Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
KeADILan Perlu Reformasi
 


Oleh : Wan Maris Rilaka

KeADILan satu parti yang lahir dari aspirasi rakyat berikutan kebejatan politik tahun '98. Ia dikaitkan dengan ikon politik reformasi Malaysia, iaitu Anwar Ibrahim - seorang aktivis rakyat dan gerakan Islam yang seterusnya menyertai kerajaan dan muncul sebagai antara politikus-pemikir (yang jarang ada di negara kita) yang mengutarakan gagasan politik yang berjiwa demokratik dan bersandarkan Nahdah Asia.

Dari segi ideologi, KeADILan bolehlah dianggap antara yang mendepani parti-parti politik di negara ini. Sedang hegemoni politik parti utama komponen BN masih lagi di zaman lampau dengan idea-idea rasis serta pecah dan perintah mereka. Idea parti pelbagai kaum seperti yang diperjuangkan KeADILan bukanlah idea baru di dalam sejarah politik negara. IMP hasil idea Dato' Onn yang lingkup, Gerakan dan PPP yang kurang terserlah idea pelbagai ras mereka setelah menyertai BN, DAP yang sama ada benar atau tidak punyai reputasi sebagai parti cauvinistik, PRM parti yang kurang appeal di kalangan orang ramai serta PAS yang meskipun pelbagai bangsa dari segi ideanya, tetapi hanya menerima golongan Muslim - semuanya dari segi idea adalah parti multiracial.

Ideologi yang mantap semata-mata juga tidak cukup untuk berjaya. Isu pemecatan dan ketidakadilan ke atas Anwar Ibrahim misalnya, ialah isu yang mendapat perhatian masyarakat Malaysia - tetapi sesebuah parti tidak boleh bersandarkan satu-satu tokoh semata-mata selama-lamanya. Cubaan KeADILan untuk mengikis imej parti yang sekadar memperjuangkan pembebasan Anwar hingga tidak menyebut isu Anwar langsung di Indera Kayangan pula, mengikut ramai penganalisa politik, juga satu tindakan yang tidak bijak.

Gelombang reformasi dan amarah rakyat bermula September 1998 tidak cukup untuk menjatuhkan BN tanpa pimpinan dan organisasi yang teratur dan komited. Rakyat umumnya mengetahui dosa-dosa BN amnya dan Dr. Mahathir khususnya - tetapi selagi mereka melihat pembangkang (baca: KeADILan) masih lagi terumbang-ambing dalam memainkan isu, pengundi- pengundi atas pagar mungkin akan terus memangkah dacing.

Sememangnya, KeADILan ialah parti rakyat, yang lahir hasil aspirasi rakyat. Dari aktivis-aktivis ABIM yang berperanan besar untuk menubuhkan jentera KeADILan seluruh negara di peringkat akar umbi, kepada aktivis-aktivis reformasi jalanan yang memainkan fungsi untuk memimpin ketidakpuashatian rakyat dan memanifestasikan perasaan tersebut di mata awam, dari pimpinan NGO yang menjadikan KeADILan platform memperjuangkan isu hak asasi kepada bekas-bekas ahli UMNO yang sudah muak dengan corak pimpinan parti tersebut - mereka semua menyumbang kepada KeADILan.

Mungkin kerana sifat parti sebagai rainbow coalition ini yang menjadikan pimpinan KeADILan kurang berani untuk mengambil tindakan tegas demi kebaikan parti - tetapi sebagai pemimpin mereka harus sedar dan tidak hidup di dalam awang-awangan semata-mata. Mahu tidak mahu, ada orang yang perlu kecewa, ada individu yang mesti diketepikan.

Perjuangan yang suci semata-mata, tetapi kiranya sikap kita di dalam parti tidak menerima sumbangan pihak akar umbi dan tidak mengiktiraf kritikan dan pandangan rakyat kebanyakan, matlamat kita untuk menjadi barisan pemerintah akan menemui jalan buntu. Kedengaran rungutan, yang bukannya digembar-gemburkan oleh media perdana semata-mata (yang pastinya mencari peluang untuk mencari kelemahan kita) tetapi juga oleh sumber-sumber alternatif dan independen, mengenai ketidakhirauan pucuk pimpinan (bukan kesemuanya) terhadap sentimen ahli bawahan. Walaupun KeADILan banyak mendapat sambutan daripada golongan kelas menengah, kepentingah golongan marhaen dan pekerja tidak wajar diketepikan. Seperti kata seorang rakan, "Tahun 74 dahulu Anwar tak berjuang di Damansara tetapi di Baling."

Dahulu waktu kehangatan politik '98, kelihatan cukup ramai rakyat yang turun ke jalanan dan menjerit teriakan keramat "Reformasi!" Tetapi berikutan tangkapan sebilangan aktivis parti seperti Tian Chua, Ezam Mohd Noor dan Ustaz Badrul Amin di bawah akta drakonian ISA, kelihatan seolah-olah gerakan parti telah lumpuh! Pihak pimpinan seharusnya merancang untuk melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin pelapis, khususnya dari golongan muda yang menjadi tunjang kekuatan bagi mana-mana organisasi yang mahu berjaya, agar slogan "Tangkap seorang Anwar, sepuluh lagi Anwar akan muncul" menjadi realiti.

Jentera KeADILan sewajarnya mencontohi organisasi dan persediaan PAS yang begitu mantap menjelang pilihanraya. Di dalam Pilihanraya '99 dan beberapa pilihanraya kecil, kelihatan jentera KeADILan di dalam keadaan agak kelam-kabut dan tidak bersedia. Mungkin dengan lebih masa diberikan, sebagaimana PAS mengecapi pengalaman lebih setengah abad, jentera KeADILan akan menjadi lebih jitu dan mantap. Para ahli dan pimpinan harus menjadi lebih proaktif bagi menyahut cabaran ini, apatah lagi buat persediaan Pilihanraya Umum 2004 (atau 2003? 2002?).

Faksi-faksi di dalam parti juga harus mengiktiraf falsafah penubuhan KeADILan. Ada sesetengah pihak yang terlalu terbawa-bawa untuk mendominasi KeADILan hingga mereka lupa pluralisme dan kepelbagaian ras KeADILan itu sendiri. Misalnya penolakan sesetengah pihak akan penggabungan dengan PRM atas dasar bahawa PRM punya sejarah 'merah' yang tidak Islamik. Sejarah merah atau sejarah hijau, jika matlamat perjuangan parti itu yang juga bersifat pelbagai ras dan mahu Malaysia yang lebih adil dan demokratik, apa salahnya? Bukankah atas semangat itu juga golongan progresif agama zaman Dr. Burhanuddin Helmy dahulu dapat bergabung dengan parti-parti berhaluan kiri.

BN akan terus menindas dan menekan kita. Sampai bila-bila pun dapat kita menyalahkan BN di dalam menutup peluang kita. Tetapi bukankah itu sememangnya tradisi BN dari zaman Pemuda Tahan Lasak dahulu lagi? Bukankah atas sebab tekanan BN ke atas sistem demokrasilah kita menentang BN! Sedikit-sebanyak atas dasar partisipasi kita di dalam sistem demokrasi negara, kita harus juga membaiki (Reformasi!) diri kita agar dapat mengatasi apa jua halangan yang mendatang.

Kalau kita sekadar nama sahaja KeADILan, dan mendabik dada memperjuangkan politik baru, tetapi masih bersikap seperti pimpinan UMNO dan terikat dengan kerangka politik lama, tiada gunanya. Kita bangun dahulu atas teriakan Reformasi, maka harus kita renungkan ukapan itu buat diri kita sendiri juga. Demi kebaikan Malaysia, KeADILan mesti hidup subur dan disemai erat. Jangan kita lingkupkan parti yang cukup bagus dari segi ideanya ini. Sejarah, walaubagaimanapun, membuktikan idea semata-mata, tanpa persediaan untuk menukarnya menjadi realiti, tidak kemana jua, dan pihak pragmatis-oportunis seperti BN akan terus menagih kejayaan dari kedangkalan kita!


WAN MARIS RILAKA ialah seorang penyokong Parti KeADILan Nasional yang berharap suatu hari nanti, KeADILan akan membentuk kerajaan Malaysia.

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net