PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
keADILan Bersatu Semula

Sonia Randhawa

Wartawan Radiq Radio, Sonia Randhawa melaporkan pengalamannya di Persidangan Agung Parti KeAdilan Nasional di Kemaman, Terengganu. Dia meninjau masalah-masalah yang dihadapi menjelang mesyuarat tersebut dan juga usaha untuk mengatasinya.

Melintas sempadan ke Terengganu pada hujung minggu lepas, saya mengalami suasana yang begitu berbeza, seperti melawat negeri asing. Bendera parti KeAdilan terlambai-lambai sejurus saya meninggalkan negeri Pahang. Walaupun bendera Umno dapat kelihatan di sesetengah ruang tetapi yang jelas saya telah masuk ke dalam kawasan pembangkang. KeAdilan menganjurkan persidangan agungnya yang ketiga dalam suasana yang selamat, jauh dari tindakan pihak berkuasa dan perasaan was-was dan tidak tertentu.

Parti KeAdilan dikatakan berpecah-belah. Ini dikatakan antara kumpulan reformasi dan kumpulan yang berasal dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Tuduhan sabotaj dilempar dan dalam pertandingan sayap Wanita di mana pendebatan hangat yang timbul berkenaan pengendalian proses pewakilan mereka.

Fuziah Salleh, yang baru dipilih sebagai Ketua Wanita,mempercayai bahawa golongan wanita dalam parti sudah meninggalkan politik yang bersifat berpecah yang wujud menjelang Persidangan Agung ini.

“Wanita boleh menilai yang mana baik dan yang di mana tidak. Dan wanita di dalam Keadilan memang jelas mahu memperjuangkan Keadilan, dan saya rasa ciri-ciri inilah yang akan membantu mereka mendapat saf-saf.”

Malangnya dari segi perwakilan wanita di semua peringkat, hanya seorang wanita dipilih ke Majlis Pemimpin Tertinggi. Ini begitu menghampakan lebih-lebih lagi selepas resolusi Wanita KeAdilan yang diiktirafkan oleh persidangan am “untuk memastikan 30 peratus kepimpinan ialah wanita di semua peringkat”. Walau bagaimanapun, keseimbangan boleh dipulihkan melalui tiga pelantikan yang bakal dibuat oleh presiden parti. Ini untuk jawatan setiausaha-agung dan dua kerusi naib presiden.

Dalam ucapan akhirnya Wan Azizah mengutarakan kepentingan perpaduan parti dan iktibar yang patut diambil selepas pengalaman hujung minggu berlepas.

“Kita penting kerana semua kita adalah diperlukan seperti mana satu badan, mesti ada kepalanya, jadi.. Dr Mohd Nur Manuty adalah seorang yang saya kagumi dan saya kira dia mesti bersama-sama kita kerana kita perlukan semua semangat tinggi, kepercayaan ini untuk memperkuatkan daya juang dan daya pemikiran.” Dari segi perwakilan ahli bukan Melayu, mereka berjaya merangkul beberapa jawatan. Calon, keturunan Cina mendapat undi tertinggi dalam pertandingan untuk jawatan Naib Presiden sayap Pemuda, exco-Pemuda dan juga jawatan Naib Presiden Parti. Bagaimanapun, Low Chee Chong, Naib Presiden sayap Pemuda, mengakui bahawa perwakilan ahli bukan-keturunan Melayu tidak kelihatan di semua peringkat di dalam parti. Namun begitu, dia harap masalah ini dapat ditangani pada tahun-tahun yang akan datang.

Selepas keputusan pilihan parti dimaklumkan, Azmin Ali dan N Gobalakrishnan yang bersaing untuk jawatan Naib Presiden berpeluk-peluk dan berjabat tangan berkali-kali khususnya untuk media massa. Walaupun kumpulan reformasi menang secara besar-besaran tetapi apa yang jelas wujud satu komitmen yang mendalam pada kedua-kedua pihak yang bertanding untuk menjalin hubungan untuk kepentingan parti.

Zahir Hassan, salah satu dari calon Majlis Pemimpin Tertinggi yang gagal, memberi pendapatnya tentang pemilihan parti yang baru habis.

“It shows how democratic this party is, although there were some hiccoughs in terms of the time taken to get the results out, but nevertheless, it was very fair.”

Walaupun pertandingan dijalankan dalam suasana yang hangat, dapat dilihat kesemua calon berasa puas hati dengan pemilihan yang dikendalikan dengan adil.

Isu-isu seperti penahanan Anwar Ibrahim dan pemimpin parti di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan juga tekanan kepada parti pembangkang masih menjadi bahan menyatu padukan pesaing-pesaing. Ucapan sayap Pemuda dan Wanita penuh dengan emosi apabila mereka menyentuh hal pemimpin yang ditahan di bawah ISA. Kerusi Lokman Nor Adam dan Badrul Amin Bahron dibiar untuk menggambarkan kekosongan dalam pucuk pimpinan mereka.

Nampaknya selagi adanya tekanan luar ke atas parti, politik fraksi tidak akan memainkan peranan utama dalam parti.

“Ada yang kehilangan segala-galanya, ada yang berhutang! Namun, kerana perjuangan! Kita teruskan jugak. Parti kita telah melalui perjalanan yang penuh dengan tribulasi, tak sedar.. mana ada peruntukan.. mana ada apa-apa! Institusi kerajaan nak tolong kita? Sorry, dengan kesedaran itu, kita masih dalam perjuangan. Syabas dan tahniah tuan-tuan dan puan-puan.”

(Radiq Radio)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]