PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Petikan Ucapan Dasar: Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail (Presiden keADILan)

 

KeADILan hormati dasar PAS, DAP

- Parti KeADILan Nasional tetap menghormati hak-hak dan pendirian parti mengungkapkan dasar masing-masing termasuklah PAS dengan Negara Islam dan DAP dengan Malaysian Malaysia.

Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, KeADILan mengarah kepada masyarakat madani yang bertujuan memperkasa rakyat dengan demokrasi, menjana pembangunan ekonomi serta kemurnian sistem sosial.

Katanya, Barisan Alternatif (BA) terikat dengan muafakat jelas yang dirumuskan dalam agenda bersama dan hanya peruntukan yang dipersetujui dalam agenda tersebut akan menjadi teras perjuangan BA.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa dukacita kerana muafakat yang terjalin dalam BA tergugat dengan pengunduran DAP daripada pakatan.

"Sepertimana yang saya nyatakan, sumbangan dan pengorbanan pimpinan DAP khususnya Lim Kit Siang tetap kita hargai dan KeADILan akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan DAP, semoga muafakat asal BA dapat ditegakkan semula dengan penyertaan DAP," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Persidangan Agung Parti KeADILan Nasional kali ketiga yang bertemakan `Ke Arah Negara Berasaskan Keadilan' di Dewan Berlian Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mustafa Ali, Presiden dan Setiausaha Agung PRM, Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Sanusi Osman dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Encik Lim Kit Siang.

Dalam hubungan itu, katanya adalah wajar disentuh isu negara Islam walaupun konsepnya memang kontroversial dengan penafsiran yang pelbagai termasuk ungkapan istilah negara Islam oleh Perdana Menteri, Dr, Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan label negara Islam yang diumumkan oleh Dr. Mahathir itu sekiranya pengisiannya tiada kaitan dengan namanya.

"Apakah kita tidak merasa malu untuk mendabik dada sebagai negara Islam sedangkan ketidakadilan sosial berleluasa, pengagihan sumber ekonomi tidak seimbang, projek-projek mega dan prestij dijalankan sementara perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah jauh daripada mencukupi?" soalnya.


KeADILan wadah untuk bangun masyarakat multietnik

- Parti KeADILan Nasional merupakan wadah yang sesuai untuk membangun masyarakat Malaysia yang multietnik, kata Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Katanya, negara ini sebagai sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang memberi peluang kepada parti itu untuk meneroka dimensi yang lebih luas dalam membina bangsa yang bertamadun.

"Saya telah berulang kali menyebut betapa pentingnya kita bersatu `dengan latar belakang kepelbagaian ini' untuk terus menggerakkan perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Parti KeADILan Nasional kali ketiga yang bertemakan `Ke Arah Negara Berasaskan Keadilan' di Dewan Berlian Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mustafa Ali, Presiden dan Setiausaha Agung PRM, Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Sanusi Osman dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Encik Lim Kit Siang.

Menurutnya, kenyataan bahawa parti KeADILan adalah sebuah parti multietnik serta broad-based yang berteraskan Melayu seharusnya menjadi ciri khas dan salah satu sumber kekuatan parti.

Katanya, dalam konteks sejarah mutakhir, kekuatan ini tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik lain di negara ini dan anggota parti harus berbangga dengan kehadiran KeADILan yang memberi ruang kepada rakyat mendokong cita rasa politik baru ini.

Beliau berkata, KeADILan akan terus memperluaskan penyertaannya selaras dengan prinsip parti yang terbuka, menggarap persoalan yang dikaitkan dengan ledakan reformasi serta menggembleng berbagai kelompok, kaum dan penganut agama.


Harapan Wan Azizah pada DAP: Tegakkan Semula Pakatan Pembangkang

- Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggangap pengunduran DAP telah mengugat muafakat pakatan pembangkang dan berharap parti itu dapat bersatu semula dengan mereka bagi mengukuhkannya. Berucap menyampaikan ucapan dasar dan perasmian Persidangan Agung Tahunan Keadilan Ketiga 2001 di sini hari ini, Keadilan katanya sentiasa menghormati hak dan pendirian parti dalam menetapkan dasar masing-masing, termasuk Pas dengan Negara Islam dan DAP dengan Malaysian Malaysia.

Matlamat Keadilan pula, katanya adalah kearah masyarakat madani yang bertujuan memperkasa rakyat dengan demokrasi, menjana pembangunan ekonomi serta kemurnian sistem sosial.

Beliau berkata Keadilan merasa kecewa kerana muafakat yang terjalin dalam pakatan itu tergugat apabila DAP mengumumkan pengundurannya.

"Sumbangan dan pengorbanan pimpinan DAP khususnya Lim Kit Siang tetap kita hargai dan Keadilan akan terus menjalin kerjasama rapat dengan parti itu,”ujarnya.

"Dan semoga muafakat asal pakatan dapat ditegakkan semula dengan penyertaan DAP," katanya.Persidangan tiga hari dari 9 hingga 11 Nov yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Kemaman di sini menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti yang julung kalinya diadakan sejak parti itu dilancarkan pada 4 April 1999.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]