PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Di Ambang Merdeka
Oleh Ezam Mohd Nor

Di Malaysia hari ini, perjumpaan biasa di pejabat tiba-tiba menjadi "pertemuan sulit". Perhimpunan aman menjadi demonstrasi ganas, perhimpunan haram dan rusuhan. Perhimpunan aman untuk menyatakan sikap dan protes bukan perkara asing di negara ini. Malah melalui perhimpunan aman inilah pejuang-pejuang negara berjuang memerdekakan negara ini. Memetik Tan Sri Harun Hashim dalam kolum "Benchmark" yang disiarkan oleh New Straits Times pada 19 Julai 2001, "The Malays successfully used such tactics (peaceful assemblies) in their oppositon to the Malayan Union government imposed by the British which eventually gave birth to the establishment of UMNO".

Malang bagi pejuang UMNO ini apabila Presiden UMNO di Perhimpunan Agung parti itu di tahun 2001 menggelar rakyat yang berhimpun untuk menyatakan protes secara aman sebagai golongan "haprak".

Di tahun 80an, golongan yang paling aktif menganjur perhimpunan aman ialah UMNO sendiri. Dr. Mahathir hadir dan berucap di semua 17 perhimpunan seluruh negara dalam isu pindaan perlembagaan. Di dalam buku "Freedom under executive power in Malaysia" Dr Rais Yatim menulis bahawa hampir kesemua perhimpunan itu dibuat tanpa permit polis. Semenjak 1998, pehimpunan aman tiba-tiba menjadi aktiviti haram, ganas dan merbahaya.

Kononnya perhimpunan hari ini ganas dan berunsur rusuhan adalah dakwaan kosong dan karut. Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bertarikh 24 Julai 2001 jelas menunjukkan bagaimana rusuhan boleh dielakkan sekiranya polis bersikap lebih profesional. Sehingga ke hari ini polis gagal mendakwa mana-mana peserta perhimpunan atas dakwaan merusuh walaupun semenjak 1998, lebih 2000 peserta perhimpunan telah ditangkap dan didakwa. Kesemua dakwaan ke atas mereka hanya atas kesalahan menghadiri perhimpunan tanpa permit polis. Nyata dakwaan bahawa perhimpunan bermotif rusuhan dan memudaratkan keamanan dan keselamatan negara tidak berasas.

Aktiviti pilihanraya juga tiba-tiba bertukar wajah. Strategi politik dalam pilihanraya bertukar menjadi strategi kekerasan dan militan. Di Lunas, kemenangan BA adalah atas kesepaduan jentera, isu semasa, mood rakyat yang telah meluat dengan BN. Manakala kekalahan BN adalah kerana perbalahan sesama sendiri, jentera yang lemah dan isu semasa yang tidak menguntungkan mereka. Kekalahan BN memalukan kerana ianya berlaku di kubu kuat mereka selama ini dan di negeri Perdana Menteri sendiri.

Tetapi sikap Ketua Polis Negara membuat kenyataan untuk menjaga air muka parti pemerintah lebih memalukan. Dalam kenyataan akhbar beliau pada 11 April 2001 beliau menyatakan "ciri-ciri militan telah dilakukan melalui perbuatan ganas dengan mengancam, mengugut dan menakut-nakutkan para pengundi serta orang ramai." Sepanjang tempoh siasatan terhadap saya, tidak ada bukti dikemukakan untuk memperkukuh kenyataan ini. Apa yang berlaku ialah cubaan memaksa saya untuk membuat pengakuan menubuhkan satu kumpulan militan di dalam Pemuda Keadilan yang telah diberi tugas khas di dalam pilihanraya kecil Lunas. Saya menolak sama sekali dakwaan yang nyata palsu dan tidak berasas ini. Ketua Polis Negara telah berbohong kepada rakyat kerana menggambarkan melalui kenyataan akhbar itu seolah-olah ciri-ciri militan wujud dan telah dibuktikan.

Kenyataan Ketua Polis Negara kononnya kami terbabit untuk menjalankan kegiatan-kegiatan yang boleh mewujudkan ketegangan kaum melalui isu-isu keagamaan dan perkauman merupakan satu tindakan serius yang mesti dipertanggungjawabkan. Ketua Polis Negara wajib mengemukakan bukti atas dakwaan berat ini. Isu perkauman dan agama adalah taktik kotor dan jahat BN semenjak dahulu hingga sekarang.

Bukti paling jelas ialah apa-bila dalam pilihanraya umum 1990 BN dengan menggunakan akhbar milik mereka-Utusan Malaysia menyiarkan gambar muka depan Tengku Razaleigh Hamzah memakai tanjak berlambang salib. Sekarang taktik sama digunakan. Gambar calon BN dengan pakaian paderi dicetak oleh BN dan "diumpan" untuk diedarkan oleh pekerja BA.

Malang bagi BN kali ini kerana jentera BA mengarahkan poster tersebut tidak diedarkan kerana nyata ianya muslihat BN. Sekiranya diedarkan sudah tentu beberapa orang pekerja jentera BA ditangkap mengedar poster tersebut dan ianya akan menjadi berita muka depan (sama seperti gambar tengku Razaleigh di tahun 1990) untuk membuktikan bahawa BA memainkan isu agama.

Berita seperti itu akan mengalihkan pengundi bukan Islam yang menjadi undi penentu di dalam pilihanraya kecil Lunas untuk tidak memberi undi kepada calon BA. Taktik yang tidak menjadi ini digunakan juga oleh PM untuk dijadikan alasan kekalahan BN. Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi menjadi alat menyiarkan gambar tersebut di muka depan. Tiba-tiba akhbar itu menjadi juara anti-perkauman sedangkan pada tahun 1990 akhbar yang sama meniupkan api perkauman dengan gambar Tengku Razaleigh itu.

Saya juga dituduh sebagai perancang menggunakan bahan letupan bagi mengancam nyawa pemimpin tertentu negara dengan bantuan pihak gerila pemisah dari negara jiran.Tuduhan berat seperti ini seharusnya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Dakwaan ini tidak mengejutkan saya kerana ianya pernah berlaku sebelum ini. Pada 13 April 2000, saya ditahan sebaik selesai solat Jumaat di sebuah masjid di Sungai Petani. Dua hari selepas itu saya dibawa ke mahkamah majistret Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah lanjutan tahanan reman ke atas saya. Di dalam kenyataan pegawai polis di dalam mahkamah tersebut, saya perlu ditahan beberapa hari lagi kerana saya seorang yang merbahaya dan mengancam keselamatan negara. Beliau mendakwa kononnya polis mempunyai bukti bahawa rancangan dibuat untuk menggunakan molotov cocktail dan berkomplot dengan pasukan silat Melayu dan kumpulan samseng Cina untuk bertempur dengan polis. Beratus bilah parang juga telah dijumpai.Tahanan reman saya dilanjutkan 7 hari lagi.

Dalam tempoh tersebut tidak ada satu soalan pun diajukan kepada saya berhubung dengan dakwaan polis itu. Selepas 7 hari ditahan, saya dibawa ke mahkamah yang sama dan didakwa atas kesalahan berucap tanpa permit di Kampung Pasir Kuala Lumpur. Cerita molotov coktail, kumpulan silat, samseng Cina dan perang lenyap sama sekali. Apa pun matlamat polis, ia telah tercapai apabila kisah molotov cocktail disiarkan di muka depan Utusan Malaysia sementara dakwaan terhadap saya yang langsung tidak berkaitan tidak diberitakan sama sekali.

Kali ini taktik yang sama digunakan, malah kenyataan akhbar Ketua Polis Negara 11 April 2001 tiada bezanya dengan kenyataan pegawai polis di mahkamah pada 15 April 2000. Cerita yang sama diulang setelah setahun dan anehnya selama setahun itu tidak ada satu bukti pun yang diperolehi untuk membuat dakwaan di mahkamah.Tuduhan ini sebenarnya hanya memperjelas motif politik mereka untuk mencemar imej saya sebagai seorang ahli politik.

Saya bukan ancaman kepada keselamatan negara. Ancaman sebenarnya berpunca daripada sikap segolongan pemerintah yang rasuah, yang "hilang budi akal kerana harta telah banyak" - seperti dinukilkan di dalam sejarah Melayu. Ibn Khaldun menyebutnya sebagai "masalah keinginan golongan penguasa untuk hidup mewah" manakala pembaru besar China, Wang An Shih menggambarkannya sebagai sifat manusia yang durjana dan undang-undang yang lemah.

Karya pujangga-pujangga besar ini dan kisah pejuang-pejuang hebat seperti Mandela, Rizal, Havel dan ramai lagi hanya memperkukuh keyakinan sedia ada.Keyakinan sebenar dari pengalaman saya sendiri, melihat dengan mata saya sendiri "pergelutan" antara kelompok yang rakus kuasa dengan mereka yang masih mempertahankan prinsip amanah dan pertanggungjawaban.

Anwar Ibrahim dan ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan bergelut untuk mempertahankan khazanah negara dan rakyat dari terus digeledah oleh pemimpin yang sudah hilang "budi akal kerana harta".

Semakin hari semakin ramai rakyat yang faham dan berkongsi dengan keyakinan ini. Hari ini kisah MAS, Renong, MRCB, Tabung Haji, KWSP, Time dotcom menarik perhatian rakyat di kota mahu pun di desa. Protes rakyat dapat dirasai di mana-mana. Dari kota besar ke desa, dari sekolah ke universiti, dari surau ke masjid, pejabat swasta ke pejabat kerajaan, warung kopi ke "coffee house", malah dari lokap polis ke Kem Tahanan Kemunting ini pun protes rakyat dapat dirasai.

Pemerintah semakin gelabah. Pelbagai peraturan baru dicipta di universiti, sekolah, pejabat kerajaan, surau, masjid, hatta di mana-mana sahaja kerana protes dirasai di mana-mana. Hak parti pembangkang dicabut satu persatu. Ceramah politik langsung tidak dibenarkan. Pemimpin dan keluarga dihambat ke lokap dan didakwa. Bagi pemerintah, kekerasan akan memudarkan kesedaran. Mereka lupa Gandhi pernah menyatakan "Repression would steady the brave and stir the conscience of the fence-sitters".

Izinkan saya mengungkap kata-kata sasterawan negara, Usman Awang untuk renungan kita bersama.

"Pada tahun 50an, kita berani kerana ramai yang berani, sehingga ke penjara sekalipun, untuk mempertahankan prinsip dan kepercayaan mereka. Musuh kita pada masa itu adalah penjajah dan mereka berada jauh dari kita. Hari ini musuh kita hanya di sebelah rumah kita. Mereka yang menekan kita adalah dari kalangan kita sendiri. Apakah kita punya keberanian untuk menyatakan kebenaran kepada orang kita sendiri. Ada di kalangan kita yang rapat dengan menteri, malah Perdana Menteri sendiri, adakah kita mampu menyampaikan kebenaran kepada mereka? Inilah cabaran hari ini."

Al-Quran sentiasa membawa pengajaran bermakna. Di dalam Surah Al-Baqarah: ayat 258 dikhabarkan kisah pertem-bungan antara nabi Ibrahim dan Raja Namrud. Hamka, ulama ulung rantau ini, di dalam tafsir Al-Azhar karangannya menukil-kan huraian yang amat bermakna di dalam mentafsir ayat ini.

"Apa salah Ibrahim? Tidak ada, cuma dia tidak berkuasa, yang salah dan zalim Namrud, tetapi dia berkuasa."

Kisah tersebut tidak terhenti di situ. Apabila pertolongan Allah tiba, "kebenaran muncul dan kezaliman hancur, walaupun penzalim berkuasa, kerana kuasa Allah mengatasi segalanya.Ó Semoga Allah sentiasa memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua.

Mohamad Ezam Mohd Nor
ATP 2503,
Kem Tahanan Kamunting
30 Ogos 2001


Site Search
Web Search

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]