PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
DAP Keluar BA, PBS Masuk Semula BN

Senario untuk melihat perubahan besar dalam politik Malaysia di abad ke 21 ini sudah bermula sejak awal tahun 1990an lagi. Tapi sering terbantut kerana beberapa elemen turun naik atau pasang surutnya kekuatan politik pembangkang di Malaysia. Dengan kata lain, seketika nampak benar kekuatan pembangkang di Malaysia seperti ombak besar yang boleh merobohkan tembok besar kekuasaan parti kerajaan UMNO/BN. Tiba-tiba di waktu yang lain ombak besar itu menjadi kecil. Itulah gambarannya, bagaimana gabungan pembangkang dengan nama besarnya BA yang telah menyatukan empat parti pembangkang utama dan terbesar di Malaysia iaitu PAS, DAP, KeADILan dan PRM telah menggerunkan UMNO/BN bersama sekutunya yang lain pada pilihan raya umum ke 10 yang lalu. Jadi, apakah dengan keluarnya DAP daripada BA serta masuk semula PBS ke dalam BN akan memberi laluan mudah kepada BN atau setidak-tidaknya mengembalikan semula kekuatan BN. Dan apakah keadaan itu akan melemahkan kekuatan pembangkang. Dan sebagai rakyat yang bijak, jangan menjadi lemah semangat untuk terus berusaha merubah wajah politik Malaysia pada pilihan raya akan datang, biarpun tanpa DAP dalam gabungan BA, dan PBS kembali masuk kandang BN. Pembangkang dalam BA dengan sokongan rakyat dan juga NGO's perubahan politik boleh saja terjadi dengan kekuatan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan politik di Malaysia di alaf baru ini.

Dari satu sudut senario ini seperti memberi impak baik kepada masa depan politik BN di persada politik Malaysia dalam masa terdekat ini, sekurang-kurang bagi menghadapi pilihan raya umum kali ke 11 nanti. Kepada gabungan parti-parti pembangkang dalam BA pula keadaan ini suatu yang tidak diingini dan perlu dielakkan. Kerana dengan pengaruh sedia ada DAP di kalangan rakyat Malaysia dan pengaruh tersendiri PBS khususnya di kalangan rakyat Sabah, setidak-tidaknya mampu mengukuhkan lagi cengkaman pembangkang di arena politik negara ini terutama untuk merobohkan tembok kuasa politik BN pada pilihan raya akan datang yang dijangkakan lebih awal daripada tahun 2004.

Oleh kerana DAP sudah merajuk dan keluar daripada gabungan BA, ditambah lagi ura-ura PBS masuk BN semula. Surat permohonan masuk itu sudah pun dihantar sendiri oleh Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin kepada Pengerusi BN, Datuk seri Dr Mahathir. Dalam situasi sekarang, adalah mustahil bagi BN menolak permohonan PBS itu. Kerana kemasukan PBS ke dalam BN sekurang-kurang telah menambah kekuatan BN di Sabah pada perkiraan atas kertas politik BN.

Keadaan itu benar-benar mengganggu mimpi indah gabungan pembangkang untuk menamatkan kerakusan kuasa BN dalam pilihan raya umum terdekat ini. Sebab kekuatan parti-parti pembangkang dalam BA sejak pilihan raya tahun 1999 itu dilihat cukup baik dan mempunyai prospek masa depan politik pembangkang di Malaysia semakin bersinar, malah mampu untuk mara lebih jauh lagi, sekiranya kena strategi, dengan persiapan rapi dan usaha maksima dalam penggembelingan tenaga pembangkang di semua peringkat dapat digerakkan secara tersusun serta bersistem.

Mampukah Pembangkang Menggugat Parti Kerajaan UMNO/BN

Dalam keadaan kekuatan UMNO pimpinan Dr Mahathir selaku tulang belakang BN yang semakin malap sejak 1987 lagi. Kemudian sekutu-sekutunya yang lain seperti MCA, BN Sabah dan lain-lain yang bermasalah. BN tidaklah segagah sebagaimana digembar-gemburkan oleh media pengampu mereka. Mereka UMNO/BN hanya bergantung ehsan kepada propaganda media yang mereka kuasai, selain cengkaman kuasa politik mereka ke atas institusi kerajaan seperti RTM, polis, jabatan-jabatan dan juga agensi kerajaan yang mahu diperkudakan atau dicucuk hidung.

Politik pembangkang masih mampu bernafas dengan selesa, walau pun ditekan cukup hebat oleh parti kerajaan UMNO/BN yang berselindung di balik jabatan atau institusi kerajaan yang semua orang tahu. Insya-Allah, gabungan pembangkang boleh menghadapi segala taktik jahat dan tidak demokratik UMNO/BN selama ini. Ini dapat dilihat dan dirasakan oleh seluruh rakyat betapa sebenarnya kepimpinan UMNO/BN akhir-akhir ini sudah hilang kewibawaan dan pengaruh di kalangan rakyat yang celik politik. Kerana itulah mereka mempergunakan apa jua cara demi untuk menyekat kemaraan pengaruh pembangkang di kalangan rakyat Malaysia. Mereka (UMNO/BN) sekat/larang ceramah politik pembangkang, rampas media pembangkang, tangkap pemimpin pembangkang, kaitkan pembangkang dengan pelbagai kegiatan jenayah, militan dan macam-macam lagi cara. Rakyat diugut, ditakut-takutkan dan dibawa isu-isu palsu yang direka-reka bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap gabungan pembangkang. Tidak cukup dengan itu mereka laga-lagakan parti-parti pembangkang melalui media mereka, hatta mengheret negara luar untuk memburuk-burukkan pembangkang. Dalam masa sama mereka bersikap 'masuk bakul angkat sendiri' memuji-muji diri mereka kerajaan baik, stabil, adil dan pelbagai lagi bahasa-bahasa indah.

DAP Di luar BA, PBS Masuk BN Merelakan Malaysia Terus Dicengkam Kezaliman

DAP dan PBS seperti merelakan rakyat Malaysia, negara ini dan diri mereka untuk terus berada di bawah cengkaman ketidakadilan, kezaliman dan amalan tidak demokratik, amalan rasuah, ketidaktelusan sistem pentadbiran negara, perkosaan sistem kehakiman, kemelesetan ekonomi, masalah sosial, penyelewengan, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme dan berbagai-bagai lagi kemungkaran politik yang dilakukan oleh UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir. Apakah para pemimpin DAP dan PBS terus menutup mata, membutakan mata, memekakkan telinga dan mahu mengheret rakyat menzalimi diri sendiri.

Rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada DAP dan juga PBS di Sabah agar mereka dapat sama-sama membebaskan Malaysia dan rakyat daripada terus-terusan berada di bawah sistem yang tidak menentu, nama saja Malaysia mengamalkan sistem demokrasi tetapi amalan demokrasi yang dikehendaki rakyat dikongkong dengan pelbagai cara, demi untuk mempertahankan sebuah parti kerajaan yang zalim dan memperkosa segala hak-hak asasi rakyat yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara.

Diharapkan juga DAP dan PBS boleh memikirkan kembali tindakan mereka yang boleh diibaratkan mundur ke belakang. Dalam era globalisasi ini mereka sepatutnya memiliki pemikiran politik lebih ke depan dan matang. Mengambil satu pendekatan politik lebih terbuka, bukan bertindak kerana desakan atau seperti orang yang terdesak dalam keadaan tenggelam punca kehilangan arah pegangan dan prinsip politik. Sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan kepada musuh politik mereka.

Akhirnya, sebelum 'nasi menjadi bubur' dan 'sebelum terlajak kata' kita sebagai rakyat yang cintakan perpaduan dan pembaharuan dalam politik Malaysia meminta para pimpinan DAP serta PBS di Sabah supaya dapat memikirkan kepentingan rakyat dan negara ini lebih besar dari semata-mata berfikir untuk survival kepentingan politik sempit atau individu pimpinan yang sudah kehilangan semangat juang dalam arus perdana politik Malaysia yang semakin mencabar dan global sekarang. Namun, seandainya tindakan mereka (DAP dan PBS) itu sudah muktamad dan tidak boleh diubah lagi. Kecuali DAP yang masih tetap dengan pendirian terus menjadi parti pembangkang serta bersedia berkerjasama dengan BA, juga BN. Lebih menampakkan bahawa strategi politik DAP lebih berpandangan jauh. Kerana PBS seperti cukup nekad untuk kembali bersama BN, apakan daya itu merupakan hak politik mereka siapa jua tidak boleh menahan. Terpulang kepada rakyat Sabah untuk mengadilinya pada pilihan raya akan datang. Sabah masih mempunyai parti-parti pembangkang yang boleh diharapkan memberi cabaran kepada BN Sabah pada pilihan raya akan datang iaitu Parti KeADILan Sabah yang diketuai oleh anak mantan TYT Tun Said Keruak, Datin Saidatulbadru dan barisan pimpinan KeADILan negeri yang mempunyai semangat juang kental dalam membawa budaya politik baru, politik perjuangan bukannya politik wang, minda subsidi dan tunggu habuan yang ditanam oleh UMNO/BN selama ini di Sabah. Insya-Allah, KeADILan Sabah mampu menarik sokongan rakyat Sabah yang celik politik bagi menggantikan tempat PBS yang sudah kembali menjadi kerabat BN di Sabah.

Tidak mungkin hilang seorang kawan dalam perjuangan mulia, perjuangan untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan di bumi tercinta ini, kita menjadi patah sayap, hilang semangat. Sewajarnya, hilang seorang rakan seperjuangan 10 tampil menggantikan kehilangan itu. Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan jua.

LAWAN TETAP LAWAN...REFORMASI!!!!!

Ibn Sabah,
20.11.2001M.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]