PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Masalah Bangunan atau Komputer atau Bangau oh Bangaukah?

Kemelut Pembinaan Makmal Komputer
Masalah bangunan atau komputer atau bangau oh bangaukah?

Eksklusif daripada M@RHAEN

Kenyataan Media KeADILan: Kontrak ICT Diselewengkan adalah dirujuk

Sejak lebih seminggu yang lalu, rakyat telah dikejutkan oleh berita kegagalan beberapa kontraktor menyiapkan pembinaan makmal komputer di 2400 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara. Pelbagai pihak memberikan reaksi terhadap pendedahan yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, termasuklah PieM sendiri. 

Projek yang mula dilaksanakan pada awal tahun 2000 membabitkan pembinaan makmal-makmal contoh di 18 buah sekolah menengah dan rendah di Semenanjung yang dikendalikan secara pakej oleh enam kontraktor, di bawah pengawasan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Setiap kontraktor yang terbabit ditawarkan membina tiga model makmal mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh UPE/Kementerian Pendidikan berdasarkan enrolmen sekolah-sekolah yang dipilih manakala para kontraktor bebas mereka-bentuk bangunan dan kelengkapan makmal.

Daripada enam kontraktor berkenaan, lima adalah merupakan syarikat yang terlibat dalam industri ICT. Ini tidak menghairankan kerana tumpuan utama diberikan terhadap penyediaan infrastruktur ICT yang merupakan komponen utama dalam pembinaan makmal ICT. Syarikat berasaskan ICT lebih memahami keperluan untuk memperlengkapkan sesebuah makmal jika dibandingkan dengan kontraktor pembinaan. Oleh itu, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) tidak perlu melenting jika mereka tidak dilibatkan secara langsung di dalam projek ini.

Setelah projek contoh berkenaan siap, sebuah badan khas yang dilantik oleh UPE telah melakukan pemeriksaan dan penilaian dibuat berdasarkan kesesuaian rekabentuk bangunan dan kelengkapan makmal serta kos. Hasil daripada itu, hanya tiga kontraktor dipilih untuk meneruskan pembinaan makmal di 2400 buah sekolah dalam Fasa Pertama. Kontraktor yang dipilih adalah yang telah melaksanakan pembinaan makmal-makmal contoh di negeri Johor, Negri Sembilan dan Pahang. Ketiga-tiga kontraktor terbabit mula ditawarkan kerja-kerja berkenaan sekitar bulan Ogos 2000 dan dijangka dapat menyiapkan projek berkenaan menjelang Januari 2001. Bermula daripada bulan berkenaan, ketiga-tiga kontraktor telah mengagih-agihkan kerja kepada beberapa sub-kontraktor seperti binaan bangunan, pendawaian elektrik dan penghawa dingin, pembekalan komputer dan sistem rangkaian dalam zon masing-masing. 

Maka dapatlah kita lihat di serata tempat cerucuk bangunan tumbuh laksana cendawan selepas musim hujan. Disebabkan kesemua kontraktor beribu-pejabat di Kuala Lumpur, masalah logistik mula menyerap masuk hingga menyebabkan projek berkenaan tertangguh hampir setahun! Dan setelah hampir setahun, barulah Timbalan Menteri melenting. Adalah difahamkan, sehingga bulan September 2001, hanya dua (ulang: DUA) buah makmal - sebuah di Selangor dan sebuah di Perlis, yang telah siap dan dilengkapkan dengan komputer sepenuhnya!

Sebenarnya, Timbalan Menteri, hatta PieM sekalipun, tidak akan melenting sekiranya pembekal komputer dapat menghantar berpuluh-puluh ribu set komputer yang ditempah ke makmal-makmal berkenaan. Secara purata, sebuah makmal dapat menempatkan 20 set komputer. Satu pertiga (kira-kira 800 buah sekolah) daripada 2400 buah sekolah akan memiliki dua buah makmal. Kalau marked-up price satu set komputer berharga RM4,500, Cuba congakkan jumlah yang terlibat. Sebuah makmal = 20 set x RM4,500 = RM90,000. Kalau dua buah makmal, RM180,000. Nah, bukankah harga komputer jauh lebih mahal daripada bangunan makmal yang dibina di atas tapak milik sekolah.

Pembekal komputer inilah antara yang menjadi punca riuh-rendah semua ini. Bayangkan, setelah lebih setahun mereka terpaksa menyimpan berpuluh-puluh ribu set komputer kerana tidak dapat diserahkan disebabkan bangunan makmal belum siap! Malah mereka memaksa pihak sekolah menerima sebahagian daripada komputer berkenaan untuk disimpan di dalam stor sekolah! Apabila hendak digunakan nanti, kemungkinan kesemua komputer berkenaan sudah bertaraf 'obsolete' - usang, yang sesuai dijadikan tukun di laut!

Kami juga tidaklah berhasrat menyenaraikan nama syarikat (kontraktor) yang terbabit yang dirasakan menjadi mangsa kepada keadaan. (Kami mempunyai senarai lengkap keenam-enam kontraktor/syarikat berkenaan). Yang kita ingin tahu, siapakah yang dapat kontrak menjadi pembekal komputer dalam projek mega ini? Harap-harap ia tidak bertaraf 'OdaSaja'......

Diakhiri dengan sebaris lagu....  "Bangau oh Bangau, kenapa engkau kurus..."

- Unit Penyelidikan M@RHAEN

(Laman Marhaen)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]