PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
keADILan Di Era Pasca-Reformasi

Sonia Randhawa

Persidangan Agung Parti KeAdilan Nasional di Kemaman, Terengganu baru-baru in membuka tirai kepada dasar perjuangan parti tersebut. Walau bagaimanapun, kebanyakan masa yang diperuntukan dalam persidangan tiga hari itu menumpu kepada pemilihan pucuk pimpinan parti. Namun, wartawan Radiq Radio, Sonia Randhawa, mendapati bahawa hala tuju parti dari sudut dasar-dasar kemasyarakatan dan sebagainya sedang dibina.

Masa yang diambil untuk pemilihan pelbagai jawatan dalam parti telah mengakibatkan soal pindaan perlembagaan dan perdebatan tentang isu-isu lain ditunda.

Presiden parti Wan Azizah Wan Ismail telah memberi petunjuk kepada perwakilan untuk menumpukan lebih perhatian kepada isu antarabangsa ekoran peristiwa 11 September dari isu dalaman parti. Walau bagaimanapun, ucapan-ucapan yang diberikan oleh perwakilan mengutarakan kepentingan untuk memperkukuhkan struktur parti menjelang pilihanraya akan datang. Selain itu, isu perwakilan minoriti dan harga minyak kelapa sawit juga turut diberi tumpuan oleh perwakilan.

Tetapi jelas, bahawa mereka yang telah dipilih di pemilihan Persidangan Agung Parti KeAdilan pada minggu lalu lebih mementingkan isu dalaman parti.

Abdul Rahman Othman, yang baru dipilih sebagai timbalan presiden, berkata bahawa keutamaan beliau adalah untuk mengatur dan menyusun semula struktur parti.

“I think number one is to improve the party organisation and administration, number two is closer rapport between the party and divisional levels, because that is where the action is and number three is to reach out to the people.”

Pendirian Abdul Rahman pula disokong secara tidak langsung oleh Ketua Wanita, Fuziah Salleh. Katanya, dia akan memberi tumpuan kepada pendidikan politik dan membentuk sebuah jawatankuasa untuk memantau keadaan di akar umbi.

“Wanita perlu menyediakan diri mereka dengan kesedaran dan kefahaman politik yang tinggi. Ini adalah disebabkan ramai wanita kita yang terlibat merupakan mereka-mereka dan individu-individu yang tidak ada pengalaman politik. So pertama, kita perlu ada political education ataupun kesedaran politik. Kedua, dari segi operationalnya, kita telah mengistiharkan 2002 sebagai satu tahun yang merupakan persiapan dan pemantauan persiapan untuk 2002 atau 2003 ataupun 2004.”

Manakala isu tahanan politik pula dibincang dengan penuh emosi. Selain dari pemimpin parti, individu lain yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kurang mendapat perhatian.

Ucapan dari Ketua Pemuda, Mohd Ezam Mohd Nor, yang kini sedang ditahan tanpa bicara di bawah ISA, mengutarakan dakwaan tentang amalan rasuah dalam kerajaan Barisan Nasional.

“Rasuah ini akan menimbulkan kesan jangka panjang yang amat dahsyat. Dua puluh tahun yang akan datang anak-anak kita akan membayar cukai pendapatan yang tinggi untuk melangsaikan hutang negara. Menurut kajian Pemuda KeAdilan, kadar cukai pendapatan ini akan mencecah 40 peratus dalam masa 10 tahun yang akan datang. Ini termasuk cukai barangan, perkhidmatan, cukai barangan, duti dan lain-lain lagi.”

Isu negara Islam juga turut mendapat perhatian. Wan Azizah dalam ucapannya telah menyentuh tentang isu ini. Dan pendirian parti tentang isu ini pula telah diperjelaskan oleh Fuziah Salleh dalam sidang media kemudiannya.

“The Islamic state itself needs to be defined, Umno defines it differentllly, Pas may define it differently, but I think what is important is that you know what is the criteria of a good and civil society and this is what Keadilan gives as a definition: a good and civil society.”

Isu penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya diperbincangkan secara ringkas semasa persidangan Pemuda. Namun, perwakilan Pemuda membuat pendirian yang cukup kuat bahawa proses pergabungan tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh masa tiga bulan seperti yang sudah dipersetujui.

Situasi antarabangsa juga disentuh oleh kesemua mereka yang memberi ucapan. Walaupun peristiwa 11 September dan perang ke atas negara Afghanistan dikecam, tetapi jualan T-shirt dengan wajah Osama bin Laden terus mendapat sambutan yang hangat diluar dewan.

Bolehkah KeAdilan mengatur semula dan memperkuatkan parti untuk pilihan raya yang akan datang di dalam suasana politik yang tiada lagi rangsangan di era pos-reformasi. Apa yang pasti dari Persidangan Agung KeAdilan ini ialah komitmen untuk memperkukuhkan jentera parti untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

(Radiq Radio)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]