PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Serangan 11 Sept Di AS Mengaibkan Agama Islam Dan Umatnya

Agenda Daily - Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim berkata serangan kejam ke atas Amerika Syarikat pada 11 September adalah satu peristiwa hitam dalam sejarah Islam kerana “tindakan segelintir penganutnya telah mengaibkan agama Islam dan umatnya di mata dunia”.

Tragedi itu juga, kata beliau dalam rencananya yang akan disiarkan majalah mingguan Amerika, Time pada 15 Oktober ini, mengakibatkan berjuta-juta orang Islam yang herhijrah ke AS dan Eropah demi mengelakkan kemiskinan dan pendakwaan di negara sendiri “dibenci dan dicap sebagai golongan yang berpotensi menjadi pengganas”.

“Inilah kerja Mohamed Atta dan rakan-rakan pengganasnya beserta penaja-penaja mereka terhadap Islam dan umatnya di seluruh dunia dengan membunuh orang-orang yang tidak berdosa di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon.

“Serangan itu mestilah dikutuk tanpa sebarang simpanan, dan segala usaha untuk menghukum pelaku-pelaku jenayah itu mestilah disokong,”tegasnya.

Menurut Anwar, di Malaysia media arus perdana yang dikuasai Kerajaan telah diperalatkan untuk membangkitkan sentimen anti-America manakala ahli-ahli politik elit menggunakan bahasa yang berbeza-beza di arena diplomasi antarabangsa.

Katanya, banyak pihak yang berhak merungut terhadap AS dan mengenai nasib Palestin yang kini menghadapi Israel yang lebih bongkak.

“Tetapi sekarang bukanlah masanya bagi kita berkhutbah atau membahaskan moral dasar luar AS. Andainya kita Malaysia menjadi mangsa dalam tragedi seumpama itu, kita juga akan menganggap gertakan pengganas itu menjijikkan,” tambahnya lagi.

Anwar berkata, ramai orang tertanya-tanya dalam abad ke-21 ini bagaimana dunia Islam boleh melahirkan seorang insan seperti Osama bin Laden.

Katanya, "sudah berabad-abad agama Islam merapatkan tamadun-tamadun, dan orang kaya menubuhkan yayasan-yayasan untuk membiayai universiti dan hospital.Salah seorang ahli sains dan falsafah yang terkemuka pada zaman pertengahan, ibn Sina, dilahirkan di dalam sistem ini.

“Tetapi Osama bin Laden menggunakan kekayaan perseorangannya untuk menaja pengganasan dan pembunuhan, bukan pembelajaran atau kreativiti, dan mencapai kemusnahan bukan mempromosi penciptaan.

“Osama dan pengikut-pengikutnya adalah kanak-kanak yang kecewa kerana mereka berasal dari negara-negara yang mensia-siakan perjuangan politik secara aman. Dalam banyak negara Islam, bangkangan politik adalah dilarang. Sedangkan tahun demi tahun jumlah orang-orang yang terpelajar dan profesional terus bertambah,” ujarnya.

Menurut Anwar lagi, golongan ini memerlukan ruang untuk menyuarakan kebimbangan politik dan sosial, tetapi kawalan kerajaan adalah menyeluruh dan dengan itu pertumbuhan masyarakat sivil terbantut.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri yang masih menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan liwat dan salahguna kuasa di Penjara Sungai Buluh, masyarakat-masyarakat Islam perlu memulihkan pembangunan sosial dan politik dalam negara mereka kerana pembangunan ekonomi sahaja tidaklah mencukupi.

Anwar berpendapat, ada di kalangan umat Islam yang berasa diri mereka diasingkan dan menganggap diri dihina oleh dunia akan mendekati pengganasan.

“Kekeliruan dan kemarahan terhadap orde dunia dan satu-satunya kuasa besar (AS) adalah disebabkan kegagalan umat Islam sendiri untuk menagani dua isu penting, iaitu kekacauan Afghanistan berikutan penaklukan Soviet dan kebangkitan Taliban, dan kesengsaraan umat Islam di Iraq yang diakibatkan oleh diktatornya dan sekatan ekonomi,” tegas beliau.

Katanya, bagi mematuhi etika, umat Islam akan menyokong inisiatif dunia memerangi pengganasan, tetapi sudah wujud pandangan bahawa kaum autokrat akan menggunakan peluang ini menegakkan rejim mereka dengan menindas gerakan demokrasi.

Contohnya Presiden Rusia akan mempertahankan pembunuhan beramai-ramai di Chechnya, Israel pula mempertahankan kedegilannya untuk berkompromi, dan Malaysia meneruskan tahanannya tanpa perbicaraan.

Menurut Anwar, AS akan mendapatkan kerjasama negara-negara Islam dalam memerangi pengganasan tetapi ia tidaklah mempunyai semua jawabannya. “Jawaban muktamadnya adalah pertumbuhan demokrasi, penyertaan politik dan masyarakat sivil.

Dengan mengurangkan sokongannya terhadap perjuangan demokrasi dan perlindungan hak asasi manusia, AS mahu tidak mahu akan memperkukuhkan rejim-rejim diktator dan mengulangi hubungannya dengan rejim-rejim masa lalu seperti Marcos, Suharto dan Shah Iran.

Beliau berkata dunia umat Islam telah bergelut dengan masalah kemodenan selama lebih 100 tahun dan masanya sudah sampai bagi mereka mempromosi orientasi intelektual dan politik yang menggalakkan demokrasi dan keterbukaan.

“Kaum intelektual dan ahli politkk mestilah berani mengecam kefanatikan dalam semua bentuk, tetapi mereka mestilah juga pada masa yang sama mengecam rejim-rejim penindas dan tirani yang membantutkan harapan bagi perubahan secara aman,” tegas beliau lagi.

Site Search
Web Search

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]