|
Oleh: Hassan Karim
Ternyata sudah sekarang ini, seperti yang pernah saya bayangkan, cadangan percantuman PRM
dan Keadilan akan membawa masalah kepada Keadilan, selain masalah kepada PRM sendiri. Saya
membayangkan Keadilan akan menghadapi perpecahan, manakala PRM menghadapi keretakan
dalaman.
Saya lihat inilah yang sedang terjadi. Tidak dapat disembunyikan bahawa faksi Abim di
dalam Keadilan pada umumnya tidak bersetuju percantuman dengan PRM. Mereka berhak
berpendirian begitu. Mereka cuba menghalang percantuman itu. Mereka bertanding hampir ke
semua jawatan parti dalam Perhimpunan Agung Keadilan baru-baru ini. Strategi mereka logik.
Tidak salah di sisi amalan demokratik. Menasabah mereka bertindak begitu, walaupun
akhirnya mereka tewas.
Kumpulan yang pro-percantuman menang. Kumpulan Abim sekarang kelihatan terpinggir dalam
Keadilan. Sama seperti kumpulan yang menentang percantuman di dalam PRM. Kedua-duanya
terpinggir. Saya melihat fenomena ini satu kerugian kepada Keadilan dan juga PRM.
Keadilan telah membayar harga yang tinggi dalam usahanya untuk bergabung dengan PRM.
Pengasas-pengasas penting Keadilan yang terdiri daripada bekas aktivis dan pemimpin Abim
kini tidak lagi berperanan. Walaupun mereka terlibat membangunkan Keadilan sejak mula
sehingga menjadi Keadilan yang ada sekarang, tetapi kini mereka diketepikan. Sebabnya
kerana mereka menentang arus. Itulah politik. Sedih jika memikirkan jasa-jasa mereka
seakan tidak dikenang.
Hal yang sama juga berlaku di dalam PRM. Aktivis-aktvis PRM yang berbelas-belas tahun
malah berpuluh tahun setia bersama PRM, dalam senang dan susah; malah lebih banyak susah
dari senang; lebih banyak gagal dari berjaya, tetapi tetap setia; tiba-tiba merasa diri
mereka terpinggir dan diketepikan. Kesalahan mereka hanya satu. Sebab mereka melawan arus.
Mereka menentang percantuman PRM dengan Keadilan.
Harga tinggi percantuman
Jadi, PRM juga seperti Keadilan terpaksa membayar harga yang tinggi apabila ia begitu
bertegas mahu menjayakan percantuman dengan Keadilan. Misi percantuman itu bagi sesetengah
pemimpin di dalam PRM dianggap seolah-olah sebagai satu tugas sejarah yang perlu
dilakukan. Ahli-ahli PRM yang teragak-agak dan berbelah bagi dalam soal percantuman, juga
akhirnya, tenggelam dihanyutkan arus yang kuat mahukan percantuman.
Tidak dapat dielakkan, proses ke arah percantuman itu telah menyebabkan berlakunya
perbalahan pendapat yang panas dan sengit di dalam PRM. Wujud dua kumpulan. Satu menyokong
dan satu lagi menentang percantuman.
Hingga ke pagi hari Kongres Nasional PRM pada 15 Julai dahulu, tiada ada siapa berani
meneka tepat apakah usul percantuman akan mendapat kelulusan kongres. Sampai kepada detik
yang menentukan, akhirnya, kumpulan yang mahukan percantuman beroleh kemenangan.
Kejayaan itu didapati dengan membawa kesannya yang juga menjejaskan terhadap PRM. Beberapa
pemimpin muda dan tua, sesetengahnya pemimpin pelapis yang teruji dan berdedikasi yang
telah berkorban selama ini, yang dulunya mendukung gerakan PRM di akar umbi telah
mengambil keputusan melepaskan jawatan masing-masing di peringkat pusat dan juga negeri
serta bahagian. Masing-masing sekadar ingin menjadi ahli biasa PRM selagi PRM itu masih
wujud.
Hanya bezanya di dalam PRM, kerana amalan disiplin parti yang tertanam selama ini, dan
rasa sayangkan PRM itu agak tinggi, maka mereka yang memprotes itu, cuba mengawal perasaan
mereka dengan tidak menghebahkan perbezaan pendapat dan pendirian mereka ke pengetahuan
umum melalui media massa, khususnya akhbar perdana yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional
yang gemar melaga-lagakan sesama kerabat pembangkang.
Pengantin kepenatan
Tetapi semuanya itu telah berlalu. Semuanya kini sejarah. Sekarang, jalan sudah terbuka
bagi Keadilan dan juga PRM untuk bercantum. Mungkin usaha ini akan dicergaskan selepas
Ramadan ini. Ada pihak di kalangan Keadilan yang mahukan proses ini disegerakan dalam
tempoh tiga bulan. PRM telah membuat keputusan yang jelas dalam Kongresnya dahulu untuk
bercantum. PRM sekarang seakan pengantin yang kepenatan. Dia keletihan menunggu kerana
pengantin yang satu lagi dan Pak Imam yang hendak menikahkan, masih belum sampai.
PRM bukan sahaja sekadar sanggup bercantum dengan Keadilan menjadi sebuah parti baru, PRM
juga telah mendapat mandat untuk membubarkan parti berumur 46 tahun itu apabila sampai
masanya demi menjayakan proses percantuman itu. Demikian tinggi dan bersungguhnya komitmen
PRM. Jadi tentulah wajar kalau PRM mengharapkan komitmen yang sama di pihak Keadilan.
Barulah bertepuk dua belah tangan.
Jadi, PRM tidak ada jalan undur sekarang. Ini tanggungjawab moral. Janji dengan Keadilan
mesti dipatuhi. Apapun berlaku di dalam senario politik negara dan dunia, jalan yang ada
pada PRM hanyalah menuju ke arah percantuman dengan Keadilan. Sama ada Keadilan itu
sekarang sebuah parti yang semakin lemah kerana perpecahan dalamannya, itu bukan satu
alasan PRM tidak boleh tinggalkan Keadilan sekarang dengan membuat U-turn dan berkata,
"Oh, tak mahulah bercantum!" Keadilan telah menjadi berpecah sekarang, satu
sebabnya kerana isu percantuman dengan PRM. PRM perlu kotakan apa yang telah dikatakan.
Begitu juga, sama ada Keadilan masih relevan atau tidak, sama ada Keadilan kuat atau
lemah, PRM tidak boleh bersikap opportunistic dan mahu ketepikan Keadilan. Kecualilah jika
Keadilan sendiri yang tidak mahu meneruskan percantuman dengan PRM. Ketika itu PRM akan
mati beragan. Kepimpinannya akan hilang kewibawaan di kalangan anggotanya sendiri.
Kemungkinan itu agak jauh. Tetapi dalam politik yang tidak mungkin juga boleh berlaku. PRM
perlu bersedia.
Tiada makna tanpa Abim
Setakat ini jalan ke arah percantuman Keadilan dengan PRM agak lebih mudah akibat
kemenangan golongan yang memperjuangkan politik pelbagai kaum di dalam Keadilan sekarang.
Empat orang bekas pemimpin Keadilan yang dikaitkan dengan kumpulan Abim dan tewas dalam
pemilihan baru-baru ini, telah menolak tawaran Presiden Keadilan untuk menduduki Majlis
Tertinggi parti itu. Dengan penolakan ke atas tawaran itu, maka suara golongan yang
menentang percantuman Keadilan dengan PRM itu semakin lemah.
Tetapi golongan yang pro-percantuman di dalam Keadilan dan juga PRM tidak patut bergembira
dengan perkembangan ini. Keadilan tanpa adanya bekas pemimpin dan aktivis Abim di dalamnya
adalah satu kecacatan dan satu kerugian.
Tenaga golongan Islam di dalam Keadilan yang datang dari faksi Abim sangat penting. Jika
kumpulan Abim ini mengundurkan dirinya dari Keadilan, maka satu sektor atau faksi penting
di dalam Keadilan itu akan hilang. Keadilan sepatutnya menjadi sebuah parti massa yang
dapat menghimpunkan segala aliran politik yang progresif, berjuang bersama-sama di
dalamnya.
Golongan Abim ini juga jika terus berada di dalam Keadilan akan menjadi tenaga pengimbang
kepada kemasukan satu lagi faksi di dalam parti baru, hasil percantuman. Faksi baru itu
ialah PRM yang masih dianggap sosialis atau golongan kiri oleh sesetengah pihak.
Keadaan yang baik lagi ideal dalam parti baru hasil percantuman Keadilan dan PRM ialah
wujudnya gabungan golongan Islam progresif yang di bawa oleh Abim dan JIM (Jamaah Islah
Malaysia), dengan golongan reformis dari pelbagai NGO yang memperjuangkan isu-isu
keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia selama ini; kemudian diperkuatkan lagi dengan
adanya golongan bekas ahli-ahli Umno yang mempunyai pengalaman luas dalam politik Melayu
di akar umbi serta kehadiran golongan kiri dari PRM yang berideologi yang mendukung aliran
politik pelbagai kaum.
Sebaliknya, jika golongan Abim secara tersusun berundur dari Keadilan, maka percantuman
Keadilan dengan PRM itu tidak membawa makna. Tanpa Abim, parti baru hasil percantuman itu
nanti akan dilihat serta dituduh telah didominasi oleh PRM. Maka akan timbul fitnah dari
pihak musuh yang mentohmah bahawa Keadilan telah dikuasai oleh PRM. Keadilan yang biru
telah menjadi merah.
Jika ini berlaku, ianya amat malang dan merugikan tujuan asas mengapa percantuman kedua
parti itu perlu. Jika pihak musuh berjaya menggambarkan parti hasil percantuman itu
dikuasai oleh PRM maka stigma yang dipikul PRM selama berdekad-dekad ini akan
menggerhanakan parti baru hasil percantuman itu. Parti baru itu akan dicap kiri, sosialis,
tidak Islamik, sekular dan entah apa lagi. Nasib yang diterima oleh PRM selama ini akan
dipikul bebannya oleh parti baru percantuman itu. Ini perkara yang merugikan.
Kesatuan dalam keperlbagaian
Hanya golongan Abim yang dapat menyelamatkan supaya perkara ini tidak akan berlaku dengan
cara jangan berundur dari Keadilan, sekarang ataupun selepas percantuman (jika berlaku).
Jadi di sinilah ironisnya, dan juga dilemma yang harus diterima oleh semua pihak di dalam
Keadilan dan juga PRM. Parti baru percantuman PRM-Keadilan itu akan timpang dan tidak
seimbang jika tidak ada elemen yang kuat penyertaan golongan Abim.
Tetapi dalam masa yang sama, tidak dapat ditutup hakikat bahawa para aktivis Abim tidak
selesa dan tidak mengalu-alukan percantuman dengan PRM itu. Namun begitu, secara realistik
perlu diakui, kesatuan dalam keperlbagaian mungkin satu sumber kekuatan bagi parti baru
hasil percantuman Keadilan-PRM. Isu pokoknya ialah bagaimana hendak mengurus kepelbagaian
aliran itu supaya bersatu, bukan berpecah. Di sinilah letaknya kebijaksanaan kepimpinan
seseorang tokoh politik.
Satu alternatif baru dalam politik Malaysia hanya akan muncul jika pendukung Abim dan PRM
berserta lain-lain lajur dan jalur politik dalam Keadilan bergabung menjadi satu sintesis
yang menjanakan satu resipi baru bagi politik Malaysia.
Sebaliknya jika PRM masuk, tetapi Abim keluar, percantuman Keadilan-PRM itu tidak ada
makna. Lebih baik PRM dan Keadilan berjuang sendiri-sendirian.
Di sinilah ujian sebenar. Peranan aktivis Abim sangat penting dalam politik Malaysia.
Mereka tidak wajar dipandang sangsi dan diketepikan. Mereka perlu dipujuk supaya jangan
berundur.
Begitu juga, golongan yang menentang percantuman di dalam PRM, mereka juga jangan
diketepikan. Pendirian mereka juga jangan disangsikan.
Perjalanan ke arah percantuman Keadilan-PRM bukan sahaja berliku, tetapi banyak duri.
Banyak kaki yang telah tersusuk duri, kini merasa sakit dan pedihnya.
HASSAN KARIM ialah pemimpin PRM.
|
|
|
|