amatlah dihargai.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas pengorbanan saudara-saudari serta semua pendokong kita yang telah mengorbankan masa, tenaga dan segala-galanya di dalam menggerakkan perjuangan ini. Saudara Anwar Ibrahim sendiri menyampaikan salam dan rasa terharunya di atas pengorbanan yang telah saudara-saudari perlihatkan. Hanya Allah sajalah yang membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan.

Memang benar bahawa perjuangan kita ini untuk menegakkan negara keadilan yang menghormati prinsip persamaan manusia dan meletakkan maruah insan sebagai suatu keutamaan sebagaimana yang kita dengar dari petikan Dr Yusuf Qardawi sebentar tadi, "Maruah insan ini merupakan sesuatu yang
harus dipertahankan.

" Adalah melanggar harakat dan martabat insan untuk menganiayai sesama insan apatah lagi untuk memukulnya dalam keadaan tangannya terikat serta matanya ditutup.

Meskipun kita menyatakan bahawa perjuangan parti ini menjangkaui peribadi namun kita tidak bersikap apologetic dalam menggariskan sumbangan serta pengorbanan Sdr. Anwar dan rakan-rakan di dalam perjuangan ini. Kesediaan beliau untuk dibelasah, diaib dan didera sebegini rupa di penjara akan sentiasa mengingatkan kita betapa perlunya kita berlapang dada sesama kita dan mengelakkan diri dari pergeseran puak untuk berdepan dengan pemerintah yang melakukan kezaliman ini.

Dengan semangat itu, marilah kita berusaha untuk merangkul semua kelompok yang bersama-sama kita, merapatkan barisan pimpinan parti serta kerjasama dengan parti.

Saya doakan semoga saudara-saudara akan mencurahkan pemikiran, ide, memberi teguran dalam persidangan ini dalam rangka memperbaiki wadah yang telah kita bina bersama dengan harga pengorbanan yang tinggi.

Sebagaimana yang disebut oleh pepatah Cina, dalam lautan yang begitu dalam pun terdiri daripada titisan-titisan air, dan gunung yang betapa tinggi sekali pun terdiri dari ketulan-ketulan tanah.

Percayalah usaha dan pengorbanan yang murni ini akan menghasilkan asas untuk membina tamaddun bangsa yang lebih gemilang.

Selamat Bersidang.

Salam Reformasi.


Wassalamu`alaikum wrt wbt

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden, KeADILan
10 November 2001



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]