PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Latar Belakang Lokman Adam

Lokman Noor bin Haji Adam, dilahirkan pada 1 Januari 1973 di Batu Pahat, Johor. Berusia 28 tahun, dilahirkan dalam sebuah keluarga aktivis belia dan UMNO. Ayah beliau Tn. Haji Adam bin Haji Ali adalah seorang ahli perniagaan dan ahli politik manakala ibunya, Puan Rosnah Zakaria adalah pesara pembantu tadbir sekolah. Lokman mempunyai 3 orang adik lelaki dan 3 orang adik perempuan. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Noor Farahin Ahmat pada 29 Oktober 1997 dan telah dikurniakan dua orang putera kesayangan mereka. Yang pertama bernama Muhammad Amirul Islah yang dilahirkan pada 17 Februari 1999 dan putera yang kedua bernama Muhammad Amirul Izzat yang dilahirkan pada 24 April 2000.

Beliau telah mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Tengku Mahmud II, Kluang dari tahun 1981-1983 dan kemudiannya di Sekolah Rendah Monfort dari tahun 1984-1985. Beliau mendapat pendidikan menengah rendahnya di Sekolah Tinggi Batu Pahat dari tahun 1986-1988 dan menyambung pendidikannya dalam Tingkatan 4 hingga 6 Rendah di Sekolah Tinggi Kluang dari tahun 1987-1991. Sejak di bangku sekolah lagi beliau aktif dalam aktiviti sukan, persatuan dan sosial. Beliau merupakan pemain hoki dan ragbi dan pernah mewakili Negeri Johor dalam Acara Ragbi selama 6 tahun dari 1991-1996 untuk kejohanan Piala Agong, Bawah 23 kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA). Beliau adalah ahli pengakap sejak dari sekolah rendah dan menyertai Pasukan Kadet Bersatu Malaysia semasa berada di sekolah menengah. Beliau merupakan Pengawas sekolah sejak di Tingkatan 4 dan Pengerusi Biro Disiplin Pengawas sewaktu di Tingkatan 6 rendah. Sebelum sempat ditabalkan sebagai Ketua Pengawas beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di Institut Teknologi Mara, Sri Manjung, Perak. Beliau mengikuti kursus Diploma Sains Kesetiausahaan selama 3 tahun dari tahun 1992-1994. Di sinilah beliau bertemu dengan isterinya yang juga melanjutkan pelajarannya dalam bidang yang sama.

Keaktifan beliau dalam bidang sukan dan berpersatuan telah diteruskan dan beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai Presiden Kolej pada tahun 1993 dan Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bagi sessi 1993-1994.

Pada tahun 1998 beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Heriot Watt University, UK secara pengajian jarak jauh di Malaysian Institute of Training and Development. Pengajian beliau tersekat akibat peristiwa pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sehingga terpaksa mengambil peperiksaan pertamanya sewaktu di tahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Penglibatan beliau dalam bidang aktiviti kemasyarakatan dan politik bermula sejak kecil lagi. Selain daripada mengikut akitiviti politik bapanya, beliau juga aktif dalam Rukun Tetangga dan merupakan Pengerusi Jiran Muda Bandar Kluang pada tahun 1989-1991.

Apabila beliau genap 18 tahun beliau telah menyertai UMNO dan diamanahkan sebagai Naib Ketua dan seterusnya Ketua Pemuda Cawangan Taman Kluang dari 1991-1997. Pada tahun 1996 beliau telah memulakan penglibatannya yang aktif di peringkat Nasional apabila dilantik sebagai Setiausa Majlis Kebudayaan dan Kesenian Pemuda UMNO Malaysia dan ahli jawatankuasa bagi Majlis Pembangunan Luar Bandar serta Majlis Sains dan Teknologi Pemuda UMNO Malaysia. Pada awal tahun 1998 beliau telah dilantik sebagai Pengurus Operasi Projek Tunas Bestari iaitu sebuah program pendidikan di bawah Pemuda UMNO Malaysia yang beribu pejabat di PWTC.

Selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 beliau bersama 9 yang lain telah turut dipecat pada 6 Oktober pada tahun yang sama sebagai ahli UMNO. Pemecatan beliau adalah akibat penglibatannya secara aktif menentang pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sejak pemecatan DSAI beliau telah terlibat secara aktif dalam Gerakan Reformasi yang dilancarkan pada 12 September 1998 sehingga beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 59 hari dari 21 Oktober – 18 Disember 1998. Sebaik sahaja dibebaskan beliau meneruskan perjuangannya melalui ADIL iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan oleh Datin Seri Wan Azizah, isteri kepada DSAI.

Apabila Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dilancar pada 4 April 1999, beliau telah diamanahkan sebagai Ketua Pemuda Keadilan Negeri Johor. Dalam pilihanraya 1999 beliau telah bertanding di kawasan Parlimen Tenggara menentang Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein.

Pada bulan Mac 2000, beliau telah berhijrah ke Selangor untuk menumpukan perhatian di peringkat pusat. Di Selangor beliau telah diamanahkan sebagai Ketua Pemuda Subang dan Timbalan Ketua Pemuda Selangor. Selepas penghijrahan tersebut, beliau bertugas sepenuh masa sebagai Setiausaha Eksekutif Pemuda Keadilan Malaysia dan dilantik sebagai Setiausaha Pemuda Keadilan Malaysia pada tahun 2000 hingga kini. Pada penghujung dalam bulan Februari 2001 beliau telah dilantik oleh Majlis Pimpinan Pemuda BA sebagai Setiausaha Pemudanya.

Sejak menyertai Gerakan Reformasi, Lokman memainkan peranan penting dalam pentadbiran Pemuda Keadilan, melalui road-show, ceramah umum dan program-program pemuda (kempen hak asasi manusia, menentang rasuah dan amalan kronisme, dll) yang lain terutamanya dalam penganjuran perhimpunan aman dan beliau telah menghadapi 3 pendakwaan di atas tuduhan perhimpunan haram dan telah kerap dilokap oleh pihak penguasa. Namun beliau tetap meneruskan perjuangannya menegakkan hak dan menentang ketidakadilan sehingga membawa kepada penangkapan keduanya di bawah Akta ISA pada 24 April 2001. Pada 13 Jun 2001, beliau telah menerima perintah tahanan selama 2 tahun di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, Perak.

Site Search
Web Search

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]