PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Mengenang Ulangtahun Ketiga Anwar Tidak Bersama Kita:
Jika Anwar Diberi Peluang Memerintah
Oleh : KHOO BOO TEIK

Tiada orang yang akan berasa gembira apabila dipenjarakan. Begitu jugalah dengan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga menghidapi sakit di bahagian belakang badan, sakit leher, dan mungkin berasa tertekan dengan berita beberapa pemimpin KeADILan ditangkap di bawah ISA, tanpa dibicarakan.

Bagaimanapun, biar dari dalam penjara, Anwar mengetahui bahawa kesalahan yang dikenakan ke atasnya dan hukuman penjara yang dijalani selama 15 tahun, tidak mudah membuatkan orang lupa terhadap kisahnya. Hukuman itu juga dilihat gagal merendahkan reputasinya.

Namun apa yang berlaku di sebaliknya, Umno yang kini dipimpin Mahathir mengalami kejutan dan pengalaman pahit. Bagi majoriti orang Melayu, Umno sedang mengalami kelesuan dan gagal menangani isu Anwar sebaiknya. Dalam perkembangan terbaru, krisis Mahathir-Daim membuatkan amalan berpuak-puak dalam Umno makin jelas dan sukar diselesaikan. Ramai yang tertanya-tanya, siapa duduk di kem siapa dalam Umno?

Anwar juga mengetahui bahawa Barisan Alternatif perlu terus terancang dalam tindakannya, dan mengemaskinikan pergerakannya. DAP dan PAS nampaknya terjerat dalam isu yang belum sesuai dibincangkan seperti isu penubuhan Negara Islam. (DAP kemudiannya mengumumkan telah keluar dari pakatan BA ekoran isu Negara Islam – penterjemah).

Kekalahan KeADILan di Likas selepas kemenangan di Lunas patut membuatkan parti itu lebih berhati-hati, dan mengingatkan mereka bahawa masih banyak kerja pemantapan perlu dilakukan sebelum mereka berfikir untuk mengembangkan sayap ke Sabah, sebagaimana Umno mengembangkan sayapnya ke sana.

Lebih daripada itu, KeADILan perlu menambah perhatian terhadap usaha penyatuannya dengan PRM, yang dilihat berkesan dalam usaha menguatkan parti itu.

Kembalinya Anwar?

Sejak 36 bulan lalu, politik Malaysia berada dalam keadaan yang tidak menentu setelah melalui sejarah dan peristiwa yang sukar dilupakan. “Anwar, apakah anda tidak membayangkan bahawa terdapat kemungkinan politik Malaysia akan kembali berada di bawah kendalian anda?”

Saya yakin bahawa ramai rakyat Malaysia berfikir akan kemungkinan kembalinya Anwar ke dalam politik Malaysia, biarpun tidak terdapat perbincangan terbuka mengenainya. Ramai daripada kita tertanya-tanya, apakah jika Anwar dibebaskan, dia akan kembali menyertai Umno, dengan alasan untuk mengembalikan “perpaduan Melayu”, dan kembali membina pengaruh Umno dan Mahathir yang merosot teruk. Pandangan ini tidaklah boleh dipandang ringan.

Bagaimanapun dalam keadaan politik gawat begini, banyak andaian yang boleh dilakukan. Ada yang berpendapat, jika Anwar kembali semula ke arena politik dan mahu merubah iklim politik Malaysia, apakah dia akan melakukan lebih baik daripada “Anwar dulu”.

Dulu dan akan datang

Oleh kerana kita tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku di masa depan jika Anwar kembali berpolitik, barangkali kita boleh menjangkakan sesuatu dengan meneliti apa yang pernah dilakukan Anwar sebelum ini.

Selama 30 tahun berkecimpung sebagai aktivis sosial dan ahli politik, Anwar bolehlah disifatkan telah melalui empat fasa. Dalam fasa pertama sekitar penghujung tahun 60an, Anwar merupakan pelajar di Universiti Malaya. Dia memimpin Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam (PKPIM). Aktiviti-aktiviti beliau dalam Persatuan Bahasa Melayu berjaya menarik perhatian beberapa ahli politik termasuk Mahathir (yang kadang kala dikenali sebagai nasionalis Melayu dan kadang kala dikenali “lebih Melayu dari Melayu”- ultra nasionalis).

Fasa kedua, ialah apabila Anwar memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) pada sekitar tahun 1970an, dan berjaya menjadikan pertubuhan itu berpengaruh dalam kebangkitan Islam di Malaysia, terutama di kalangan anak-anak muda.

Fasa ketiga dan paling lama dilalui Anwar, adalah berada dalam Umno dan kerajaan. Antara tahun 1982 hingga 1998, Anwar berjaya diberikan imej sebagai pengganti Mahathir, setelah rejim itu berjaya menarik Anwar ke dalam Umno dan memberi laluan mudah kepada beliau untuk meningkat naik dalam politik. Kejayaan yang dicapai Anwar mengejutkan dan dicemburui ramai saingan politiknya dalam parti.

Fasa berikutnya adalah apa yang dilaluinya masa kini, iaitu selepas 2 September 1998, apabila Anwar dilihat sebagai ikon Reformasi. Apakah yang dapat ditafsirkan daripada perjalanan hidup Anwar yang sedemikian rupa?

“Anti-Establishment”

Apa yang paling jelas ditafsirkan daripada sejarah Anwar, bahawa dia adalah seorang yang bersifat anti-establishment, berdasarkan kepada tiga daripada empat fasa kehidupan yang dilalui. Dia adalah orang yang tidak bersetuju dengan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969, tidak bersetuju dengan Barisan Nasional sekitar tahun 70-an, dan anti-Umno selepas September 1998. Hanya ketika berada dalam Umno dan kerajaan, dia merupakan orang yang bersetuju dengan establishment.

Komitmen ideologi atau sebab-sebab tidak bersetuju beliau terhadap establishment dilihat berbagai-bagai. Sikap nasionalisme Melayunya sekitar tahun 60an dikaitkan dengan isu bahasa kebangsaan dan isu-isu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Adalah satu fakta yang jelas bahawa Anwar yang mengenali Mahathir pada waktu itu pernah membaca deraf buku Malay Dilemma yang ditulis Mahathir sebelum ia diterbitkan dan menjadi kontroversi.

Sekitar tahun 1970-an, komitmen Islam Anwar dilihat melalui aktiviti-aktiviti Sekolah Yayasan Anda yang banyak membantu pelajar Melayu-Muslim dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana melanjutkan pelajaran. Anwar juga berpengaruh di kalangan kegiatan pelajar Islam di dalam dan di luar negara. Akhirnya dasar-dasar Islam menjadi sandaran Anwar untuk menegur kerajaan dan dasar-dasar yang dilaksanakan.

Sikap dan pandangan Anwar terhadap kemiskinan, pengagihan kekayaan yang tidak seimbang, kemuduran masyarakat membuatkan beliau terlibat dalam tunjuk perasaan di Baling dan akhirnya ditahan di bawah ISA di Kamunting.

Di antara 2 September (hari dia dipecat) dan 20 September (dia ditangkap), Anwar mengilhamkan gerakan menuntut lebih banyak ruang dalam demokrasi, menjana reformasi dan menghapuskan ketidakadilan sosial. Apabila dipenjarakan, dia gagal memimpin gerakan pembangkang yang berbagai-bagai kaum dengan berkesan dan strategik. Namun wajahnya yang dicederakan sewaktu berada dalam tahanan makin membangkitkan simpati orang ramai, yang terjelma melalui Re-for-ma-si.

Komitmen ideologi Anwar dan sikap anti-establishment dalam beberapa fasa kehidupannya tidak pernah dinyatakan secara jelas. Dia sering dianggap sebagai orang yang mudah berubah-ubah. Namun jika dilihat secara kolektif, kesemua komitmen beliau mengandungi beberapa jalur atau “warna”.

Satu jalur yang boleh dilihat ialah pendiriannya mengenai realiti etnik pada fasa yang berbeza-beza. Ia bermula dengan kegiatannya sebagai nasionalis Melayu sewaktu berada di kampus. Ia diperbaiki sewaktu berada dalam ABIM sebagai aktivis sosial yang tidak mempunyai semangat etnik yang kuat. Kemudian Anwar secara perlahan-lahan berubah kepada pemimpin yang tidak mempunyai semangat etnik, sehinggalah kepada tahun 90-an, apabila dia dilihat bersikap liberal.

Jalur kedua yang dapat dilihat, ialah bermula dengan kritikan ABIM terhadap ketidakadilan ekonomi, ketidakadilan sosial dan sekatan-sekatan oleh kerajaan terhadap kebebasan awam. Lama kelamaan, ia berkembang daripada mempertahankan petani Baling kepada kempen kebangsaan menentang Akta Pertubuhan. Selepas dipecat, Anwar menyuarakan pula perihal kronisme, rasuah dan nepotisme.

Terdapat jalur ketiga yang penting selepas September 1998, iaitu Anwar kembali membawa dirinya sebagai aktivis yang mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelajar dan golongan belia. Golongan inilah yang banyak mendokong beliau dalam banyak fasa kehidupan yang dilalui, berbanding mereka yang bersamanya dalam dunia politik, dan korporat yang banyak mendapat manfaat daripadanya. Malah dia mendapat sokongan daripada mereka yang terpinggir dan golongan bawahan.

Apabila dikisar kesemua jalur daripada empat fasa kehidupan beliau ini, kita boleh sifatkan di situ terdapat jalinan pelbagai warna pada kain kehidupannya. Terdapat warna “motif budaya”, “masyarakat madani” dan “pembaharuan moral”. Jalur ini jika diteliti, telah dipersembahkan dengan ilmiah dan jelas dalam bukunya Kebangkitan Asia, yang ditulis Anwar sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Fasa berada dalam Umno

Dari mula berada dalam Umno sehinggalah ke penghujungnya, fasa Anwar berada dalam Umno ditandai dengan kontradikisi atau pertentangan. Ketika mula menyertai Umno, Anwar meninggalkann ABIM an mengakibatkan perpecahan dalam ABIM. Sewaktu di dalam Umno, Anwar yang membawa pengaruh ABIM mengakibatkan beliau tidak disenangi, dan mewujudkan perpecahan dengan mereka yang tidak menyetujui kemasukannya.

Sewaktu dalam ABIM, Anwar melalui pendekatan Islam, mengkritik perjalanan masyarakat kapitalis. Sewaktu berada dalam Umno, Anwar menerima pendekatan Islam Mahathir, yang melihat bahawa Islam sebagai mempunyai etika kerja yang baik untuk membangunkan masyarakat kapitalis Malaysia.

Anwar meninggalkan dunia aktivis, untuk menjadi golongan pemimpin kerajaan. Bagaimanapun dia mahu dipanggil sebagai “saudara”, untuk menampakkan bahawa tidak banyak perubahan diri di antara berada di kalangan pemimpin kerajaan dan sewaktu menjadi aktivis belia.

Namun menjadi pemimpin kerajaan tidaklah menjamin idealism seseorang atau menjamin dia boleh berterusan seperti dulu. Anwar menghalalkan penyertaannya dalam Umno sebagai “usaha melakukan perubahan dari dalam”.

Namun apa yang pasti, tidak banyak juga perubahan yang dapat dilakukannya selama 16 tahun berada dalam kerajaan, seperti kekalnya ISA dan OSA. Nampaknya lama kelamaan, Anwar lebih banyak menumpukan masa meningkatkan pengaruh dan kekuatannya dalam Umno.

Sejak tahun 1980-an, perebutan kuasa dan pergolakan dalam Umno semakin hebat. Golongan korporat mula membanjiri Umno dan kekayaan mula menjadi sandaran perjuangan. Wujudlah kumpulan demi kumpulan dalam parti itu, saling pikat-memikat. Apabila Anwar menjadi Timbalan Presiden Umno pada tahun 1993, Anwar dikatakan masak dengan perkembangan baru yang menyerang Umno.

Dalam banyak hal, Anwar dilihat tidak berupaya mempengaruhi banyak tindakan dan dasar pemerintahan Mahathir, dan dia lebih banyak berusaha memujuk rakyat dan meyakinkan rakyat mengenai dasar-dasar berkenaan, dan melihatnya dari aspek yang positif.

Jika Mahathir melakukan kesilapan, Anwarlah antara orang yang diharap akan berhujah meminta maaf. Pendek kata, Anwar dilihat berada dalam keadaan serba salah, antara “prinsipnya” dan “sistem” yang disertainya.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, tindakan dan suara Anwar dilihat melebihi Mahathir sendiri, sehingga ada suara-suara dalam Umno yang bercakap, “mahu makan taukeh ke?”

Anwar telah melihat bagaimana Musa Hitam dijatuhkan, dan Anwar seperti Musa, barangkali nampaknya tidak berkongsi visi dengan Mahathir mengenai cara membentuk masyarakat kapitalis Melayu.

Mahathir nampaknya tidak berasa bersalah dan tidak perlu meminta maaf dari sesiapapun kerana begitu mengagungkan dunia korporat, pasaran wang dan ekonomi antarabangsa. Mahathir bertukar daripada menjadi “pemimpin rakyat” kepada penaung mereka (kroni) yang mencatur ekonomi domestik Malaysia. Bagi Mahathir, tidak ada sebarang batasan yang boleh menyekat cita-cita manusia. Manusia itu sendiri memang mampu menentukan sama ada dia berjaya atau tidak. Namun Anwar nampaknya sering menjadi orang yang berusaha menjelaskan dasar-dasar ekonomi Mahathir yang kabur itu.

Agenda Anwar

Anwar mungkin berpandangan bahawa dengan menjadi orang yang membantu menasihati dan menjelaskan dasar-dasar kabur ekonomi Mahathir, akan membuatkan kertelanjuran Mahathir lebih terkawal.

Memang tidak banyak yang dapat dilakukan Anwar sewaktu berada dalam kerajaan bersabit dasar ekonomi, kecuali memperjuangkan pembinaan lebih banyak rumah kos rendah, membantu rakyat termiskin dan meningkatkan pendapatan golongan terpinggir. Misalnya selepas Julai 1997, Anwar memperkenalkan dana untuk membantu industri kecil dan sederhana.

Ketika Mahathir bercakap dan melaungkan mengenai perlunya konglomerat Melayu menguasai pasaran dunia, dan mengadakan lawatan dagang di merata dunia, Anwar cuma bercakap soal penubuhan Yayasan Salam, kumpulan sukarelawan yang akan membantu negara-negara miskin dan negara ditimpa bencana.

Sekitar tahun 1990-an, ketika Mahathir sibuk bercakap soal penubuhan Majlis Ekonomi Asia Timur (EAEC) , Anwar menulis bukunya Kebangkitan Asia, yang menekankan mengenai beberapa pendekatan ekonomi; seperti pembentukan masyarakat madani, nilai sejagat, pengkayaan masyarakat dan pengekalan pembangunan.

Dalam buku yang ditulis Anwar itu, jelas membayangkan perbezaan yang signifikan antara beliau dengan Mahathir mengenai konsep pembangunan ekonomi dan pembentukan masyarakat madani. Malah Anwar sebelum dipecat, telah berjaya membina pengaruh yang besar dalam parti. Dia juga berjaya mendapat sokongan dan bantuan dari tokoh-tokoh korporat, aktivis sosial dan ahli akademik untuk menjayakan misi dan mengangkat pandangannya.

Menarik juga untuk dipersoalkan, jika Anwar ditakdirkan kembali ke pentas politik tanah air, sejauh manakah tindakan yang akan beliau lakukan sebagai manisfestasi daripada sikap tidak bersetujunya dengan Mahathir (anti-Mahathir) dan berdasarkan pendirian yang telah beliau suarakan sebelum ini? Apakah kita akan melihat wujudnya “Anwar Baru?”

Saya telah menanyakan soalan ini kepada kawan-kawan, namun ramai yang tidak dapat menjawabnya. Mereka mengatakan, bahawa ia bergantung kepada pengalaman yang beliau lalui setakat tiga tahun kebelakangan ini.

Ketika hari pertama Anwar dipecat, mereka yang dulunya rakan politik dan rakan korporat yang beria-ia menyokong Anwar, nampaknya hilang, dan sokongan yang Anwar terima adalah dari kalangan rakyat bawahan biasa, pelajar dan belia. Anwar mula menyedari hakikat ini ketika melancarkan Reformasi di Permatang Pauh. Dia mula menyedari siapa kawannya yang sebenar.

Pengalaman diketepikan

Mereka yang menyertai reformasi menggelarnya DSAI. Dalam istilah politik, dia dipanggil sebagai populist. Populisme sebenarnya sukar untuk ditakrifkan kerana seseorang itu boleh menjadi popular kerana banyak sebab dan keadaan. Ada kalanya seseoang popular kerana melakukan perkara yang tidak disenangi orang lain.

Namun popular yang disukai ramai adalah popular kerana memperjuangkan kepentingan rakyat, tanpa mengenepikan kepentingan atau kelompok yang lain. Salah satu unsur yang menyebabkan Anwar popular adalah kerana penekanannya terhadap isu membela rakyat miskin, meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar dan memperbaiki akhlak anak muda yang terabai. Beliau juga terkenal dengan laungan memerangi rasuah, menentang sikap otoritarian, kronisme dan mengangkat hak asasi manusia.

Selepas ini populisme akan dilihat sebagai kejayaan membangunkan ekonomi yang bukan sekadar untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan menokok indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Berdasarkan pengalaman lalunya, Anwar akan membina populisme dengan isu-isu yang lebih membumi seperti mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, sumber pendapatan rakyat yang terjamin, polisi masyakat penyayang, peningkatan kemudahan awam, peningkatan pendidikan dan sebagainya.

Namun satu persoalan yang turut menarik dibicarakan, jika Anwar kembali ke dunia politik, adakah dia akan melakukannya seperti dalam Umno dulu, dengan banyaknya hujah-hujah melalui ucapan-ucapan retorik yang ditulis penulis ucapannya? Atau kita bakal menyaksikan lebih banyak program pembangunan yang lebih bersifat merakyat dan praktikal. Hanya “pengalaman diketepikan” yang kini dilalui Anwar bakal menentukan siapa dia di kemudian hari. --adaptasi dari Aliran Monthly

Terjemahan: WARTAWAN MEMO11

Site Search
Web Search

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]