PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Rayuan Dato' Seri Anwar Ditangguhkan Lagi

KUALA Lumpur: Rayuan Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan melakukan rasuah, ditangguhkan sekali lagi. Perbicaraan rayuan itu dijadualkan bermula Isnin lepas.

"Saya mendapat satu faks dari Mahkamah Persekutuan, memaklumkan bahawa salah seorang daripada tiga hakim yang akan mendengar rayuan itu jatuh sakit," demikian jelas Sankara Nair, peguam utama Dato' Seri Anwar.

"Setakat ini kita tidak dimaklumkan apa-apa tarikh baru."

Perbicaraan rayuan ini telah ditangguhkan selama berbulan-bulan. Perbicaraan yang sepatutnya bermula tahun lepas ditangguhkan apabila keadaan Dato' Seri Anwar menjadi semakin parah akibat kecederaan tulang belakangnya, dipercayai kerana dipukul bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor.

Bekas KPN itu didapati bersalah memukul Dato' Seri Anwar dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun, menjadikannya Ketua Polis Negara pertama terpaksa menjalani hukuman penjara kerana kesalahan jenayah.

Dato' Seri Anwar diberitakan telah berikrar akan menghadiri perbicaraan ini tidak kira kesakitan yang dialami beliau. Menurut peguam-peguam beliau, Dato' Seri Anwar tidak mahu kecederaan beliau dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan lagi perbicaraan itu.

"Walau diusung sekalipun, saya akan hadir," Dato' Seri Anwar diberitakan memberitahu wartawan melalui peguam beliau baru-baru ini.

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]