Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Tiga Pemimpin Yang Menimbulkan Masalah?
 

Oleh: Ibn Sabah
1.3.2002M. 


Antara G. Bush, Mahathir Dan Misuari

 
Tiga orang manusia ini sama saja tarafnya dengan jutaan rakyat di negara mereka, mereka adalah hamba yang diciptakan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Perkasa, tiada apa-apa kelebihan mereka. Hanya sekadar menikmati nikmat 'kuasa' politik yang dipinjamkan sementara waktu. Setelah mereka diwar-warkan sebagai antara seorang pemimpin dikalangan jutaan rakyat di negara masing-masing. Tapi mereka suatu pilihan tepat bagi jutaan rakyat di Amerika, Filipina dan Malaysia. Secara kebetulan organisasi politik tempat mereka berteduh masih dipilih melalui proses demokrasi yang dikembirikan, terutama demokrasi di Malaysia benar-benar seperti binatang belaan kepada UMNO/BN.

Misuari Di Selatan Filipina

Pergolakan di Selatan Filipina sejak sekian lama tidak kunjung reda hingga ke saat ini. Isunya cukup konflik dan rumit untuk diperkatakan tentang punca atau musababnya. Apakah ia berpunca atas sebabnya bersifat isu internasional atau dalaman Filipina sahaja atau isu agama, isu keganasan, isu politik setempat atau isu perebutan kuasa. Nur Misuari adalah tokoh Islam Selatan Filipina itu dengan kumpulannya bernama MNLF atau Moro, juga seorang bekas pensyarah di negara Asia Barat sebelum kembalinya ke Filipina menjadi gabenor Wilayah Autonomi di Selatan Filipina di zaman Presiden Fidel Ramos dulu. Tapi, di zaman Presiden Filipina sekarang Aroyo Macapagal, Misuari semacam tidak diperlukan lagi dan akan diganti oleh calon gabenor baru. Misuari tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Presiden Aroyo yang tidak mencalonkan diri semula sebagai gabenor wilayah autonomi itu. Kerana kuasa Misuari sanggup berpaling tadah dan mengangkat senjata melawan kerajaan pimpinan Presiden Aroyo sehingga dia terpaksa melarikan diri ke Malaysia dan ditahan oleh polis Malaysia kerana kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

Kenapa Misuari melarikan diri meninggalkan rakyat yang dipimpinnya selama ini, sejak bergelar gabenor di Selatan Filipina dan sebelum itupun rakyat Wilayah Autonomi Mindanao menganggap dialah pemimpin sebagaimana Yasser Arafat di Palestin. Mengapa dia tidak bersama-sama pengikutnya mengangkat senjata melawan Presiden Aroyo yang tidak mencalonkannya lagi sebagai gabenor wilayah autonomi itu, kalau benar dia pemimpin sebenar sepertimana yang ditunjukkan oleh Yasser Arafat di Palestin bersama mempertahankan negara dan rakyat di bumi Palestin.

Misuari adalah pemimpin Islam di Selatan Filipina. Sejauh mana dia mengunakan diplomasi Islam dalam mentadbirkan wilayah autonomi itu ketika dia diberi peluang oleh Fidel Ramos. Kenapa tiba-tiba dia tidak lagi dipakai oleh Presiden Aroyo sekarang.

George Bush Di Amerika

Di Amerika ada George Bush yang bergelar Presiden manusia paling berkuasa di dunia, walaupun baru jadi Presiden menggantikan Bill Clinton dan di Malaysia ada Mahathir PM paling berkuasa dan paling lama berkuasa setakat ini lebih kurang 20 tahun. Tiga manusia ini bukanlah diciptakan untuk membawa keamanan dunia atau negara di mana mereka berada. Kebetulan diri mereka adalah pemimpin di negara masing-masing. Mereka ada banyak persamaan dan sedikit sahaja perbezaan dalam bab yang berkaitan politik dan kuasa. Mungkin dalam negeri G. Bush tidak seperti Mahathir yang menzalimi setiap musuh politiknya secara cukup tidak beretika dan diluar amalan demokrasi. G. Bush mempunyai rekod baik dalam politik negaranya. Ketelusan demokrasi Amerika di atas sedikit dari demokrasi di Malaysia. Tetapi diperingkat internasional G. Bush benar-benar seperti orang gila kuasa. Dengan status Amerika sebagai kuasa besar dunia dia mempergunakannya untuk mengganasi negara-negara kecil yang tidak bermaya sehingga mengheret seluruh sekutu baratnya untuk membaham dan menggayang negara umat Islam yang dicurigainya. Lihat tindakan Amerika ke atas umat Islam di negara miskin Afghanistan dengan satu alasan memburu pengganas. Sebagaimana mereka menyerang Iraq dulu juga dengan satu alasan Iraq cerobohi Kuwait. Hakikatnya, ada nawaitu jahat disebalik alasan yang tidak terbukti itu. Melainkan, hanya untuk melumpuhkan seluruh pergerakan dan kemajuan umat Islam di negara umat Islam yang sudah kembali kepada penghayatan Islam sebenar.

G. Bush macam bapanya juga suka hentam negara umat Islam, Bush dulu serangan Iraq atas alasan Iraq serang Kuwait dan api-apikan Iraq-Iran. G. Bush sekarang mewarisi perangai ganas dan pengganas bapanya dengan menghalakan serangan ganas ke atas negara umat Islam kali ini sasaran Amerika adalah Afghanistan dengan alasan Osama bin Laden berada di Afghanistan, lagi satu alasan tanpa bukti kukuh kerana kononnya Osama menjadi dalang bangunan terhebat Amerika World Trade Centre runtuh ranap dilanggar pesawat awam pada 11 September lalu, disamping merosakkan bangunan Pentagon pusat ketenteraan Amerika itu.

Tetapi dalam masa sama G. Bush membiarkan Israel mengganas terhadap umat Islam dan Arab Palestin di Asia Barat. Keganasan Israel yang jelas dan terang-terangan terhadap umat Islam dan umat Arab di Palestin tidak pula dianggap ganas dan pengganas. Osama yang sekadar dituduh sebagai dalang yang belumpun terbukti benar dianggap pengganas dan negara tempat Osama berlindung dibom hari-hari tanpa belas kasihan kepada umat Islam yang tidak berdosa apa-apa wanita, kanak-kanak dan orang tua di negara Afghanistan, negara miskin dan tempat kuasa-kuasa besar mengganas, dulu Soviet Union sebelum kehancurannya.

Mahathir di Mahligai Putrajaya

Apakah kelebihan Mahathir untuk Malaysia, padahal firasat Tuanku Abdul Rahman PM pertama Malaysia awal-awal lagi meramal dan melukiskan pelbagai keburukan dan politik 'kotor' Mahathir dengan jolokan seorang yang bersikap ultra, kaki kutuknya terhadap kepimpinan Tuanku Abdul Rahman dan bermacam lagi, sehingga dia disingkirkan dari UMNO. Ibarat kata, kalau buah luarnya atau kulitnya saja nampak baik, menyelerakan dan memikat. Tapi dalamnya Mahathir adalah manusia berpenyakit. Penyakit itu tidak ada doktor boleh mengubatinya. Apatah lagi dalam keadaan semua orang yang berada dikeliling pinggangnya jadi kaki bodek, kaki jilat, kaki ampu, tukang puja-puji melangit dan bergantung harap kepadanya, mana mungkin ada yang sanggup menegur salahlaku, keburukan, kezaliman dan penyelewengan Mahathir dalam pentadbiran dan kepimpinannya semakin menampakkan ciri-ciri kemusnahan dan riak-riak kegagalan. Kita boleh lihat bab ekonomi, kalau Mahathir seorang yang cekap dan bijak dalam kepimpinannya kenapa ekonomi negara jatuh beberapa kali 80an dan 90an, kenapa ramai korporat 'miggi' yang dibinanya lingkup termasuk anak-anaknya dan terpaksa meminta ihsan wang rakyat dan khazanah negara. Kenapa amalan rasuah bertambah menjadi-jadi dalam banyak institusi di negara ini. Sehingga meresap masuk ke dalam organisasi UMNO itu sendiri. Di mana kebijaksanaannya sebagai pemimpin yang diagung-agungkan UMNO/BN selama ini.

Dalam politik, selama Mahathir jadi PM sudah beberapa kali suara-suara politik dalaman UMNO mahu dia undur sejak tahun 1987 lagi isyarat itu dilakukan. Tetapi Mahathir masih boleh tegak dengan kuasa politiknya dengan memperkosa seluruh sistem dalam negara agar mempertahankan dirinya. Sehingga untuk dia terus bertahan sebagai Presiden UMNO dan PM sekaligus satu usul diperingkat organisasi UMNO supaya jawatan Presiden UMNO tidak dipertandingkan...tetapi ratusan pimpinan UMNO yang cerdik dan berpendidikan tinggi lebih tinggi dari Mahathir menjadi bodoh di depan seorang Mahathir. Kenapa bodoh tolol seluruh pimpinan UMNO diperingkat akar umbi sehingga mahu terus mengekalkan Mahathir. Kenapa zaman Tun Hussien Onn dulu tidak ada cadangan supaya Tun Hussien dikekalkan sebagai Presiden UMNO dan PM sehingga mati. Bab-bab lain, kalau nak diukur apakah benar kepimpinan mendatangkan lebih banyak kebaikan dan manfaat kepada rakyat terbanyak atau sekadar manfaat mereka yang berada disekeliling pinggang Mahathir sahaja. Boleh kita buat satu tesis panjang mengulas secara ilmiah untuk membongkar kelemahan-kelemahan kepimpinan Mahathir sebenarnya, disamping kehebatannya yang dibesar-besarkan oleh para pemujanya dalam UMNO/BN.

Harapkan penasihat agamanya Dr Hamid Othman jauh panggang dari api untuk memperbetulkan fikrah 'Islam' Mahathir . Yang jelas pemikiran 'Islam' Mahathir lebih banyak menyimpang dari akar umbi Islam sebenar, malah banyak yang terbabas dari rel kebenaran, dan banyak yang menghala ke arah kesesatan dan mengelirukan.

Mahathir hanya sekadar mahu menjadikan Islam, slogan dan istilah-istilah Islam yang lain sebagai satu batu loncatan bagi mempertahankan pengaruh politiknya dikalangan umat Islam. Keikhlasannya terhadap Islam sebagai addin benar-benar menimbulkan tanda tanya. Andai benar dia seorang yang faham Islam dan jujur ikhlas terhadap kesyumulan Islam dan ajaran Islam, kenapa selama ini suara-suara sumbangnya apabila memperkatakan tentang Islam sangat mendukacitakan, bahkan melukakan serta menghiris-hiris hati seluruh umat Islam.

Politik Mahathir juga adalah politik dendam, politik kuasa menggila...dengan kuasa itu dia pergunakan untuk menzalimi 'musuh' politiknya tanpa adab, etika, akhlak dan tanpa adab demokrasi. Dengan kuasa 'politik' itu juga dia membina empayar kekayaan, kemegahan, kemewahan, kronisme dan mahligai guna untuk menonjolkan diri. Semua ini mesti dipertahankan dengan apa jua cara. Dia sudah memiliki segala jenis jeneral; dari jeneral politik, ekonomi, polis, tentera, undang-undang, agama dan sub-jeneralnya ada di mana-mana institusi yang mempertahankan segala kemahuannya, dasar-dasar yang tempang selama dia jadi PM sudah lebih 20 tahun. Ada korporat tapi lingkup, malah menambah beban kepada rakyat dan kerajaan. Kepimpinan bikinan selama ini semuanya tempang. Ada pemimpin yang sudah menampakkan karisma seperti DS Anwar Ibrahim disumpah nista, diaibmalukan dan dilempar dengan pelbagai pertuduhan, akhirnya disumbat ke penjara dengan hukuman yang dipertikaikan oleh semua masyarakat dunia, hatta cicak, semut dan cengkering yang berada di Mahkamah yang mendengar kes Anwar Ibrahim yang telah dihakimi oleh dua hakim yang diperkosa itu turut meratapi nasib Anwar Ibrahim yang tidak mendapat pengadilan yang adil dari sistem kehakiman negara yang rosak dan binasa oleh tangan-tangan politik yang menggila.

Sekadar mengajak kita berfikir dalam menilai dan mencari kepimpinan sebenar. Agar kita tidak tersalah pilih lagi dalam menentukan kepimpinan politik negara pada tahun 2004 atau pilihanraya umum ke 11 nanti.

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net