PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Editor Malaysiakini Sertai Berita Keadilan

KUALA LUMPUR: Bekas editor berita Malaysiakini.com, Fathi Aris Omar, menyertai Berita Keadilan mulai bulan ini selepas meninggalkan akhbar web terkenal itu September lalu.

"Inilah kali pertama saya bertugas dengan akhbar milik sebuah parti politik walau sebelum ini saya kerap menyumbang tulisan kepada beberapa akhbar pembangkang," katanya.

Walaupun kini bertugas bersama akhbar milik Parti Keadilan Nasional, beliau masih berpegang kepada semangat akhbar bebas dan kewartawanan yang profesional, katanya.

"Saya percaya kualiti penerbitan alternatif khususnya berbahasa Melayu dapat dipertingkatkan jika semua pihak sanggup bekerja keras," tambah Fathi Aris, apabila ditanya mutu dan profesionalisme media alternatif masa kini.

"Tetapi musuh terbesar kebebasan akhbar dan penghalang utama industri penerbitan datangnya daripada kerajaan sendiri, khususnya pemimpin-pemimpin politik. Inilah punca kualiti penerbitan, profesionalisme dan bakat baru kewartawanan negara kita tidak berkembang."

Penulis reformasi itu, yang pernah bertugas sebagai editor majalah Detik dua tahun lalu, kini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan alternatif selama 10 tahun.

Fathi Aris mendakwa beliau "kurang berminat" menulis isu-isu politik sebelum ini tetapi perkembangan negara sejak September 1998 mendorongnya berbuat demikian.

Selain pernah menyumbang tulisan untuk akhbar-akhbar harian utama negara ini, pemenang hadiah 'kebebasan akhbar' Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu turut menulis untuk laman-laman web reformasi.~BK

(BKO)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]