PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Rayuan Anwar Terhadap Tuduhan Salahguna Kuasa Didengar M/Persekutuan 12 Nov.

- Rayuan bekas timbalan perdana menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim terhadap pensabitan dan hukuman bagi empat tuduhan salahguna kuasa akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan Isnin depan, peguamnya Sankara Nair memberitahu hari ini. Anwar dijatuhi hukuman enam tahun bagi empat kesalahan menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan tersebut.

Menurut Sankara Nair, beliau menerima sepucuk surat Mahkamah Persekutuan pagi ini yang mengkhabarkan tarikh baru itu setelah tarikh terakhir ditetapkan pada 27 November tahun lalu.

Anwar tidak dapat menghadiri pendengaran di mahkamah tertinggi itu kerana uzur, iaitu sakit belakang yang menyebabkan beliau dirawat di hospital Kuala Lumpur.

Mahkamah Persekutuan yang bercadang mendengar rayuan Anwar tahun lalu dianggotai tiga orang panel iaitu Hakim Besar Malaya Wan Adnan Wan Ismail (sekarang presiden Mahkamah Rayuan), ketua hakim Sabah dan Sarawak Steve Shim dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohamed Dzaiddin Abdullah (sekarang Ketua Hakim Negara).

Sankara memberitahu, beliau telah memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya panel hakim terdiri daripada lima orang bagi mendengar rayuan Anwar minggu depan.

Anwar didapati bersalah pada 14 April 1999 atas keempat-empat kesalahan menyalahgunakan kuasa semasa menjadi TPM iaitu dengan mengarahkan polis mendapatkan penarikan balik kenyataan Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali yang menuduh Anwar terlibat dengan salahlaku seks.

Hakim Augustine Paul menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas Anwar atas kesalahan-kesalahan itu.

Rayuan Anwar terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut ditolak sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan pada 29 April tahun lalu.

Dalam petisyen rayuannya pada 5 Jun, Anwar mendakwa bahawa Mahkamah Rayuan gagal melaksanakan budi bicaranya secara adil dan tidak menimbang dengan sewajarnya hukuman yang dikenakan itu terlalu berat.

(Agenda Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]