PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Pengalaman Perit Tahanan ISA

Wartawan Detik :- Saya telah ditahan pada 12.05 pagi, 24hb. April 2001 apabila keluar dari Pejabat PAS di Shah Alam selepas menghadiri satu ceramah. Saya diberitahu oleh pegawai polis yang menahan bahawa saya ditahan di bawah seksyen 73, Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 (ISA). Saya tidak diberitahu alasan penahanan saya.

Saya telah dibawa ke Balai Polis Shah Alam dan di situ saya diberi surat perintah tahanan secara rasmi atas alasan memudaratkan keselamatan Malaysia. Di sini tangan saya digari dan mata ditutup dengan ‘blind-fold’.

Kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Travers (dapat tahu semasa ‘blind-fold’ digantikan dengan ‘goggle’ yang dihitamkan) lebih kurang pada jam 2.00 pagi. Kemudian saya dibawa masuk ke dalam kenderaan lain dan dibawa ke Polis Remand Centre di Jalan Ipoh, badan saya diperiksa, diberi pakaian seragam, digari semula, dipakaikan ‘goggle’ hitam dan dibawa ke bilik kurungan.

Bilik ini kecil dan kotor, pintu masuk mempunyai tingkap bersaiz 4 x 8 untuk terima makanan dan minuman serta pengawasan pegawai bertugas, tiada tingkap, hanya ada lubang udara kecil yang ditutup zink untuk menghalang tahanan mengintai ke luar. Saluran udara tersekat, suasana sangat panas dan tersumbat. Terdapat pangkin simen yang berlapik plywood tebal sebagai tempat tidur, lampu bermentol kuning yang bernyala sepanjang malam dan bilik air yang bila mandi menyebabkan bilik itu lembap dan berbau.

Saya diberi satu baldi, timba, dua kole air minum, sehelai tuala kecil, berus gigi (dipotong separuh) ubat gigi, sabun mandi, sabun cuci buku, dua pasang pakaian biru tua dan selimut.

Saya tidak diberi bantal atau tilam pada peringkat awal, dan terpaksa berkaki ayam di dalam kawasan itu. Apabila keluar dari bilik tersebut, mata saya ditutup dan tangan digari. Saya juga tidak dibenarkan bercakap dengan pegawai bertugas. Pengawal bertugas bertukar setiap empat jam sekali.

Minggu pertama saya basuh baju sendiri dan tidak dibenarkan menjemur baju di luar. Kain tidak kering langsung dan bilik sentiasa lembap. Selepas itu baru pakaian dihantar ke dobi seminggu sekali.

Saya tidak diberi peluang bersenam sehingga sampai di Tempat Tahanan Perlindungan, Taiping iaitu lebih kurang 51 hati selepas tangkapan saya.

Saya mengalami kesusahan untuk tidur kerana lampu sentiasa menyala walaupun menelan pil tidur dan diberi kopi waktu malam.

Hari kedua ditahan baru diperiksa oleh doktor bertugas. Takanan darah saya diperiksa dan didapati tinggi sehinggakan untuk dua minggu pertama tekanan darah diperiksa setiap hari. Selepas itu saya diberi ubat, padahal sebelum ini saya tiada masalah darah tinggi dan tidak pernah makan ubat.

Saya sesungguhnya menyatakan bahawa keadaan penahanan saya adalah sangat menindas dan menekan dari segi mental dan fizikal.

Pertemuan dengan keluarga

Saya hanya dibenarkan bertemu keluarga di IPK Kuala Lumpur selepas dua minggu ditahan. Saya dibenarkan bertukar pakaian dengan mata ditutup dan tangan digari sepanjang perjalanan ke sana. Pada pertemuan itu kami diawasi oleh 3,4 orang pegawai polis. Saya diberi amaran supaya jangan berbincang pasal soal-siasat dan diarahkan menasihati isteri supaya jangan ikut ceramah atau berjumpa Suhakam.

Pertemuan dengan SUHAKAM

Saya bertemu Suhakam pada 29.5.2001dan diberitahu yang Dato’ Razak, Timbalan Pengarah ‘Special Branch’ (SB) akan hadir. Sekiranya saya tidak membuat aduan, Dato’ Razak akan mempertimbangkan pembebasan saya. Saya tidak mengadu apa-apa kerana tidak ingin mengeruhkan hubungan dengan pihak soal-siasat.

Soal-siasat [’Interrogation’]

Saya menafikan segala tuduhan-tuduhan yang terkandung di dalam kenyataan akhbar yang bertarikh 11.4.2001 tentang tangkapan 7 tahanan yang pertama. . Iaitu melibatkan saya dalam kegiatan bersifat militan dengan mengambil langkah-langkah mendapatkan bahan letupan termasuk bom dan ‘grenade launcher’, menggunakan ‘molotov cocktai’, ‘ball bearing’ serta berbagai-bagai senjata berbahaya, mendapatkan bantuan dan sokongan guru-guru silat serta mempengaruhi sebilangan bekas pegawai dan anggota keselamatan supaya menyertai gerakan mereka.

Pada 25hb. April 2001 saya dibawa bilik soal-siasat. Terdapat 5 orang pegawai soal-siasat [Interrogation Officer (IO)] termasuk ASP Jamaluddin Osman yang ditugaskan khas untuk soal-siasat tersebut dari Balai Polis Jitra berhubung dengan ceramah umum Keadilan di sana pada 14.2.2001 yang digempur oleh polis dan FRU. Selain itu ada Sarjan Mejar yang mungkin bernama Yusuf , Chief Inspektor Zafri, Sarjan Mejar Mohd Salleh, Tuan Johari dan beberapa orang lagi yang saya tidak kenal.

Tuan Johari mengarahkan saya menanggalkan semua pakaian dan berlagak seperti ‘body-builder’. Sarjan Majer Yusuf menampar dan menendang pinggang kanan saya. Nasib baik Tuan Adib melarang mereka memukul saya. IO itu kemudiannya memberi makanan yang lebih kepada saya supaya tidak membuat aduan. Soalan yang ditanya hanyalah berkenaan ucapan saya mengkritik tindakan ganas di Malau, Jalan Kebun dan tindakan bekas Ketua Polis menumbuk Anwar semasa berceramah.

Hari ketiga panahanan mereka menggugut akan menganggu keluarga saya jika tidak bekerjasama dengan mereka, jadi saya terpaksa mengikut kehendak mereka kerana takut isteri saya akan mengalami tekanan jiwa.

Kebanyakan soalan yag disoal pada hari ketiga dan tiga minggu pertama tertumpu kepada latar belakang keluarga dan teman –teman rapat saya, dan peranan saya dalam perhimpunan 5hb. November di Jalan Kebun, perhimpunan Black 14 tahun 2000, pilihanraya kecil Lunas, strategi BA dalam memenangi pilihanraya kecil Lunas, dan tentang Keadilan; pentadbiran dan kepimpinan, krisis dalaman antara JIM dan ABIM, kelemahan dan penyelewengan pemimpin, hubungan dengan DAP dan PAS, merger dengan PRM, pendirian dalam BA dan sumber kewangan. Juga siapa ‘informer’ cerita dalaman Umno, siapa perisik Keadilan dalam Umno, siapa orang Anwar dalam Umno, lawatan ke London jumpa pelajar, dan lawatan ke Indonesia jumpa pelajar, interviu televisyen dan pertemuan dengan parti-parti politik.

Mereka juga mencadang secara berulang-ulang untuk tempoh tiga minggu pertama bahawa sesetengah pemimpin Keadilan seperti Malek Hussein tidak boleh dipercayai kerana mereka adalah egen polis, supaya saya menjadi agen polis, menulis pelbagai surat termasuk kepada KDN untuk meminta maaf dan menulis keburukan pemimpin yang lain, supaya masuk Umno balik, bahawa tindakan Dr Mahathir memecat Anwar adalah wajar untuk menyelamatkan negara, Ezam berkursus dengan CIA dan ada hubungan dengan Nurul Izzah, Ustaz Badrul Amin kaki perempuan, Chua Tien Chang komunis, Saari Sungib ada agenda JIM, Hishamuddin Rais sosialis, penghasut pelajar, dan lain-lain

Mereka menyuruh saya menulis surat berkenaan supaya saya menjadi agen polis, surat kepada KDN, tindakan Dr Mahathir pecat Anwar adalah wajar, Ezam berkursus dengan CIA dan ada hubungan dengan Nurul Izzah dan Saari Subgib ada agenda JIM, dan menyuruh saya menandatanganinya atas ugutan berulang kali akan menganggu keluarga saya.

Soal-siasat dijalankan setiap hari dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang dan saya dibenarkan solat dan makan. Mereka berulang kali mengugut akan menganggu keluarga saya.

Dalam masa itu, kerana keletihan, tekanan mental dan emosi serta perasaan khuatir, saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap soalan-soalan yang ditujukan kepada saya oleh IO. Oleh itu, banyak perkara telah dirakamkan mengikut kehendak mereka. Ada juga maklumat pemyelewengan pemimpin yang diberi oleh mereka tetapi ditulis sebagai penyataan diri saya sendiri. Yang saya tulis sendiri adalah merupakan fakta-fakta pengetahuan am. Saya hanya ingin dibebaskan. Keadaan minda saya pada masa itu adalah tegang, khuatir, terganggu, dan keliru. Mereka menyoal berulang kali secara menjerit dan menekan sehingga saya mulai memberi jawapan yang mereka ingin.

Saya diberi sesalinan muka surat terakhir suatu kenyataan yang ditaip dan diarah menandatangani kenyataan tersebut. Kenyataan penuh tidak ditunjukkan kepada saya. Mereka memberi dorongan yang saya tidak perlu masuk Kamunting dan keluarga saya tidak akan diganggu. Untuk mengelak akibat sebegitu, saya telah tandatangani kenyataan tersebut tanpa mengetahui kandungannya. Saya kurang pasti tarikh saya berbuat begitu tetapi ianya setelah seminggu dua soal-siasat selesai.


Site Search
Web Search

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]