PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Negeri Selangor
 

  • Nadi Pemuda Di Jiwa Rakyat

    Pemuda Keadilan terus berada di gelanggang rakyat dengan langkah berani dan menyakinkan. Impian pemerintah untuk melihat Pemuda Keadilan lemah dan tidak bermaya hancur berkecai. Penahanan saya dan teman-teman dibuat atas niat untuk mematahkan semangat dana gerakan Pemuda.

    Gerak langkah Pemuda menghantui pemerintah zalim dan rasuah. Bermula dengan sumpah keramat I. Sehinggalah Gerakan Selamatkan Wang Rakyat, Pemuda Keadilan bersama rakan-rakan Pemuda PAS, DAP dan PRM menjelajah seluruh negara bersama-sama rakyat mencipta arus perubahan membina negara yang bersih dari rasuah dan penyelewengan penguasa. Penampilan Pemuda BA menyakinkan rakyat. Agenda Pemuda menjadi agenda rakyat. Gerak Pemuda menjadi gerak rakyat.

    Keazaman dan cita-cita Pemuda menjadi tunggak keazaman dan cita-cita rakyat. Sambutan luar biasa rakyat membimbangkan mereka. Si pemerintah semakin tertekan, ekonomi semakin tenat, rasuah dan penyelewangan semakin nyata, rakyat semakin ramai bersuara maka jalan terakhir terpaksa diambil - menggunakan ISA untuk mematahkan semangat dan gerakan pembelaan rakyat ini.

    Mereka menyangka saya dan teman-teman adalah nadi Pemuda. Menahan kami bermakna mematikan Pemuda. Mereka gagal melihat bahawa Pemuda BA adalah gerakan rakyat. Nadi Pemuda terletak di jiwa rakyat. Selagi ada jiwa rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan di bumi bertuah ini, selagi itulah nadi Pemuda akan terus berdenyut.

    Pemuda menjelajah kali ini untuk membela saya dan teman-teman. Saya menghargai semangat setiakawan sahabat-sahabat. Selama ini pun kami terus segar dengan berkat doa dan semangat juang sahabat-sahabat dan seluruh pendokong yang tidak pernah padam. Dalam masa yang sama Pemuda harus terus membela rakyat. Dalam masa kami dibela, jutaan jiwa rakyat yang menderita juga harus terus dibela.

    Masih segar dalam ingatan saya wajah-wajah yang saya sempat temui pada malam terakhir sebelum saya ditahan. Pada malam tersebut saya bersama saudara Mahfuz dan pimpinan Pemuda BA Pahang berada di kawasan FELDA di Rompin, Pahang. Masih terdengar sayu di telinga saya kisah-kisah kepayahan dan penderitaan mereka menghadapi masalah hidup akibat kejatuhan harga sawit yang cukup membebankan diri mereka dan keluarga.

    Mereka perlukan pembelaan Pemuda. Pemuda mesti terus bergerak membela rakyat yagn perlu dibela. Peneroka FELDA, penanam kelapa, pekebun kecil getah, padi kesemuanya menanggung beban yang amat berat. Bukan sekadar di desa, di kota juga terdapat ribuan keluarga dalam kepayahan setelah kehilangan mata pencarian akibat kilang lingkup dan ditutup.

    Dalam suasana rakyat di kota dan di desa berhempas pulas menanggung beban yang semakin berat, si pemerintah membebel berhari-hari memarahi rakyat agar jangan lupa! Kali ini giliran bangsa Melayu disergah. Hanya kerana bangsa ini tidak mengundi UMNO seperti selalunya pada pilihanraya umum lalu.

    Apakah orang Melayu tidak mengundi UMNO kerana mereka sudah lupa atau kerana mahu mengingatkan pemimpin Melayu yang sudah lupa? Sejarah bangsa Melayu dan bangsa, bah kan di seluruh dunia sering membawa kisah kejatuhan dan kehancuran tamadun gara-gara pemerintah yang lupa. Pemerintah yang berkuasa lupa daratan, rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Mereka bukan sekadar lupa tapi pantang diingatkan.

    Siapa yang menegur dicap pengkhianat dan penderhaka! Mengingatkan pemerintah adalah dosa paling besar. Dosa Anwar Ibrahim ialah kerana beliau cuba mengingatkan pemimpin tua yang sudah lupa ini. Apabila khazanah rakyat mahu dipunggah untuk selamatkan anak-anak beliau dan kroninya, Anwar mengingatkan tentang persoalan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Ingatan Anwar merupakan satu penderhakaan. Nabi Musa juga dihambat kerana memberi ingatan kepada Sang Firaun. Maka mengamuklah Firaun mahu menghancurkan Musa dan bangsanya.

    Mahathir mengimbau sejarah perjuangan bangsa silam untuk kononnya mengingatkan rakyat. Malayan Union tumbang bukan dengan semangat pemimpin rasuah. Penjajah tunduk dengan semangat dan protes pemimpin dan rakyat yang ikhlas dan jujur kepada bangsanya. Hari ini rakyat yang ikhlas dan jujur kepada bangsa dan negaranya bangkit dan protes. Protes berlaku di mana-mana hari ini, bukan sekadar di jalanraya, protes lebih hebat berlaku di Bursa Saham, protes berlaku di masjid-masjid, surau-surau dan tempat ibadat agama lain, protes berlaku dari tadika sehinggalah ke menara gading, protes berlaku di kota dan di desa.

    Protes jelas kelihatan di pejabat swasta dan jabatan kerajaan. Malahan di lokap polis dan di dalam Pusat Tahanan Kamunting ini pun kami dapat merasakan bahang protes rakyat. Mengapa Mahathir tidak mahu mengulas suasana protes ini? Mengapa yang digembar-gemburkan hanya protes di jalanan? Berjela-jela beliau memaki-hamun rakyat yang berhimpun secara aman. Rakyat digelar haprak dan bodoh kerana menyusahkan orang ramai kononnya. Maka haprak dan bodohlah pejuang kemerdekaan dan rakyat yang berhimpun secara aman menentang Malayan Union.

    Di dalam ucapan dasar sebagai seorang presiden parti, beliau sanggup berbohong kononnya ada pemimpin Reformasi mencari sokongan dari luar negara untuk mencetuskan huru-hara. Saya tahu beliau merujuk kepada saya. Mengapa takut untuk berterus-terang memang saya akui saya ada menemui pemimpin sebuah negara jiran. Saya ke sana memenuhi undangan mereka untuk berbincang persoalan umat Islam rantau ini.

    Saya tidak ke sana meminta bantuan, saya diundang untuk menyampaikan pandangan. Usaha mencetuskan huru-hara langsung tidak dibincangkan. Samada dari pihak saya atau pun mereka. Saya tahu tokoh-tokoh ini berjumpa Mahathir selepas itu atas niat dan cita-cita yang sama. Mengapa Mahathir sanggup berbohong?

    Menggambarkan negara di ambang bahaya huru-hara. Persoalannya bukan huru-hara, persoalan sebenar adalah masalah kepimpinan yang sudah hilang wibawa. Protes yang berlaku di segenap lapisan masyarakat hari ini bukan ke arah negara huru-hara. Protes tersebut adalah manifestasi kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan rasuah dn menyeleweng. Pemimpin yang sedar dan bertanggungjawab selamanya melihat dan mendengar protes ini dari dekat dengan hati yang terbuka dan lakukan perubahan.

    Inilah harapan rakyat khususnya orang Melayu yang tidak mengundi UMNO pada pilihanraya umum 99 yang lalu. Mereka tidak lupa. Mereka mahu mengingatkan pemimpin yang sudah lupa.

    Saya yakin suara dan protes rakyat ini tidak akan pudar dengan sergahan seorang pemimpin tua yang sudah hilang wibawanya. Beliau boleh terus terluka, usaha menangis, bermadah dan menyergah tetapi saya yakin rakyat tidak akan berganjak. Semangat juang anak-anak muda juga semakin kukuh. Penahanan saya dan teman-teman memberi rangsangan baru kepada mereka. Saya dapat merasakan gerakan disusun mantap di dalam dan di luar parti, di dalam dan di luar negara. Semangat adik-adik pejuang-pejuang muda di kampus dalam dan luar negara sungguh mengkagumkan. Mereka bangkit kerana mereka melihat perjuangan hari ini, sebagai titik tolak kelangsungan (survival) generasi mereka.

    Akta ISA adalah perangkap usang yang tidak dapat diterima sama-sekali oleh generasi ini. Saya juga sedang berhadapan dengan Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi. Dua lagi akta yang mencengkam hak rakyat yang merdeka hanya untuk melindungi kelompok berkuasa yang rasuah dan menyalahguna kuasa. Saya tidak akan berganjak walau pun seinci. Dari balik pagar berduri Kamunting in saya dan teman-teman terus berjuang dengan semangat kental dan tabah kerana kami yakin hari esok adalah milik kita, milik rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan

  •  
  • ORGANISASI

  • BIRO PEMUDA

  • AKTIVITI

  • AGENDA PEMUDA

  • CERAMAH

  • [ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Hantar ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

    Copyright 2001 Pemuda keADILan Selangor.
    Make your own free website on Tripod.com