PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Petikan Ucapan Dasar: Datuk Sheikh Azmi Ahmad (Naib Presiden keADILan)

Malaysia perlu terima pakai instrumen hak asasi manusia

- Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Datuk Sheikh Azmi Ahmad menggesa Pemuda dan Wanita parti itu agar sekali lagi memimpin gerakan rakyat untuk menuntut kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.

Menurutnya, negara ini sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu menandatangani dan menerima pakai instrumen hak asasi manusia itu jika ingin dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

"Ini memandangkan banyak kemelut politik yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah lantaran tindakan rakus pemerintah yang tidak mengambil kira piawaian amalan politik masyarakat yang bertamadun," katanya ketika merasmikan Persidangan Agung Pertama Pemuda dan Wanita parti itu di Dewan Berlian Utama di sini, pagi Jumaat 9 November lepas.

Hadir sama ialah Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dan Hajjah Fatimah Ibrahim serta Ketua Pemuda PRM, Faisal Sanusi.

Beliau menambah, instrumen itu juga sewajarnya digunakan untuk menafsir peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak-hak asasi manusia.

Sebagai contoh, katanya Artikel 7 perjanjian tersebut menegaskan bahawa setiap individu mesti dilindungi dari siksaan dan perlakuan-perlakuan yang tidak berperikemanusiaan manakala Artikel 9 yang menegaskan bahawa tidak ada seseorang pun yang boleh ditahan secara sewenang-wenangnya.

"Perkara-perkara ini jelas bertentangan dengan tindakan kerajaan BN yang secara berterusan menggunakan akta-akta yang zalim guna untuk menyekat kebebasan berpolitik di dalam negara kita," ujarnya.

Budaya politik lama perlu diganti

- Budaya politik lama yang masih membelenggu dan membarahi kebanyakan parti politik perlu dihindari dan digantikan dengan budaya baru, kata Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Datuk Sheikh Azmi Ahmad.

Katanya, budaya perseteruan perlu diganti dengan budaya persaudaraan, politik wang dan umpan harta kekayaan diganti dengan budaya kualiti kepimpinan dan maruah diri manakala budaya politik adu domba, mengugut dan memfitnah perlu diganti dengan politik jujur, ikhlas dan adil.

Menurutnya, agenda politik baru itu amat bertepatan dengan perjuangan KeADILan untuk mewujudkan perubahan politik dalam negara yang menjurus ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang adil.

"Iltizam untuk mewujudkan budaya politik baru ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada ahli-ahli Pemuda dan Wanita," ujarnya ketika merasmikan Persidangan Agung Pertama Pemuda dan Wanita parti itu di Dewan Berlian Utama di sini, pagi Jumaat 9 November lepas. Hadir sama ialah Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dan Hajjah Fatimah Ibrahim serta Ketua Pemuda PRM, Faisal Sanusi.

Tambahnya, langkah pertama ke arah pengamalan budaya politik baru itu ialah kesediaan ahli-ahli Pemuda dan Wanita untuk menerima agenda politik baru sebagai intipati perjuangan parti.

Ini, katanya kerana budaya politik baru merupakan prasyarat dalam usaha untuk memurnikan amalan politik, melakukan islah atau reformasi dan membina sebuah masyarakat yang adil.

"Tanpa budaya politik baru ini, kita akan sentiasa berada pada takuk politik lama dan akan gagal melakukan pemurnian politik, reformasi dalam usaha membina masyarakat yang adil," ujarnya.

Beliau berkata, dalam rangka membina budaya politik baru itu, Malaysia perlu mempunyai piawaian amalan politik yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]