KOTA BHARU - Orang ramai yang berada di tempat ceramah anjuran PAS di
Kampung Kubang Bok, Kuala Ketil malam 10 Febuari lalu mempertikaikan kenyataan polis dan
pemimpin Umno, kononnya penyokong parti itu terbabit membakar trak polis.
Mereka mendakwa percubaan membakar trak polis dilakukan pihak tertentu yang tidak ada
kaitan dengan PAS. Seorang saksi berkata, trak polis tersebut diletak tidak jauh dari
tempat ceramah dan sedang berada di bawah kawalan anggotanya. Katanya, pemandu dan anggota
polis berada di kawasan itu ketika kejadian dan tidak mungkin pula ada pihak yang
dikaitkan dengan PAS cuba membakar trak berkenaan.
"Orang ramai melihat api tiba-tiba menyala di bahagian khemah belakang trak ketika
Menteri Besar Kelantan berucap dan kenderaan itu dilihat pula bergerak ke jalan menghala
ke tempat orang ramai mendengar ceramah. "Sedangkan di tempat pertama trak itu
berada, tidak ada penyokong PAS kerana mereka sedang mendengar ceramah di kawasan padang
yang terletak di kawasan lain," katanya.
Menurutnya, selepas trak yang menyala itu bergerak ke arah orang ramai dan anggota pasukan
keselamatan lain melepaskan tembakan gas pemedih mata ke semua arah termasuk kebun getah
di kawasan berdekatan. "Keadaan menjadi kelam kabut selepas itu dan orang ramai terus
meninggalkan program berkenaan. "Gas pemedih mata dan semburan asid dihalakan kesemua
arah," ujarnya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perbuatan itu sebagai provokasi dilakukan
pihak tertentu bagi memburuk-burukkan lagi imej PAS. Oleh itu, katanya, sekiranya benar
ada penyokong PAS terbabit dalam cubaan membakar trak berkenaan, sudah tentu mereka akan
menyalakan api di bahagian lain yang lebih sensitif dan bukannya di bahagian belakang.
Seorang lagi saksi yang turut berada di tempat kejadian, juga hairan melihat trak polis
sedang terbakar di bahagian belakang bergerak menghala ke tempat orang ramai mendengar
ceramah.
"Sedangkan trak tersebut pada awalnya berada di tempat lain iaitu di kawasan kebun
getah. "Ketika mula-mula melihat trak itu, saya menyangka pokok getah yang terbakar,
namun hairannya mengapa pula boleh bergerak," ujarnya.
Dianggarkan 500 anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan
Gerak Am yang datang dengan lebih 20 trak berada di tempat kejadian.
Sumber itu berkata, selepas semburan gas dan air berasid dilakukan orang ramai cuba
melarikan diri, dan pihak polis pula menunggu di bahagian depan untuk menangkap mereka.
Ekoran itu, seramai 31 orang ditahan pada malam kejadian, dan dua orang daripada mereka
ditahankan reman selama seminggu. Sumber lain pula memberitahu, beberapa hari sebelum
kejadian ada pihak cuba memastikan kesahihan Menteri Besar Kelantan hadir pada majlis
ceramah berkenaan.
"Kita melihat usaha-usaha untuk memastikan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
hadir pada program berkenaan ada hubung kait dengan kejadian yang berlaku di Kuala
Ketil," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh
berkata, trak yang terbakar pada malam kejadian di Kuala Ketil di bawah kawalan anggota
polis.
Katanya, tidak lojik sama sekali, sebuah trak yang berada di bawah kawalan polis boleh
terbakar dan dituduh pula penyokong PAS yang terbabit dengan kejadian itu.
"Penyokong PAS datang untuk mendengar ceramah dan kita tidak nampak ada perancangan
awal penyokong PAS untuk menyerang polis sebagaimana didakwa Ketua Polis Daerah
Baling," ujarnya pada ceramah di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, malam 11
Febuari lalu.
Manakala satu sumber lagi pula memberitahu, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana
anggota polis gagal menjaga keselamatan kenderaan di bawah jagaan mereka ketika sedang
bertugas.
"Trak itu di bawah pengawasan anggota polis terutamanya pemandunya dan dia
bertanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku terhadap harta kerajaan," katanya.
Turut berada di tempat ceramah pada malam kejadian, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz
Azizan Abdul Razak, Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dan Adun Lunas, Saifuddin
Nasution Ismail.
|
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor |