PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Wan Azizah: Tidak Benar Pimpinan keADILan Dikuasai Bekas Ahli Umno

-Presiden Parti Keadilan Nasional Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail nampaknya cuba meredakan spekulasi berlaku pergeseran antara puak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan bekas ahli Umno dalam pemilihan parti itu bila menafikan bahawa barisan kepimpinan baru parti itu dikuasai oleh bekas ahli Umno. Sekalipun agak nyata barisan bekas ahli Umno menyapu kebanyakan jawatan utama dalam pemilihan jawatan pemuda dan pimpinan pusat ,beliau menegaskan angapan itu tidak benar.

Beliau ditanya oleh para wartawan diakhir persidangan tahunan ketiga parti itu mengenai kemenangan bekas anggota Umno seperti Abdul Rahman Othman untuk jawatan timbalan presiden dan Azmin Ali bagi jawatan naib presiden.

Bagi jawatan pemuda pula dua bekas orang kuat Pergerakan Pemuda Umno iaitu ahli dewan undangan negeri Lunas ,Saifuddin Nasution memenangi jawatan timbalan manakala Zahid Mad Arip naib.

Ketika ditanya mengenai ramainya doktor yang dipilih menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Wan Azizah berkata: "Kita perlu banyak doktor untuk mengubat banyak penyakit dalam negara ini.

Mengenai percantuman Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan parti itu Wan Azizah membayangkan kemungkinan keduanya bersatu di bawah satu simbol.

"Saya membayangkan kemungkinannya," katanya .

Pada mesyuarat perwakilan pemuda parti itu Jumaat lepas, Ketua Pemuda Mohd Ezam Mohd Noor mendesak kepimpinan pakatan pembangkang supaya segera bernaung di bawah satu simbol bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Teks ucapan Ezam dibacakan oleh timbalannya Mustaffa Kamil Ayub.

Ezam tidak menghadiri persidangan itu kerana sedang menjalani tahanan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kem Kamunting, Taiping, Perak.

Sementara itu menyentuh tentang pemilihan yang berlangsung ,Wan Azizah berharap semua calon yang bertanding kembali merapatkan barisan untuk menghadapi Barisan Nasional yang disifatkannya "begitu kuat berkuasa".

Wan Azizah yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding, berkata semua pihak adalah "pemenang" jika parti itu menang dalam piliha raya umum kelak.

"Dalam mana-mana pertandingan, kita menyedari bahawa kemenangan atau kalah adalah adat resam dan kita sama-sama di dalam perjuangan atas matlamat lebih besar untuk berhadapan dengan Barisan Nasional yang begitu kuat berkuasa," katanya.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]