Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes) PEMUDA keADILan NEGERI SELANGOR

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Pemuda Pas serah Memorandum Bantahan Kepada Amerika, Filipina Dan Singapura
 



OLEH: INTAN RUSLI

KUALA LUMPUR- Rombongan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPP) yang diketuai oleh Mahfuz Omar hari ini menyerahkan tiga memorandum yang berasingan kepada Kedutaan-kedutaan Filipina dan Amerika Syarikat dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura.

Memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura membantah peraturan baru kerajaan Singapura melarang murid-murid perempuan Islam memakai tudung.

“Larangan ini sama sekali bertentangan dengan prinsip kemanusian dan sewajarnya Kerajaan Singapura menghormati hak orang Islam untuk mengamalkan tuntutan agama,” kata Mahfuz kepada wartawan selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Pertama Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Mark Neo petang ini.

Memorandum kepada Amerika Syarikat pula membantah Amerika mencabuli hak asasi tahanan perang ( anggota-anggota Al-Qaeda dan Taliban) di Teluk Guantanamo, Cuba, dan membantah AS menyokong tindakan Israel menyerang dan mengepung pemimpin Palestin, Yasser Arafat, dan kehadiran tentera AS di Filipina yang dianggap mengancam keselamatan dunia.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena petang tadi ditemani Timbalannya, Salahuddin Ayob dan Exconya Idris Ahmad di ketiga-tiga tempat itu.

Bagi pihak kedutaan AS, setiausaha pertama W. Gary Gray telah menerima memorandum tersebut daripada rombongan Pas itu.

Dalam pertemuannya dengan Gary Gray, menurut Mahfuz, AS mempertahankan cara ia melayan tahanan-tahanan perang dengan menggari tangan dan mereka tidak dibenarkan sembahyang, dikurung dalam bilik tanpa dinding dan sebagainya yang di luar sifat kemanusiaan kononnya mereka suspek utama.

“Saya membantah alasan tersebut kerana kesemua tahanan Al Qaeeda dan Taliban tersebut masih belum dibicarakan atau didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah dan jelas menunjukkan sikap ketidaktamadunan AS, sedangkan selama ini AS sentiasa mengkritik negara lain sebagai tidak bertamadun.”

Dalam memorandum itu Pas juga menyifatkan AS mengamalkan dua taraf kerana di satu pihak ia bersungguh-sungguh menghapuskan pengganas tetapi di pihak lain AS melindungi pengganas tradisional di Palestin iaitu Israel yang diberi sokongan di atas segala tindakannya membunuh orang-orang Palestin.

Menurut Mahfuz, tindakan AS itu kelihatan seolah-olah Amerika sedang mengisytiharkan perang ke atas umat Islam di seluruh dunia. “Dewan Pemuda Pas melihat tindakan berciri binatang yang diamalkan oleh AS itu sebagai satu bentuk keganasan yang ditaja AS ke atas umat Islam ketika AS sedang bercakap kepada dunia bahawa mereka sedang membanteras aktiviti keganasan,” tambah beliau.

Pemuda Pas juga turut mengutuk Presiden Bush yang memberi sokongan kepada Israel yang berganas terhadap umat Islam di Palestin.

Beralih kepada isu kehadiran tentera AS di Filipina, Mahfuz menegaskan bahawa Pemuda Pas menentang keras tindakan AS itu yang bertujuan membantu tentera Filipina menentang umat Islam di Mandanao.

Mengenai bantahan terhadap peraturan baru kerajaan Singapura, Ketua Pemuda Pas itu langkah Singapura itu mencabuli hak asasi manusia dalam mengamalkan ajaran agama secara bebas, seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB 1948.

“ Pemuda Pas membantah keras tindakan kerajaan Singapura itu kerana belum ada bukti yang menunjukkan bertudung boleh memberikan kesan buruk terhadap perpaduan dan keselamatan negara,” tegas beliau.

Menurut Mahfuz, pihaknya akan meminta kerajaan Singapura membenarkan wakil-wakil Pas memasuki negara itu untuk memberi penerangan mengenai amalan menurut ajaran agama Islam termasuk bertudung kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan Singapura bertindak dengan bijak ( dengan menarik balik larangan bertudung itu ) “ akan mengundang bala yang besar kepada perpaduan nasional masyarakat Singapura”.


(AgendaDaily)
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]