PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Adun Penanti Menang Pengerusi Tetap keADILan Tanpa Bertanding

- Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Penanti, Pulau Pinang, Haji Abdul Rahman Abdul Kader telah berjaya memenangi jawatan pengerusi tetap Parti Keadilan Nasional (Keadilan) tanpa bertanding pada Perhimpunan Agung parti itu di sini hari ini. Beliau yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah diumumkan menang tanpa bertanding pada jam 5.10 petang ini.

Abdul Rahman adalah bekas pengerusi tetap Umno Bahagian Permatang Pauh selama tiga penggal sebelum meletakkan jawatan pada tahun 1999 ekoran krisis pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan.

Beliau buat pertama kalinya dicalonkan untuk bertanding pada pilihanraya umum November 1999 di kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh dan berjaya menewaskan Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh Zulkefli Bakar.

Sebelum bergiat aktif dalam politik beliau lebih dikenali sebagai pemimpin kesatuan sekerja. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai naib presiden Cuepacs dan presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Kuasa Tempatan (Anulae) selama tiga penggal.

Bekas penolong pegawai tafsiran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu adalah penerima anugerah khidmat cemerlang MPSP.

Kini beliau menyandang jawatan sebagai ketua Keadilan Bahagian Permatang Pauh dan juga ketua penerangan Keadilan Negeri Pulau Pinang.

Abdul Rahman dikenali di kawasannya sebagai wakil rakyat sepenuh masa dan berkhidmat tujuh hari seminggu sebagaimana yang dijanjikannya ketika bertanding dahulu.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]
Make your own free website on Tripod.com