PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Rahman Othman Tewaskan M. Nur Manuty; Azmin Menang Kerusi Naib Presiden

Oleh ROZAID A RAHMAN

- Bendahari Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Abdul Rahman Othman berjaya menewaskan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Muhammad Nur Manuty pada pertandingan sengit merebut kerusi timbalan presiden yang dikosongkan oleh Dr Chandra Muzaffar.

Beliau menang dengan majoriti 44 undi yang menyaksikan pertandingan sengit sebagai apa yang dikatakan oleh media massa pertarungan di antara bekas pemimpin Umno dengan Abim.

Abdul Rahman yang juga pengerusi Badan Perhubungan Keadilan Johor memperolehi 521 undi manakala Muhammad Nur 477 undi.

Muhammad Nur merupakan bekas presiden Abim atau Angkatan Belia Islam Malaysia manakala Abdul Rahman pula adalah bekas timbalan ketua Umno Bahagian Muar.

Bagi tiga kerusi naib presiden yang dipertandingkan, calon-calon yang menang ialah ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Klang, Azmin Ali dan dua orang penyandang jawatan iaitu Tian Chua serta Datuk Sheikh Azmi Ahmad.

Sepertimana Ezam M. Nor, ketua Pemuda Keadilan yang berjaya mempertahankan jawatannya tanpa bertanding semalam, Tian Chua juga telah mencatat sejarah sebagai pemimpin tertinggi Keadilan yang pertama dipilih dalam pertandingan ketika di dalam tahanan.

Beliau kini masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting Taiping.

Azmin, bekas setiausaha sulit kanan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menduduki senarai teratas untuk jawatan naib presiden dengan memperolehi 578 undi.

Tian mendapat tempat kedua dengan 562 undi. Sheikh Azmi yang merupakan bekas pemimpin Abim Pulau Pinang dan mufti negeri berjaya meraih 529 undi.

Bagaimanapun Sheikh Azmi yang memperolehi dua undi melebihi Ketua Penerangan Ruslan Hj Kasim telah dipertikaikan kemenangannya sehingga membawa kepada pengiraan undi semula.

Ketika berita ini ditulis pada jam 11.45 malam, kiraan undi semula masih berlangsung.

Selain Ruslan, dua lagi calon popular naib presiden yang tewas ialah Setiausaha Agung Anuar Tahir dan bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, N. Gobalakrishnan.

Anuar hanya mampu mendapat 380 undi dan Gobalakrishnan pula 378 undi.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]