PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Timbalan Presiden keADILan Bidas Amalan Kronisme Dalam Projek 2,400 Makmal Komputer

KUALA Lumpur: Saudara Abdul Rahman Othman, Timbalan Presiden yang baru dilantik, membidas amalan kronisme kerajaan BN yang berterusan sehingga mengakibatkan pembinaan 2,400 makmal komputer di sekolah-sekolah seluruh negara terbengkalai.

Beliau mendedahkan bagaimana kontrak pembinaan tersebut diberikan kepada pesara jawatan kanan kerajaan walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman dalam industri pembinaan. Lebih teruk lagi, kontraktor-kontraktor ini menganugerahkan pula projek tersebut kepada sub-kontraktor yang tidak berdaftar dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).

Dalam kenyataan pertama beliau sebagai Timbalan Presiden, Saudara Abdul Rahman juga melahirkan kebimbangan beliau bahawa hasrat negara untuk menjadi pendahulu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan tersasar akibat amalan kronisme yang berleluasa. Menurut beliau lagi, walaupun telah dibantah berkali-kali, kerajaan tetap angkuh dengan amalan kronisme dan ini akan merugikan negara.

Saudara Abdul Rahman juga menyatakan bahawa punca kegagalan projek pembinaan makmal tersebut adalah kerana syarat kontrak yang tidak munasabah, selain daripada kontraktor yang mengendalikannya langsung tidak mempunyai pengalaman.

"Dari segi syarat kontrak pula, sangat tidak munasabah bagi sebuah syarikat yang tiada pengalaman diberi kontrak untuk menyiapkan lebih kurang 500 makmal komputer dalam masa enam bulan. Jelas sekali syarat ini dikenakan kerana campurtangan politik dan bukan atas kehendak agensi kerajaan yang bertanggungjawab," jelas beliau lagi.

Mengulas maklumbalas pihak guru dan ibubapa, beliau berkata kedua-dua pihak tersebut sangat kecewa kerana harapan mereka untuk menggunakan makmal komputer seperti yang dijanjikan musnah.

Beliau menyeru supaya kontrak diberikan berasaskan prosedur tender terbuka tanpa campur tangan ahli politik agar masalah projek terbengkalai tidak lagi berulang.

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]