Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Dosa Kita Kepada Anwar?
 



Oleh : OTHMAN MUDA



Apakah Anwar yang berdosa atau kita yang bersalah? Sememangnya menurut undang-undang mahkamah yang dikuasai sepenuhnya oleh Mahathir, apa saja sanggahan yang dibuat ke atas tuduhan tidak berasas kepada Anwar tidak dihiraukan. Hakim sentiasa memberi daleh sebagai “tidak relevan” kepada hujah-hujah peguam bela Anwar.

Maka tersiksalah Anwar sekeluarga menanggung keperitan. Kehormatan dan maruah diri serta keluarganya diinjak-injak. Para penyokong yang dulunya ramai bersama Anwar kini semakin menghilang, satu demi satu. Kalau ada pun, semangat mereka untuk terus berjuang menegakkan keadilan kian longgar. Ramai lagi yang rebah di pertengahan jalan.

Benar, lama sebelum dakwaan dikemukakan di depan mahkamah, Anwar telahpun didapati bersalah. Jadi, apalah yang kita hairankan daripada keputusan zalim itu.

Anwar telah mengorbankan kedudukan dan pangkatnya demi perjuangan menuntut reformasi yang menyeluruh. Kalau Anwar bersedia berkompromi dengan Mahathir, mengiakan apa saja kata dan titahnya, Anwar tentulah terus berada pada kedudukan yang selesa.

Keputusan cemerlang pembangkang, khususnya PAS, pada 1999, banyak bergantung kepada faktor Anwar. Rakyat bangkit dengan rasa amarah yang tidak boleh dibendung lagi. Pemecatan Anwar pada September 1998 mendefinisikan kembali percaturan politik tanahair.

Benarkah Anwar telah membawa satu bentuk budaya baru dalam politik kita? Mulanya nampak begitu. Isu-isu salahguna kuasa, penyelewengan, kroni, pilih kasih, nepotisme diperkatakan secara meluas. Begitu juga dengan isu-isu kezaliman pemerintah, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendapat tempat di hati rakyat. Isu-isu hak asasi sebelum ini amat sukar diterima rakyat sebagai isu besar dalam pilihan raya, tetapi ternyata ia cukup berbeza bagi pilihan raya 1999.

Bagaimanapun, selepas pemerintah bersikap keras dan ganas merempuh apa saja aksi-aksi politik pembangkang, seperti perhimpunan aman, demonstrasi, majlis-majlis ceramah, akhbar-akhbar alternatif, maka suasana kembali memihak kepada pemerintah. Mahathir kini dikatakan berada di kemuncak kuasa, sedangkan Anwar yang pernah menjadi pencabar utamanya kini jarang lagi diperkatakan umum.

Benarkah Anwar kini telah dilupakan, khususnya selepas aktivis reformasi terkemuka seperti Ezam, Tian Chua dikurung ISA? Suara lantang mereka kini berjaya dipatahkan. Malah bantahan terhadap penangkapan tanpa bicara ini semakin reda terutama bila ISA juga digunakan untuk menangkap aktivis-aktivis KMM (Kumpulan Mujahidin Malaysia, yang kemudiannya bertukar nama kepada Kumpulan Militan Malaysia). Tragedi 11 September dikatakan membawa perubahan baru kepada lanskap politik tanahair.

Tiada berita baru lagi tentang Anwar. Ramai orang tertanya-tanya mengenai tahap kesihatannya. Benar, bila ceramah dihalang, pemerintah berjaya memutuskan secara berkesan hubungan rakyat dengan pembangkang. Harakah pula tidak lagi berfungsi sebagai akhbar tetapi lebih berperanan sebagai “majalah dalam akhbar”. Yang boleh disampaikannya hanyalah pandangan ataupun analisis berita, sedangkan perkembangan semasa yang sepatutnya dilaporkan hanya menempati Harakahdaily yang cukup terbatas jumlah pembacanya itu.

Parti Keadilan pula dilanda gegaran dalaman sehingga menyaksikan pemilihan parti yang getir. Timbul kumpulan tertentu yang didakwa mahu menguasai parti. Ada pihak menyifatkan Keadilan seperti tidak mampu untuk melalui proses demokrasi yang matang. Sesungguhnya pemilihan kepemimpinan adalah perkara biasa yang tidak sepatutnya menimbulkan keributan yang melepasi hadnya.

Lalu, di manakah isu Anwar dalam suasana politik malap ini? Tapi, timbul pula persoalan, apakah perlu isu Anwar digilap semula bagi memancing perhatian rakyat kepada pembangkang? Apakah isu-isu sedia ada, yang lebih luas dan menyeluruh dirasakan tidak cukup untuk menarik komitmen rakyat untuk bersama pembangkang menubuhkan kerajaan alternatif?

Tapi, menurut pemerhati politik, isu Anwar merangkumi segala-galanya yang diperjuangkan pembangkang. Dalam kes Anwar terkandung soal kehakiman, pemerintahan yang baik, penentangan terhadap rasuah dan salahguna kuasa, penompokan harta kepada elit pemerintah, pincangnya sistem keadilan, profesionalisme pihak polis dipersoalkan, dan banyak lagi.

Justeru, rakyat lebih mudah faham tentang apa saja dimensi perjuangan pembangkang, jika kes Anwar dapat dibentangkan dengan baik kepada umum. Soalnya, ya, begitu banyak persoalan dalam tulisan, bagaimana mahu memecahkan kebuntuan yang ada ini, sedangkan pilihan raya umum dijangka dilangsungkan dalam tempoh tidak sampai dua tahun lagi.





 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]