PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Rakyat Perlu Bebas Berpolitik - Adun Gombak Setia

Oleh Saidah Hairan

- Adun Gombak Setia, Dato' Ismail Kamus berkata Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen maka tiada halangan bagi rakyatnya untuk menganut sebarang fahaman politik.

Menurut beliau, tindakan Barisan Nasional (BN) melarang seseorang berceramah atau mengajar di masjid dan surau semata-mata berbeza fahaman politik, dibimbangkan di padang mahsyar nanti pihak-pihak berkenaan tidak dapat menjawab soalan-soalan dari Allah Rabul Jalil.

Katanya, mengapa perlu ditahan ustaz yang menyokong PAS daripada memberi pengajaran kerana seseorang yang tahu mengajar tetapi tidak mengajar adalah dianggap seperti menyembunyikan ilmu sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud; "barangsiapa yang menyembunyikan ilmunya nanti Allah akan mengekangnya dengan api neraka pada hari kiamat."

"Maka bagaimana pula hukuman orang yang tahu itu ingin mengajar tetapi ditahan atau dilarang oleh pemerintah dengan berbagai-bagai alasan," tegasnya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Selangor 2002, di Dewan Undangan Negeri Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat tidak suka masjid dipolitikkan oleh itu diharap pegawai-pegawai yang bertugas di jabatan agama pun jangan lebih hebat dari orang politik atau lebih sudu dari kuah.

Katanya, alasan ustaz disekat daripada berceramah kononnya mesti ada tauliah maka bagaimana ijazah yang telah dianugerahkan oleh ustaz berkenaan tidak boleh diterima pakai oleh jabatan agama.

"Kena ingat bahawa pengeluaran tauliah itu adalah untuk mengelakkan daripada ajaran sesat dan orang berkenaan tidak ada sebarang sijil atau ijazah barulah dipanggil untuk ditemuduga. Bukan secara menyeluruh. Itulah sebabnya kena baca sejarah pengeluaran tauliah itu. Kita bimbang nanti suatu hari suami hendak mengajar isterinya, isteri pun bertanya abang ada tauliahkah?" soalnya.

Menurut beliau, kerajaan Negeri telah memperuntukkan wang kerajaan untuk membina masjid, sekolah-sekolah dan sebagainya, ingatlah yang penting bukanlah bangunannya tetapi bagaimana hendak membangunkan orang yang membangunkan bangunan itu.

Selain itu beliau membangkitkan masalah rakyat yang masih tidak mendapat pembahagian tanah.

Katanya, wakil rakyat perlu memikirkan masalah orang yang masih tidak mempunyai tanah bukan memikirkan bagaimana wakil rakyat yang masih tidak mempunyai tanah.

Justeru beliau mengingatkan, waktu pemilihan bahagian atau pilihan raya calon-calon pilihan raya tidak menggunakan wang supaya tidak sibuk setelah mencapai kemenangan untuk mendapat ganti.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]