PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Utusan Terus Cuba Menaburkan Dakyah Selepas PAT keADILan

KUALA Lumpur: Pemimpin dan aktivis keADILan diseru supaya berhati-hati dengan tipu helah media perdana tidak bertanggungjawab yang terus mahu menyebarkan dakyah bahawa keADILan sedang menuju kehancuran.

Akhbar Utusan Malaysia yang tiba-tiba memberikan tempat kepada keADILan menjelang PAT baru-baru ini terus menyiarkan rencana yang cuba memberikan gambaran yang tidak benar mengenai parti, walaupun pemilihan MPT sudah hampir seminggu berlalu.

Terbaru, akhbar itu dalam rencana utamanya melaporkan kononnya ahli-ahli keADILan dari 'fraksi' ABIM kecewa kerana kalah. Malah, laporan itu juga turut memetik kononnya kata-kata calon Timbalan Presiden keADILan Dr. Mohd. Noor Manuty bahawa kekalahan calon dari 'fraksi' ABIM akan merugikan keADILan.

Agensi berita kebangsaan Bernama dan akhbar-akhbar perdana lain turut menyiarkan berita yang mempunyai sentimen yang serupa.

Mengulas laporan itu, seorang pemimpin keADILan menyifatkan ia tidak benar dan menerangkan bahawa semangat perjuangan menegakkan keadilan akan mengatasi politik sempit yang dijaguhi BN. Malah, katanya, ahli-ahli keADILan sudah mula merancang strategi terbaru untuk memperkemaskan jentera walaupun keletihan menghadiri PAT masih belum hilang.

Walau bagaimanapun, beliau turut menyeru pemimpin-pemimpin keADILan berhati-hati apabila ditemuramah media perdana, kerana kemungkinan kenyataan mereka akan diputarbelitkan.

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]