|
Oleh: S. Husin Ali
Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) keADILan yang berlangsung di Kemaman pada 9-11 haribulan
November 2001 telah tamat dengan jaya. Pemilihan pimpinan parti yang diadakan buat kali
pertama telah berjalan lancar. Para perwakilan yang hadir menunjukkan kematangan mereka
dalam pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pimpinan Pemuda dan pimpinan Wanita.
Selama hampir dua minggu sebelum MAT diadakan, media yang dikuasai BN - terutama yang
berbahasa Malaysia - mengeluarkan bermacam-macam berita dan rencana untuk menggambarkan
seolah-olah keADILan dirundung malang sangat serius. Mereka mendakwa bukan saja keADILan
berpecah, akan tetapi menghadapi usaha kuat kononnya untuk "mengABIMkan" parti
itu.
Keputusan pemilihan membuktikan dakwaan media tersebut palsu belaka. Mereka yang dipilih
ke dalam pimpinan pusat, pemuda atau wanita, bukan dari satu kelompok saja. Mereka terdiri
dari bekas UMNO, NGO, JIM bahkan ABIM juga. Mereka mencerminkan kepelbagaian yang
menggabungkan muka lama dengan muka baru, dari tokoh-tokoh Melayu, Cina serta India.
Sungguhpun tidak ramai tokoh Tionghua dan India yang terpilih, namun mereka mendapat undi
yang tinggi.
Tanda-tanda pada akhir MAT menunjukkan bahawa keADILan akan lebih mantap untuk menghadapi
tahun-tahun ke hadapan. Mereka yang bertanding tetapi tidak menang, nampaknya menerima
keputusan MAT dan berjanji akan terus memberikan sumbangan tenaga dan idea untuk
menjadikan keADILan sebuah parti pelbagai kaum yang lebih kuat bagi memperjuangkan
keadilan dan reformasi. Apa yang berlaku pasti mengecewakan media pengampu serta dalang
mereka, seperti Zainuddin Mydin, yang berharap serta berusaha agar keADILan pecah-belah
sehingga ranap.
Selain pemilihan, satu lagi perkara yang menarik perhatian para perwakilan ialah
percantuman antara keADILan dengan PRM. Perkara ini tidak tercatat dalam agenda
perhimpunan, akan tetapi ia berkali-kali timbul dalam kempen pemilihan pimpinan dan dalam
perbincangan. Dr Wan Azizah, Presiden keADILan menyentuh mengenainya dalam Ucapan Dasar
beliau. Pemuda meluluskan usul supaya proses percantuman dipercepat dan Perhimpunan
menerima usul ini.
Nyata sekali sebahagian besar perwakilan dan pimpinan dari semua peringkat yang hadir mahu
percantuman menjadi satu kenyataan.
Kita tahu bahawa kira-kira setengah tahun lalu keADILan dalam satu mesyuarat khas telah
menerima pada prinsip percantuman ini. Lebih kurang 64 peratus daripada perwakilan yang
hadir memberikan persetujuan mereka. Akan tetapi undi majoriti dua-pertiga tidak
diperolehi ketika itu untuk meminda perlembagaan keADILan sesuai dengan perkara-perkara
yang telah dipersetujui oleh jawatankuasa perunding PRM-keADILan.
PRM telah menegaskan bahawa percantuman tidak akan berlaku sebelum pindaan perlembagaan
itu diterima oleh keADILan. Kini, di bawah pimpinan yang baru
dipilih dan dengan usul yang sudah diterima, usaha akan dijalankan untuk mengadakan satu
lagi perhimpunan khas bagi meluluskan pindaan perlembagaan. Ada pihak, terutama sekali
Pemuda, yang mendesak supaya proses percantuman disegerakan dalam tempoh tiga bulan ini.
Tetapi, Presiden keADILan nampaknya tidak keberatan jikalau lambat sedikit, asalkan
selamat.
Satu lagi perkara yang muncul sebagai perkara penting, terutama berikutan MAT, ialah
mengenai kerjasama di antara parti-parti alternatif. Dalam Ucapan Dasar yang sama, Dr Wan
Azizah menyatakan rasa kesalnya DAP telah berundur dari Barisan Alternatif (BA). Beliau
mengharapkan DAP akan dapat kembali kepada BA.
Bukan satu perkara yang mudah bagi DAP berbuat demikian. Selagi pemimpin-pemimpin PAS
terus menegaskan soal negara Islam dan PAS berada dalam BA, selagi itu DAP tidak akan
dapat bersama-sama kembali dalam BA. Memang tidak adil bagi mana-mana parti cuba mendesak
supaya parti-parti lain menggugurkan dasar atau matlamat jangka panjang mereka.
DAP tidak meminta PAS menggugurkan Negara Islam, sama seperti PAS tidak menggesa DAP
menggugurkan Malaysian Malaysia sebagai matlamat perjuangan mereka. Manifesto Bersama BA -
Menuju Ke Arah Masyarakat Adil - telah diterima oleh semua parti alternatif dalam BA
sebagai asas perjuangan mereka dalam jangka pendek. Dalam manifesto ini tidak disebut
tentang Negara Islam atau Malaysian Malaysia.
KeADILan serta PRM sering menegaskan bahawa manifesto itu masih merupakan asas yang baik
bagi kerjasama. Mungkin kini, dua tahun selepas ia digubal untuk pilihanraya pada tahun
1999, terdapat beberapa kekurangan yang harus dibaiki. Malangnya, walaupun PAS telah
menerima manifesto bersama itu, beberapa orang pemimpinnya terus bercakap juga tentang
perkara-perkara yang terkeluar daripada apa yang disetujui pada jangka pendek dalam
manifesto itu.
Isu seperti Hudud dan kedudukan wanita, yang sering ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin,
tetapi tidak disebut atau tidak selari dengan dasar yang diterima dalam manifesto bersama,
menimbulkan kesulitan. Ia menimbulkan kesulitan kepadaparti komponen BA yang lain,
terutama sekali kepada DAP, yang menerima tekanan lebih kuat daripada masyarakat Cina,
khususnya MCA.
Secara peribadi saya memahami mengapa DAP terpaksa berundur dari BA, sebagaimana saya
memahami juga mengapa mereka telah berundur dari GAGASAN sebelum pilihanraya 1995 atau pun
tidak mahu menyertai Harakah Keadilan (HAK), sungguhpun ia menyertai penuh perbincangan
untuk membentuknya pada tahun 1986. Tidak ada parti politik yang ingin menyertai apa-apa
gerakan yang boleh menjadi beban kepadanya atau boleh menjejaskan sokongan kepadanya.
Namun demikian, saya menilai tinggi peranan yang telah dimainkan oleh DAP di bawah
pimpinan Sdr Lim Kit Siang untuk bersama-sama mempelopori kerjasama di antara parti-parti
pembangkang untuk menentang BN. Sebagai pemimpin yang lebih lama daripada orang lain
berkecimpung dalam arena politik di negeri ini, Kit Siang mengetahui bahawa BN tidak akan
dapat dilawan secara berkesan, melainkan semua parti pembangkang bekerjasama.
Kita semua tahu bahawa asas kerjasama itu mesti kukuh. Jikalau satu-satu deklarasi atau
manifesto disetujui, ia harus dipegang secara kukuh dan ikhlas oleh semua pihak. Sekiranya
ada perbezaan pendapat, yang boleh berlaku walaupun di antara parti sahabat, ia harus
dibincang secara dalaman dan melibatkan semua pihak dalam kerjasama itu. Secara ikhlas,
dan tidak sama sekali bertujuan untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, saya
merasakan perbezaan pandangan tentang Negara Islam, khususnya di antara PAS dan DAP, itu
tidak cukup dibincangkan dalam BA, dan sepatutnya perbincangan itu melibatkan semua parti
komponen dalam BA itu.
Sekarang DAP sudah berundur. Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa BA telah
menjadi lebih lemah. Dalam keadaan politik dunia yang berkembang selepas peristiwa 11
September, dan akibat kelemahan BA sekarang, Dr Mahathir dan BN yang dipimpinnya menjadi
bertambah kuat. Beliau mendapat kepercayaan kebanyakan orang bukan Melayu/Islam.
Kini, dengan mengumumkan Malaysia sebagai Negara Islam, memperalatkan media bagi menyebar
propaganda BN, memberi habuan kewangan kepada kakitangan kerajaan, menyekat ceramah serta
akhbar alternatif dan menggunakan ISA, beliau cuba hendak meraih sokongan orang Melayu
pula. Ada tanda-tanda beliau sedang berjaya. Keadaan hanya akan berubah sekiranya ekonomi
negara meleset sehingga menjejaskan penghidupan rakyat jelata dan perpecahan dalam UMNO,
MCA dan ketegangan dalam BN semakin genting.
Dalam keadaan ini, tidak boleh tidak semua parti di luar pemerintah hendaklah menggembleng
tenaga dan menjalin kerjasama yang kukuh supaya dapat dilihat sebagai alternatif yang
boleh tahan lama atau "viable". Sekiranya BA tidak boleh dipulihkan semula, maka
usaha yang gigih hendaklah dijalankan bagi menegak serta memupuk kerjasama dalam bentuk
yang baru bagi menghadapi BN dalam pilihanraya akan datang secara bersama.
Kerjasama ini perlu dijalinkan bukan saja di antara BA yang ada sekarang dengan DAP,
bahkan juga dengan parti-parti pembangkang yang lain di Sabah dan Sarawak. Perlu
difikirkan juga kemungkinan membawa masuk beberapa parti politik yang sudah didaftar atau
belum masih belum berdaftar lagi di Semenanjung, jikalau mereka menerima pendirian bersama
yang perlu
dibincangkan dan disetujui kelak.
Kit Siang telah menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan BA, bahkan juga dengan BN,
dalam isu-isu tertentu. Tentu lebih banyak isu yang DAP boleh bekerjasama dengan BA
daripada BN. Sudah tentu juga DAP tidak akan bekerjasama dengan BN, selagi BN menjalankan
dasar-dasar yang tidak adil serta tidak demokratik. Ini asas yang kuat bagi BA memulakan
dialog dengan DAP untuk memikirkan bentuk kerjasama yang baru. Ini perlu segera dilakukan.
KeADILan dan PRM harus merintis jalan ini.
|
|
|
|