Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Mahfuz: Larangan Ceramah, Polis Perlu Minta Maaf
 


Oleh Helme Hanafi (BKO)

KUALA LUMPUR: Pemuda Pas menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan membenarkan semua ceramah yang memohon permit daripada pihak polis.

Menurut ketua pemuda Pas, Mahfuz Omar, sebelum ini polis telah menyekat
permit untuk berceramah walaupun parti politik memohon kebenaran untuk berceramah sehingga mencabul hak bersuara rakyat dalam sistem demokrasi.

Beliau turut mahukan pihak polis supaya memohon maaf secara terbuka kepada
seluruh rakyat dan Pas atas tindakan mereka yang tidak professional sebaliknya
mengikut arahan politik BN, tidak mengeluarkan permit ceramah, menghalang
kebebasan bersuara dan mencerobohi beberapa perhimpunan aman anjuran parti politik.

Polis juga mesti memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan menghalang lagi pemberian permit kepada mana-mana permohonan yang dibuat dan tidak akan mengganggu ceramah yang dianjurkan. Sebelum ini gangguan polis telah menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak dan keganasan polis ini mesti dihentikan, katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, kekeliruan ini timbul akibat salah faham polis dalam mentafsirkan kenyataan Perdana Menteri dan TPM yang menyekat polis daripada permit untuk ceramah politik.

Dewan Pemuda Pas Pusat sebenarnya hairan bagaimanakah Perdana Menteri dan TPM boleh membuat kenyataan yang mengelirukan apabila mengarahkan  pihak polis supaya menyekat permit ceramah sebelum ini sedangkan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akibat tersalah tafsir, pihak polis telah bertindak liar sehingga menceroboh ceramah-ceramah yang dianjurkan di dalam premis milik persendirian. Lebih dahsyat lagi apabila permit yang dipohon tidak diluluskan sehingga memaksa parti politik menganjurkan ceramah tanpa permit. Yang anehnya penganjur ceramah dianggap melanggar undang-undang sedangkan pihak polis dan kerajaan sebenarnya yang mencabul Perlembagaan, katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Menurutnya lagi, apabila berlaku pelbagai peristiwa akibat sekatan berceramah ini, TPM membuat kenyataan yang berbeza pula iaitu membenarkan ceramah yang memohon permit dan Dr Rais Yatim pula menyatakan ceramah dalam premis tidak memerlukan permit.

Kenyataan ini sekali gus membatalkan kenyataan Dr Mahathir dan TPM sebelum ini melarang kelulusan permit untuk semua ceramah politik. Dan segala tindakan biadap polis sebelum ini termasuk menyekat permit adalah menyalahi undang-undang dan tidak menepati maksud TPM sebelum ini.

Lantaran kecelaruan kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Kerajaan BN, pihak
polis telah melakukan pelbagai salah guna kuasa termasuk menghalang permit
ceramah dan menangkap berpuluh orang yang tidak berdosa dalam beberapa ceramah yang dianjurkan parti politik, katanya lagi.

Dewan Pemuda Pas juga menurut Mahfuz, mendesak TPM memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah menyekat kebebasan asasi mereka dengan menghalang ceramah. TPM juga mesti memohon maaf kepada PAS kerana kenyataannya sebelum ini telah menyebabkan banyak ceramah PAS tidak mendapat permit dan membuka ruang fitnah terhadap PAS kononnya tidak menghormati undang-undang.

Selain itu, Pemuda Pas turut mendesak kerajaan supaya menarik balik semua pertuduhan yang dibuat ke atas mangsa-mangsa kekeliruan pihak polis dalam beberapa siri ceramah yang dianjurkan oleh parti politik sebelum ini. Polis telah enggan memberi permit kemudian menceroboh dan menahan mangsa-mangsa
ini sedangkan mereka tidak bersalah.

Semua kes yang telah dibawa ke mahkamah juga mesti ditutup kerana pendakwaan yang dibuat itu berpunca daripada kecelaruan kenyataan TPM sehingga menjejaskan hak asasi rakyat. Oleh itu semua tertuduh dalam kes ceramah adalah tidak bersalah dan mesti dibebaskan dengan segera daripada sebarang pertuduhan, kata beliau lagi.
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net