Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Satu Kritikan Terhadap Pandangan Pemerintah Malaysia
Mengenai Konsep Negara Islam
 



Oleh Lokman Noor Adam

Dalam satu sidang media, selepas mengadakan ijtima’ dengan sekumpulan ulama pro-kerajaan, Dato’ Paduka Dr Hamid Othman, Penasihat Perdana Menteri Malaysia telah membuat satu kejutan apabila beliau mengumumkan keputusan ijtima’ tersebut yang mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Lebih memeranjatkan lagi, Dr Mahathir sendiri telah mengistiharkan Malaysia yang sejak merdeka dianggap sebuah negara sekular, sebagai Negara Islam. Pengistiharan ini telah banyak mengelirukan rakyat yang rata-rata telah sedia keliru dengan konsep Negara Islam sebenar. Di sini, saya akan cuba huraikan dengan serba ringkas tentang konsep Negara Islam sepertimana yang digariskan oleh beberapa orang tokoh dan sekaligus menjawab hujah-hujah yang telah digunakan oleh kerajaan untuk menjustifikasikan Malaysia sebagai Negara Islam.

Sejarah awal kewujudan pemerintahan Islam bermula apabila Rasulullah s.a.w menerima wahyu Allah s.w.t yang memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke Madinah. Di Madinahlah bermulanya satu bentuk pentadbiran ummah yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Ketika itu, Baginda memainkan peranan sebagai pemimpin negara, hakim dan sekaligus sebagai ketua turus angkatan tentera Islam. Baginda juga membentuk struktur negara dan mewujudkan perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Selain daripada melaksanakan sistem hukum Islam baginda turut menguatkan angkatan tentera dan berhadapan dengan banyak peperangan demi mempertahankan dan mengembangkan Negara Islam. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, kaum Muslimin terus menerus menegakkan Negara Islam yang dimulakan dengan Saidina Abu Bakar dan diikuti oleh Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, dan seterusnya pemerintahan kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbassiyyah dan Kerajaan Uthmaniyyah. Mereka menamakan pemimpin mereka Khalifah, Amirul Mukminin, Imam atau Sultan. Tidak seorang pun diangkat menjadi Khalifah kecuali dengan bai’at. Negara Islam ini berjalan sehingga kejatuhan kerajaan Islam terakhir di Istanbul pada 1342H/1924 Masihi.

Apabila tamatnya perang Dunia Pertama, Pasukan Bersekutu berhasil menguasai hampir semua wilayah Negara Islam. Pada tahun 1924, Daulah Uthmani telah lebur menjadi beberapa negara seperti Turki, Mesir, Iraq, Syria, Lebanon, Palestin, Timor Jordan, Yaman dan beberapa negara lain. Tuntutan kemerdekaan ketika itu berdasarkan di atas semangat kebangsaan, kenegaraan dan Islam. Terdapat juga usaha barat untuk menerapkan sistem kapitalis dalam bidang ekonomi, penerapan sistem demokrasi dalam bidang pemerintahan dan penerapan undang-undang Barat dalam bidang pentadbiran dan pengadilan. Mesir menjadi negara bersultan dan mempunyai sistem berparlimen. Lebanon dan Syria menjadi sebuah republik. Timor Jordan menggunakan sistem Amir, Palestin sistem koloni yang berakhir dengan sistem demokrasi berparlimen yang meletakkan Yahudi sebagai negara (Israil). Di Yaman ditegakkan sistem monarki, Turki menjadi Republik dan Afghanistan menjadi kerajaan dinasti (pewarisan). Penjajahan juga mendorong Iran ketika itu memegang teguh sistem kaisar dan meletakkan India sebagai Tanah Jajahan. Strategi ini berjaya menerapkan sistem Barat di dalam negeri-negeri kaum Muslimin. Di Mesir undang-undang Syara’ digantikan dengan undang-undang Perancis sejak 1883M. Sejak berhasil merobohkan Daulah Islam hingga sekarang, Barat terus berusaha menciptakan pelbagai krisis untuk mencegah pembentukan Negara Islam. Aktiviti-aktiviti mereka berpusat kepada kegiatan yang mengarah kepada perlumpuhan politik Islam dan menghalang pembentukan Negara Islam setelah keruntuhannya. Walaupun negara-negara seperti Iraq, Syria, Jordan, Palestin, dan Mesir mengiktiraf kedudukan Islam dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi, negara-negara ini masih gagal meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai Dasar Negara. Ini menjadikan negara-negara seperti ini termasuk Malaysia adalah negara umat Islam dan bukan Negara Islam.

Walaupun negara-negara ini diperintah oleh orang Islam, majoriti rakyatnya adalah umat Islam, meletakkan Islam dalam kedudukan yang istimewa sama ada secara istiadat atau ritual dan melaksanakan kegiatan membangunkan syiar-syiar Islam seperti mewujudkan Universiti Islam, Perbankan Islam, Baitulmal dan lain-lain. Negara ini masih tidak boleh dianggap Negara Islam. Negara Islam sememangnya jelas berbeza dengan negara Umat Islam. Menurut Prof. Dr Yusuf Al Qardhawi dalam bukunya Fiqh Kenegaraan (Terjemahan oleh Arsil Ibrahim, Terbitan ABIM, 1999), terdapat beberapa kriteria Negara Islam:-

1) Negara Islam adalah Negara Madani dengan Islam sebagai sumber rujukan. Negara Islam bukan negara agama atau teokrasi. Ia juga bukan negara yang dikuasai oleh pemimpin agama yang mengaku mewakili kehendak Tuhan. Hakikatnya Negara Islam merupakan negara Madani yang memerintah atas dasar-dasar Hukum Islam dan berdiri di atas bai’at dan syura. Pemimpinnya dipilih di kalangan orang yang berkelayakan, kuat memegang amanah dapat dipercayai dan berpengalaman luas. Para fuqahak meletakkan salah satu syarat bagi para pemimpin dan para hakim ialah berkemampuan untuk berijtihad.

2) Negara Islam ialah negara yang berdimensikan antarabangsa. Ia bukan negara yang berdiri di atas asas kesukuan dan perkauman. Ia tidak didirikan di atas kawasan dan sempadan geografi tertentu. Negara Islam ialah satu negara yang terbuka bagi setiap orang yang beriman kepada prinsip ajarannya secara sukarela tanpa paksaan. Ia merupakan negara berskala antarabangsa sebab ia mempunyai misi dan matlamat untuk mewujudkan kesejahteraan di seluruh dunia. Tiada perbezaan suku, bangsa atau warna kulit dalam negara Islam. Negara Islam menerima kehadiran orang bukan Islam tinggal di buminya dan melindungi mereka dengan syarat mereka menerima hukum sivil daripada syariah Islam. Mereka juga bebas beragama.

3) Negara Islam merupakan Negara Hukum. Negara Islam mempunyai prinsip-prinsip dan hukum-hakam syariah sepertimana yang terkandung di dalam Al Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Ia mencakupi seluruh aspek akidah, ibadah, muamalah, moral, hubungan antara peribadi dengan peribadi atau antara masyarakat dengan masyarakat, masalah-masalah jenayah, pentadbiran, perlembagaan dan negara. Dalam menjalankan hukum dan undang-undang itulah yang menjadi ukuran keIslaman dan bukti keimanan sesuatu negara.

4) Negara Islam diasaskan atas musyawarah dan bukan atas kuasa raja. Ia juga bukan Negara yang didirikan atas warisan turun temurun di mana kekuasaan hanya beredar pada satu dinasti sahaja tanpa mengira pewaris itu seorang yang salih atau manusia yang sesat akidahnya atau rosak mental dan moralnya. Pemimpin negara Islam disebut Khalifah. Khalifah menurut Ibn Khaldun At Tiftazani membawa maksud perwakilan yang mengatas namakan Rasulullah s.a.w dalam menjaga urusan agama, politik dan dunia dengan cara-cara yang telah dicontohkan oleh Baginda. Imam dan Khalifah adalah Ketua Negara, kita wajib menyokong dan membantunya jika ia benar dan berlaku baik. Dan kita wajib pula menyanggahnya jika ia salah dan bersikap buruk terhadap kita. Ucapan Saidina Umar bin Abd Aziz ketika dilantik sebagai Khalifah membuktikan ini : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya saya hanyalah seorang biasa seperti kamu. Tetapi Allah telah menjadikan beban dan tanggungjawab saya lebih berat daripada kamu semua”.

5) Negara Islam ialah Negara Hidayah menurut ulama besar, Abu Al Hasan Ali An Nadawi. Ia dinamakan demikian kerana sebahagian besar perhatiannya tertumpu kepada pengembangan dakwah dan penyampaian risalah Islam ke seluruh ceruk penjuru dunia. Risalah dan dakwah Islamiyyah merupakan rahmat Allah kepada seluruh manusia. Oleh itu, siapa pun tidak boleh menghalang sampainya rahmat Allah tersebut kepada hambaNya.

6) Negara Islam ialah Negara yang melindungi kaum yang lemah. Ia melindungi hak-hak kaum yang lemah melalui kewajipan zakat yang diambil dari golongan yang kaya dan diserahkan kepada orang-orang miskin. Negara Islam juga berkewajipan untuk memberikan hak anak-anak yatim, para musafir yang kehabisan bekalan dari sumber lain dan lain-lain golongan.

7) Negara Islam melindungi hak dan memberi kebebasan. Kedua-dua hal tersebut merupakan prinsip keimanan dalam Islam. Hak ini meliputi hak untuk hidup, hak untuk memiliki sesuatu, hak untuk memenuhi keperluan dan perlindungan terhadap agama, maruah diri, bersuara, hak menegur pemimpin, hak terhadap harta dan keturunan serta pelbagai hak lain. Allah menetapkan hukum-hukum yang tegas seperti qisas dan hudud untuk menjaganya.

8) Negara Islam merupakan negara yang berprinsip dan berakhlak. Negara Islam amat berdisiplin dalam menjaga prinsip-prinsip dan nilai-nilai akhlak serta tidak menyeleweng daripada prinsip tersebut. Ia bersikap demikian sama ada di dalam atau di luar negara, terhadap orang yang disukainya atau dibenci, dalam masa perang atau masa damai. Negara Islam tidak boleh bermuka-muka atau berbicara dengan dua lidah. Islam tidak membenarkan kebenaran dicapai dengan kebatinan atau kebajikan dilakukan dengan keburukan. Islam menolak teori Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.

Berdasarkan huraian di atas adalah jelas bahawa Malaysia bukanlah Negara Islam. Apabila ciri-ciri tersebut tidak dipenuhi, khususnya dalam meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai sistem perundangan tertinggi dan Khalifah sebagai pemerintah, maka tidak sempurnalah struktur negara Islam tersebut. Kerana perkara-perkara tersebut adalah asas dalam Negara Islam. Ringkasnya, menurut Al Mawardi dalam kitabnya Al Ahkam Al Sultaniyyah, terdapat empat prinsip yang perlu dimiliki oleh sebuah Negara Islam:-

1) Matlamat sebuah Negara Islam adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat sepertimana yang dijelaskan oleh Al Quran dan Sunnah.

2) Negara Islam mesti melaksanakan syariah sebagai teras sistem perundangan negara.

3) Kedaulatan terletak di tangan rakyat (umat Islam). Rakyat boleh mewujudkan sebarang bentuk kerajaan berdasarkan kedua-dua prinsip di atas bersesuaian dengan masa dan persekitaran.

4) Apa juga bentuk kerajaan yang diwujudkan, mestilah berpegang kepada prinsip perwakilan rakyat (syura), kerana kedaulatan adalah milik rakyat.


HUJAH KERAJAAN DAN JAWAPAN BALAS

Terdapat tujuh hujah utama yang telah digunakan oleh ijtima’ ulama pro-kerajaan tersebut untuk mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Hujah-hujah ini telah dihimpunkan oleh Dato’ Wan Zahidi Wan Teh dalam makalahnya yang berjudul “MALAYSIA ADALAH SEBUAH NEGARA ISLAM” yang telah diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan Malaysia. Berikut adalah hujah-hujah yang telah digunakan dan hujah balas saya terhadap hujah-hujah tersebut:-

Hujah Pertama
Menurut Sheikh Muhammad Abu Zahrah : Negara Islam (dar-al-Islam) ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, dalam makna kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam. Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap Muslim.

Hujah Kedua

Menurut Muhammad bin Hasan as Syabani, seorang ulamak dari kalangan mazhab Hanafi : Negara Islam ialah Negara yang dikuasai oleh umat Islam, dalam mana orang-orang Islam beroleh keamanan di dalamnya.

Hujah Ketiga
Menurut Imam Al Fahastani, seorang ulamak Mazhab Hanafi: Negara Islam adalah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya.

Hujah Keempat
Menurut Ibn Hajar dari mazhab Shafie: Negara Islam ialah mana-mana negara yang pernah menjadi negara Islam, status ini tidak akan hilang menurut hukum fiqh Islam selama-lamanya (sekalipun umat Islam telah dikalahkan di negara berkenaan).

Hujah Kelima
Menurut Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al Buti : Negara Islam adalah seperti yang disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat iaitu, negara atau bumi yang berada di bawah kekuasaan Umat Islam dan kedaulatan mereka, dengan umat Islam dapat mengamal Islam dengan terbuka dan mampu mempertahankan diri daripada serangan musuh.

Hujah Keenam
Menurut Al Buti lagi : Difahami daripada hukum di atas bahawa : perlaksanaan hukum syara’ bukanlah merupakan syarat bagi menentukan sesebuah Negara Islam, tetapi ia merupakan hak sesebuah Negara Islam yang menjadi tanggungjawab umat Islam melaksanakan hukum-hukum Islam dalam sebuah Negara Islam, maka kecuaian tersebut tidak menyebabkan negara berkenaan kehilangan kedudukannya sebagai Negara Islam, tetapi mereka bertanggungjawab menanggung dosanya.

Hujah Ketujuh (hujah tambahan)
Label Negara Islam lawan Negara Sekular adalah label ciptaan Barat. Islam membahagikan negara kepada tiga jenis: i) dar al Islam ii) dar al harbi (Negara kafir yang memerangi Islam) dan iii) dar al ahdi (Negara kafir yang tidak memerangi Islam).


HUJAH BALAS
Memang benar bahawa salah satu ciri Negara Islam adalah “negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam” sepertimana yang diungkapkan oleh Abu Zahrah atau “negara yang dikuasai umat Islam” sepertimana yang diungkapkan oleh As Syabani dan Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al Buti. Walau bagaimanapun sistem pemerintahan Malaysia jelas bukan sistem pemerintahan Islam. Pemerintahan Islam tidak hanya bererti kuasa politik dipegang oleh umat Islam, tetapi ianya boleh didefinisikan sebagai sebuah pemerintahan yang ditegakkan berlandaskan Al Quran dan Sunnah serta cuba memperlengkapkan pemerintahannya dengan kelapan-lapan kriteria yang digariskan oleh Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi tadi.

Malangnya, pemerintah Malaysia kini telah mengabaikan terlalu banyak tanggungjawab yang mengakibatkan ianya tidak layak untuk digelar pemerintahan Islam. Selain daripada kriteria yang digariskan oleh Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Al Mawardi, kita dapat lihat beberapa perkara lain yang menyebabkan Malaysia tidak layak diiktiraf sebagai Negara Islam:-

1) Perlantikan Perdana Menteri tidak memenuhi syarat-syarat dan kriteria perlantikan seorang Khalifah atau Imam dalam Islam.

2) Pemerintah mempergunakan Institusi Pelaksana Hukum seperti Polis, Badan Pencegah Rasuah, Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman secara rakus untuk mempertahankan kedudukan dan kuasa politik mereka.

3) Pencabulan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan menegur pemerintah dengan kewujudan pelbagai akta yang bertentangan dengan Islam seperti ISA, Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan pelbagai akta lain.

4) Pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang dengan tidak meletakkan keutamaan kepada sesuatu yang lebih penting daripada sesuatu yang kurang penting. (Tidak mengamalkan konsep Fiqh Al Awlawiyyat)

5) Kegagalan untuk mewujudkan Institusi Hisbah yang bertanggungjawab menggalakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini juga menyebabkan tiada “check and balance” khususnya dalam pentadbiran kerajaan yang mengakibatkan gejala rasuah berleluasa.

6) Menghalalkan arak dan judi melalui kelulusan lesen, kebenaran mendirikan premis perjudian atau kilang arak dan pelbagai perkara lain. Lebih menyedihkan hasil cukai judi dan arak menjadi hasil utama negara yang disimpan di Perbendaharaan Negara tanpa diasingkan, malah turut digunakan untuk membiayai kos pendidikan, perubatan, pembinaan Masjid dan sebagainya.

Sungguhpun majoriti menteri-menteri kabinet yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohammad adalah beragama Islam, apa yang ingin saya persoalkan di sini ialah, umat Islam yang bagaimana memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai pemerintah sepertimana yang dimaksudkan oleh As Syabani dan Dr. Mohammad Ramadhan. Dalam Islam, Khalifah adalah merupakan pemimpin utama ummah atau sesebuah kerajaan Islam. Umat Islam sentiasa menanggung dosa selagi mereka tidak mencurahkan seluruh tenaga dan kekuatan mereka untuk menegakkan institusi Khalifah. Kewajipan mengangkat seorang Khalifah ditetapkan oleh Kitabullah, Sunnah Rasulullah s.a.w dan ijma’ para sahabat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa mati dan belum mengetahui (mengakui/membai’at) Imam (Khalifah) pada zamannya, maka dia mati dalam keadaan jahiliah” (Hadith Riwayat Mu’awiyyah)

Mendirikan kekalifahan sama ertinya dengan mendirikan pemerintahan dan kekuasaan Islam. Berikut diperincikan kriteria perlantikan seorang Khalifah dalam Islam :-

1) Kaum muslimin hanya boleh melantik seorang Khalifah. Dalilnya, Mafhum Rasulullah s.a.w : “Jika dua orang Khalifah di bai’at, maka bunuhlah salah satunya” (Hadith Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id Al Khudri). Perintah membunuh Khalifah yang ingin mewujudkan Khalifah kedua ini adalah dilaksanakan jika Khalifah tersebut tidak boleh dicegah kecuali dibunuh.

2) Beragama Islam. Dalilnya, Firman Allah dalam Surah An Nisaa’ 4:141 yang bermaksud: “Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang mukmin”.

3) Mestilah dipilih di kalangan kaum lelaki. Dalilnya, Mafhum Rasulullah s.a.w: “Tidak beruntung sesuatu kaum yang menyerahkan urusannya (pemerintahannya) kepada wanita”.

4) Baligh dan berakal sihat. Dalilnya, Mafhum Rasulullah s.a.w: “Pena (catatan dosa) akan diangkat terhadap tiga orang iaitu dari orang yang tidur hingga ia bangun, dari anak kecil hingga baligh dan dari orang gila hingga waras”. Orang yang penanya diangkat bererti bukan mukallaf (dibebani hukum) secara syara’.

5) Adil. Syarat adil adalah syarat yang sudah lazim dan pasti bagi seseorang Khalifah. Dalilnya, Firman Allah dalam Surah At Talaq 65:2 yang bermaksud: “Persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil diantara kamu”.

6) Merdeka. Disyaratkan seseorang Khalifah itu mestilah merdeka adalah kerana seorang hamba pasti dikuasai oleh tuannya. Hamba tidak boleh mengatur urusan dirinya sendiri apatah lagi mengatur urusan orang lain.

7) Mampu memikul amanah yang diletakkan dibahunya.

Syarat-syarat sepertimana yang saya sebutkan di atas adalah tetap dan mesti dimiliki oleh seorang Khalifah berdasarkan pandangan ulama-ulama muktabar. Walau bagaimanapun, ahli-ahli Fiqh turut menggariskan sifat-sifat lain yang perlu dimiliki oleh seorang Khalifah seperti berani, berilmu, berkemampuan untuk berijtihad dan sebagainya. Institusi Khalifah diperkukuhkan dengan kewujudan Wazir (Menteri/Pembantu), Amir, dan beberapa jawatan lain. Setiap pemegang jawatan itu pula perlu memenuhi ciri-ciri dan syarat-syarat yang digariskan dalam Islam mengikut jenis jawatan masing-masing.

Jika kita teliti ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengangkat seseorang Khalifah, sudah pasti kita akan sedar bahawa pemerintah Malaysia sekarang tidak diangkat berdasarkan apa yang digariskan oleh Islam. Selain daripada kekurangan yang mereka miliki, sikap mereka terhadap Islam seperti perbuatan menghina ulama’, memperlekeh sunnah Rasulullah s.a.w dan sebagainya menyebabkan mereka hilang kelayakan untuk diangkat sebagai pemimpin dalam sistem pemerintahan Islam. Walaupun kekuatan dan pertahanan negara ini terletak di tangan umat Islam seperti diungkapkan oleh Abu Zahrah, namun kekuatan tersebut tidak digunakan untuk menguatkan apatah lagi untuk mengembangkan Islam. Segala kekuatan yang dimiliki oleh mereka hanya digunakan untuk mempertahankan kedudukan politik mereka secara tidak adil dan zalim. Hujah Abu Zahrah dan As Syabani juga tidak boleh digunakan untuk mengiktiraf Malaysia sebagai Negara Islam kerana adalah tidak benar bahawa rakyat negara ini beroleh keamanan dan keadilan yang hakiki atau bebas mengamalkan Islam secara terbuka sepertimana yang diungkapkan oleh Sa’id Ramadhan. Ini berdasarkan insiden-insiden berikut yang tidak sewajarnya berlaku dalam sebuah negara yang dilabelkan sebagai Negara Islam:-

1) Hak Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Hukum Hudud telah ditentang oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh umat Islam sendiri.

2) Hak rakyat untuk memilih pemimpin mereka tidak dihormati oleh Kerajaan Persekutuan. Ini dapat kita lihat di Terengganu iaitu, apabila rakyat menukar Kerajaan Negeri Barisan Nasional kepada Kerajaan PAS, Kerajaan Persekutuan telah menafikan hak rakyat Terengganu untuk menerima royalti minyaknya.

3) Hak Saudara Anwar Ibrahim untuk diadili secara adil oleh Mahkamah Syariah dalam menghadapi tuduhan liwat ke atasnya yang jelas merupakan kes yang boleh diklasifikasikan sebagai kes Mahkamah Syariah, telah dinafikan.

4) Kakitangan kerajaan dipaksa menandatangani akujanji supaya sentiasa taat dan setia dengan Kerajaan Barisan Nasional jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan.

5) Media massa tidak dibenarkan melapor berita secara bebas atau berkecuali. Mereka yang dilihat “neutral” atau mengkritik kerajaan digantung tugas atau dipecat terus. Kebanyakan daripada Media Eletronik dan Media Cetak pula sudah dikuasai sepenuhnya oleh pemerintah dan hanya membuat laporan yang memihak kepada mereka.

6) Dana rakyat seperti KWSP, Tabung Haji dan Tabung Warga Pencen digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pemerintah untuk menyelamatkan syarikat-syarikat besar yang dimiliki oleh suku sakat dan kroni mereka.

Dengan hujah-hujah tersebut, jelaslah bahawa terlalu banyak penyelewengan dan pengabaian tanggungjawab yang telah dilakukan oleh kerajaan yang memerintah Malaysia kini. Pemerintah seperti ini menurut Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam kriteria keempat Negara Islam yang beliau gariskan di atas, tidak wajib ditaati oleh rakyat. Malah, rakyat wajib menyanggah kerajaan tersebut.

Hujah Al Fahastani bahawa Negara Islam adalah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya juga tidak boleh digunakan dalam konteks Malaysia berdasarkan penerangan tentang pengertian pemerintahan Islam yang saya huraikan sebentar tadi. Selain daripada itu juga, telah jelas bahawa Malaysia tidak melaksanakan hukum Islam, sebaliknya hanya mewarisi sistem perundangan yang ditinggalkan oleh penjajah. Hujah Ibn Hajar juga tidak boleh digunakan memandangkan Malaysia sememangnya tidak pernah menjadi sebuah Negara Islam walaupun sebelum dijajah.

Kenyataan Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan bahawa perlaksanaan hukum syara’ bukanlah merupakan syarat bagi menentukan sesebuah Negara Islam dilihat seolah-olah bercanggah dengan apa yang digariskan oleh Prof. Dr Yusuf Al Qardhawi, Al Mawardi dan ramai ulama’-ulama’ muktabar lain. Pada pandangan saya, sebenarnya Dr. Sa’id Ramadhan mengeluarkan fatwa tersebut di dalam konteks tertentu iaitu dengan merujuk kepada situasi di zaman pemerintah Islam yang zalim dan fasik. Memang terdapat keadaan tertentu dalam sejarah Islam yang pernah menyebabkan para ulama’ terpaksa berijtihad untuk menjaga maslahah umat daripada terus ditindas oleh pemerintah. Walau bagaimanapun, pemerintah di zaman itu hanya bersifat fasik dan tidak melaksanakan hukum Allah, tetapi mereka mengiktiraf hukum tersebut. Senario di Malaysia jelas berbeza kerana pemerintah Malaysia bukan lagi di tahap fasik, malah mereka sanggup menolak hukum-hukum Allah secara terang-terangan. Ini dapat dibuktikan melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Kerajaan untuk menolak perlaksanaan hukum tersebut:-

1) “Jika Hukum Hudud dilaksanakan di Malaysia, ramai umat Islam akan kudung tangan dan umat Islam akan dipandang hina oleh bangsa lain”. (Tun Ghafar Baba, Bekas Tim. Perdana Menteri)

2) “Hudud tidak sesuai pada zaman ini dan ia akan menyebabkan umat Islam mundur”. (Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri)

3) “Undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana kita memiliki masyarakat yang berbilang kaum”. (Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri)

Kenyataan-kenyataan sedemikian rupa jauh lebih dahsyat daripada kefasikan sesetengah pemerintah Islam silam. Kefasikan pemerintah Islam silam berlaku di peringkat peribadi dan kerabatnya sahaja, tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin di atas menunjukkan sikap dan dasar kerajaan yang memerintah walaupun menyedari kenyataan-kenyataan itu boleh menjejaskan akidah mereka. Malah Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam buku Fiqh Kenegaraan (Hal. 130) menyebut; “Sesungguhnya silap jika kita menyangka bahawa kemungkaran itu hanyalah perbuatan zina atau meminum arak sahaja. Sebaliknya kemungkaran itu termasuklah mempersendakan kemuliaan umat, memanipulasi hasil pilihan raya, memberi kesaksian yang sahih dalam pilihan raya dengan memberi jawatan kepada seseorang yang bukan ahlinya, mencuri harta awam, memonopoli dan menyorokkan barang keperluan orang ramai, menghantar orang yang tidak bersalah ke dalam penjara tanpa melalui proses yang adil di mahkamah, menyiksa banduan yang tidak berdosa dalam tahanan dan tempat-tempat pengasingan, memberi atau menerima rasuah, mencari muka di hadapan para penguasa dengan cara yang batil dan memilih musuh-musuh Allah untuk menjadi pemimpin dengan meninggalkan orang-orang Mukmin yang jujur”.

Hujah terakhir yang digunakan oleh kerajaan untuk mengangkat Malaysia sebagai sebuah Negara Islam adalah begitu lemah dan membayangkan bahawa mereka sememangnya ketandusan hujah bagi menyokong dakwaan mereka. Sungguhpun ada pendapat yang mengatakan bahawa label Negara Islam lawan Negara Sekular adalah label ciptaan Barat, kita tidak boleh menafikan bahawa ramai tokoh-tokoh dan pemikir Islam yang telah lama menggunakan istilah tersebut. Antara tokoh-tokoh yang turut menggunakan label Negara Islam lawan Negara Sekular adalah seperti Al Maududi dalam bukunya “The Process of Islamic Revolution”, Syed Qutub dalam “Ma’alim Fit Tariq”, Abul Hasan Ali An Nadawi dalam “Islam And The West”, Imam Hasan Al Banna dalam “Bainal Amsi Wal Yaumi” dan Prof Dr. Yusuf Qardhawi dalam “Fatawa Al Qardhawi”.

Pembahagian negara kepada tiga jenis iaitu dar al Islam, dar al harbi dan dar al ahdi, timbul berikutan senario sosio politik sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Ketika itu hanya wujud masyarakat yang bernaung di bawah panji-panji Islam, masyarakat kafir yang menentang Islam dan masyarakat kafir yang tidak memerangi Islam serta mempunyai ikatan dengan Islam dalam bentuk perjanjian, pembayaran jizyah dan sebagainya. Menurut Prof. Abd Hamid Abu Sulaiman, Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa dalam tesis PhD beliau yang berkaitan hubungan Islam dengan Dunia Barat, pembahagian negara kepada tiga jenis ini sudah tidak sesuai untuk digunakan pada zaman moden. Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau ini kerana adalah tidak wajar untuk kita melabelkan sesebuah negara itu sebagai Negara Islam semata-mata kerana ianya bukan negara kafir yang memerangi Islam atau negara kafir yang tidak memerangi Islam. Bagi saya, Malaysia hanya layak untuk diiktiraf sebagai Negara Umat Islam kerana jelas bahawa sistem pemerintahannya tidak memenuhi ciri-ciri dan syarat-syarat yang melayakkannya diiktiraf sebagai Negara Islam.

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net