PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
DAP Tidak Akan ertai BN: Kerk Kim Hock

KUALA Lumpur: Setiausaha Agung DAP, YB Kerk Kim Hock membayangkan bahawa parti pembangkang itu tidak akan menyertai BN walaupun ada ura-ura ia akan berbuat demikian.

Apabila ditanya mengenai pelbagai cadangan yang mengsyorkan DAP menyertai BN, beliau berkata:

"DAP tidak akan menyertai BN semata-mata untuk menyertainya… Ideologi dan prinsip perjuangan parti kami jauh berbeza berbanding dengan BN."

Kenyataan beliau itu mungkin meredakan cakap-cakap politik bahawa ada gerakan di dalam DAP yang meminta kempimpinan parti itu menimbang kemungkinan menyertai BN. Ini berikutan kemasukan PBS ke dalam BN baru-baru ini.

Perkembangan tersebut dikatakan ada hubungan dengan isu negara Islam yang mendorong DAP menarik diri dari BA sebelum pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Penganalisa politik menyifatkan keputusan PBS menyertai BN ada kaitan dengan kehendak akar umbi masyarakat Kadazandusun ingin melihat parti-parti yang mewakili mereka bersatu, akibat kebimbangan mereka mengenai isu negara Islam. Kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin tiga parti majoriti Kadazandusun membayangkan mereka mungkin bergabung.

Ketika ditanya mengenai kedudukan DAP sebagai satu-satunya parti nasional yang tidak menyertai mana-mana pakatan pembangkang, YB Kerk berkata ia tidak bermakna perkara tersebut akan melemahkan DAP.

Pemerhati politik tempatan meramalkan DAP akan menumpukan kepada kawasan-kawasan majoriti Tionghua yang secara tradisional menyokong mereka. Keputusan mereka menumpukan perhatian kepada segmen pengundi khas ini dijangkakan akan meneruskan kelangsungan politik parti itu.

Walaupun telah menarik diri dari BA, DAP masih mengekalkan hubungan yang baik di peringkat akar umbi dengan keADILan. Seorang pemimpin keADILan Perak menyifatkan kerjasama di Perak begitu utuh dan jika keADILan dan DAP terus bergerak bersama-sama di negeri itu, peluang mereka untuk melemahkan penguasaan BN adalah lebih besar.

(Berita keADILan)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]